Selasa, 27 Mei 2014

APAKAH BUKIT GELUGOR MEMBAYANGI TELUK INTAN?

BN perlukan Keajaiban Untuk Menang

SELESAILAH sudah proses pilihanraya kecil (PRK) parlimen Bukit Gelugor yang menyaksikan DAP sekali lagi berjaya mengekalkan kerusinya di situ. Calonnya Ramkarpal Singh Deo dengan mudah menundukkan tiga pesaingnya sehingga mereka kehilangan wang pertaruhan. (berita lanjut di sini)
            Begitupun, jumlah pengundi kali ini jauh lebih kecil berbanding pilihanraya umum (PRU) yang lalu iaitu hanya 56% pengundi yang keluar membuang undi. Ini bermakna jumlah pengundi yang mengundi meyusut sehingga kira-kira 30%.
            Dapatan awal Suruhanjaya pilihanraya mendapati kekurangan bilangan pengundi tersebut mungkin disebabkan parti Barisan Nasional (BN) tidak bertanding yang mendorong ramai memilih tidak berminat untuk mengundi. Selain itu, faktor pengundi yang tinggal di luar Pulau Pinang yang tidak pulang untuk mengundi juga turut menjadi sebab.         
            Apapun, secara zahirnya barangkali pengundi lebih melihat bahawa calon-calon yang bertanding pada hari ini bukanlah calon popular atau calon yang selayaknya dipertandingkan dengan anak bekas harimau Bukit Gelugor itu. Justeru, bagi pengundi khsususnya penyokong BN barangkali sudah membuat kesimpulan sendiri bahawa sama ada mereka mengundi atau pun tidak, keputusannya sudah pasti memihak kepada DAP.
Makanya, itulah sebab mereka barangkali memilih untuk tidak keluar mengundi. Tidak dinafikan juga terdapat penyokong DAP yang turut tidak membuang undi kerana mereka yakin kemenangan tetap milik mereka. Dalam hal itu, mereka tidak mengejar sama ada majoriti jumlah undi menyusut atau tidak. Kerana, yang penting untuk PRK ini adalah ‘menang’ biarpun dengan kelebihan satu undi.
            Tentunya kemenangan DAP ini sedikit sebanyak memberikan semangat kepada semua pengundi PRK di Parlimen Teluk Intan yang akan berlangsung hujung minggu ini. Apakah semangat Bukit Gelugur akan terus meresap ke dalam pengundi di situ atau sebaliknya, Tuhan sahajalah yang akan menentukannya. Usaha, doa dan bermacam ikhtiar semua sudah dilakukan. Rasanya tiada satu pun yang tertinggal. Kini semuanya terletak di tangan pengundi-pengundi di situ.
            Sebelum ini saya ada menulis PRK di Teluk Intan (di sini). Jika di lihat di Pulau Pinang, sepanjang tempoh kempen tempohari media telah banyak menonjolkan kebiadapan pemimpin DAP termasuk kegagalan dan kezaliman yang mereka lakukan sejak memegang tampuk pemerintahan negeri itu. Namun, semuanya itu gagal meraih simpatan dan kepercayaan pengundi untuk menolak DAP paling tidak sekurang-kurangya beralih kepada Parti Cintai Malaysia (PCM). Sama ada pengundi terutama kaum cina di situ tidak berkeyakinan dengan PCM atau sebenarnya mereka membenci siapa sahaja lawan mereka, itulah sikap yang perlu diteliti.
            PRK di Kajang baru-baru ini juga boleh dijadikan iktibar untuk BN. Kedua-dua calon adalah calon popular malah pengundi di sana juga sudah dapat membezakan kekuatan masing-masing. Namun, apakah kemenangan Wan Azizah (PR) kerana jasa dan kehebatannya atau disebabkan sikap benci yang sudah bertanah tertanam dihati nubari pengundi di situ?
            Jika bencilah yang menjadi agenda utamanya, maka apa juga yang dikatakan dan didedahkan oleh media terhadap Dyana Sofea pastinya tidak mampu menarik undi pengundi kepada BN. Apa juga info yang diberikan pastinya mereka anggap sebagai tipu dan lawak semata manakala lawak bodoh yang mereka lakukan pula itulah yang sebenarnya. Makanya, hari-hari kempen tidak lebih sebagai memenuhi masa yang ada malah semakin lama diberikan masa berkempen barangkali menambah tebal serta membiakan lagi rasa benci majoriti pengundi di situ terhadap BN.
            Namun, jika pengundi melayu di situ berpadu memberikan sokongan kepada calon BN, kita percaya BN mampu menawan semula parlimen Teluk Intan kerana kita yakin masih ada lagi pengundi-pengundi cina di situ yang memahami halatuju pemerintahan kerajaan BN berbanding PR khususnya DAP.
            Sejujurnya, bagi memastikan Teluk Intan kembali kepada BN, pengundi PAS sewajarnya mengambil kesempatan ini meneliti kejujuran DAP dalam menyokong isu hukum hudud berbanding BN. Manakala bagi penyokong-penyokong PKR pula, anda sepatutnya bersatu dengan umno dan Pas berikutan sudah jelas apa yang berlaku dalam PKR sejak akhir-akhir ini lebih teruk berbanding umno. Selain itu bagi orang Islam sewajarnya memegang perinsip kesejahteraan agama Islam selain memastikan kesejahteraan semua kaum di kawasan itu juga turut terjamin diperjuangkan oleh pemerintah.
            Mempamerkan isu-isu sama ada isu tempatan, nasional, dunia mahu pun isu peribadi untuk ketika ini tidak ‘menjadi kudis’ bagi DAP. Memang, adalah sesuatu yang agak sukar untuk menarik minat orang yang sudah benci kepada kita. Kerana, kebencian itu telah meresap ke hati dan sanubari.
            Apapun, saya melihat jika ditakdirkan BN berjaya menawan parlimen Teluk Intan menerusi PRK ini ia sememangnya sesuatu yang mengejutkan tetapi bukan pula amat menyeronokan. Kerana, kekalahan mereka itu (DAP) pastinya adalah kekalahan yang beragenda khusus di PRU14 nanti.
            Pada pemikiran pendek golongan yang membenci BN ini mudah sahaja iaitu bagi mereka pembangunan pasti dilaksanakan oleh sesiapa sahaja yang memerintah. Maka itulah sebabnya bagi golongan ini isu pembangunan biar sebesar mana sekalipun ia bukanlah bahan kempen untuk plihanraya. Demikian juga dengan pemberian-pemberian yang lain, kerana bagi mereka itu adalah tangungjawab kerajaan yang memerintah.
Justeru, semua orang-orang dalam kompenan BN sewajarnya sudah bertindak mengubah penampilan dan wajah diri supaya anda tidak lagi dibenci. Dan kerajaan BN pula hendaklah sentiasa berhati-hati serta cermat dalam apa juga keputusan dan tindakan yang yang dibuat tetapi jangan sekali-kali menolak ketegasan dan keseriusan supaya anda tetap dihormati.
Dan kepada orang melayu khususnya, banyak sudah yang terlepas dan dilepaskan tetapi jangan nanti sampai hilang semuanya!  - Wallahhuallam.

Jagindas: Selamat mengundi...


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas komen anda.