Selasa, 13 Mei 2014

POLITIK TERENGGANU KEMBALI BERGOLAK

Ahmad Said
Ada Kemungkinan Dewan DiBubar

DATUK SERI AHMAD SAID, Menteri Besar (MB) Terengganu (kini bekas MB), dikatakan terpaksa meletak jawatan berikutan beliau terpaksa akur dengan sumpah dan janjinya dengan kerajaan pusat bahawa beliau hanya akan menjadi MB selama setahun berikutan kegagalan negeri itu memperoleh majority besar dalam pilihanraya umum ke 13 yang lalu.
            Kemudian, setelah akur dengan janjinya itu, Ahmad Said, dikatakan membuat satu keputusan yang menggemparkan iaitu mengisytiharkan dirinya keluar Umno. Turut sama dalam tindakannya itu adalah dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) lain,  Dun Bukit Besi, Roslee Daud dan Ghazali Taib (Dun Ajil).
            Desas desus menyebut, Ahmad tekal berbuat demikian setelah patah hati tindakan pucuk pimpinan yang menolak permintaannya supaya perletakan jawatannya itu dilewatkan untuk sehari dua lagi dari tarikh yang dijanjikan atau tepatnya selepas beliau menyempurnakan majlis perkahwinanan anaknya.
            Jika benarlah begitu, barangkali ahmad mahu meraikan hari-hari terakhirnya sebagai MB bersama-sama majlis perkahwinan anaknya itu. Barangkali juga, beliau teringin juga hendak merasa melaksanakan majlis kenduri kahwin anaknya dalam statusnya sebagai MB. Apatah lagi peristiwa itu barangkali pertama dan terakhir dalam keluarganya. Maksudnya selepas ini kalau adapun anaknya yang berkahwin, ia tidak lagi diraikan dalam keadaan status anak seorang MB.
            Secara peribadi saya hormat keputusan Ahmad serta rakan-rakannya. Cuma, diharapkan tindakan ini tidak seperti yang berlaku terhadap seorang Adun di Perak suatu ketika dulu dimana hari ini isytihar keluar parti, tiba-tia esok kembali menjilat kaki. Ini bukan sahaja orang yang tak ada prinsip malah tiada berpendirian – lebih teruk dari lalang lagi!
            Sepanjang pemerintahnnya adalah dilihat Ahmad sebagai orang yang tidak kecil jasanya kepada Terengganu, apa salahnya menunaikan hajatnya itu sebagai penghargaan terakhir  – hanya untuk sehari dua sahaja lagi! Besar sangatkah permintaannya itu sehingga bagaikan hukuman gantung yang tidak boleh dipinda-pinda lagi?
Bagi penulis, ini bukan masalah kesefaham yang dikatakan telah wujud antara Ahmad dengan pucuk pimpinan sejak setahun lalu sebaik sahaja keputusan pilihanraya diperolehi. Ini adalah masalah akal, budibicara dan pertimbangan. Alangkan kemasukan seseorang ke penjara setelah hukuman dijatuhkan lagikan boleh ditangguh inikan pula masalah peralihan kuasa sesama kita. Sedangkan, Ahmad telah merayu untuk dilanjutkan barang sehari dua sahaja lagi biarpun sebab yang diberikan lebih bersifat peribadi.
            Makanya,  Ahmad yang bertindak sombong sehingga sanggup keluar dari umno bagi saya adalah wajar sebagai membalas budi sombong yang diberikan oleh pucuk pimpinan juga. Bermakna, sombong dibalas sombong.
            Pemerhati politik dan orang politik (BN) yang ghairah mengulas insiden itu menyifatkan tindakan Ahmad bersama dua lagi rakannya sebagai tidak matang. Dalam bab ini, saya fikir tidak timbul soal matang atau tidak. Tidak timbul soal perjanjian perlanjutan tempoh yang telah dipersetujui mahu pun tidak timbul sama sekali soal-soal alasan peribadi daripada Ahmad sendiri.
            Inilah satu contoh kerakusan membuat keputusan dan arahan sedang Ahmad telahpun mengemukakan rayuan untuk memohon ihsan sehari dua lagi. Bak kata sembang-sembang kedai kopi, kalau ‘orang lain’ mengemukakan sesuatu permohonan, belum pun sempat habis ayat sudah dilulus; bahkan jika minta satu diluluskan dua; (apakah maksudnya tak tahulah..). Justeru,  apakah memohon dilanjutkan tempoh sehari dua terlalu besar dan berat untuk dipertimbangkan!
            Berdasarkan pecahan kerusi dewan ketika ini, besar kemungkinan Pas akan mengemukakan usul tidak percaya kepada dewan dan usul itu besar kemungkinan boleh menang. Saya berkeyakinan begitu kerana saya pecaya tiga Adun Bebas dan seorang Adun PKR akan menyokong usul itu. Bermakna, 19 lawan 15.
            Jika ini berlaku, kerakusan telah mengiakan pepatah orang tua-tua: yang dikejar tidak dapat, malah yang kendong pula berciciran! Tidak mustahil Pas kembali memerintah Terengganu negeri yang kaya minyak itu.. Dan jika ini benar-benar berlaku, kesian sungguh nasib Ahmad RazifAbdul Rahman..
           

Jagindas: Semoga Umno masih releven dan BN masih mampu menunggaki kerajaan...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas komen anda.