Elak Kolam Bekas Lombong
Dimonopoli
Keluhan Di Satu Sudut Kedai Kopi Di Malim
Nawar:
BAGI ramai
orang atau mereka yang di luar sana barangkali tidak begitu kisah sangat atau ambil pot tentang masalah nelayan ikan
air tawar (nelayan darat) yang menggunakan bekas kolam lombong sekitar Kampar,
Malim Nawar dan Tanjung Tualang sebagai punca utama rezeki mereka.
Namun, masalah mereka itu sebenarnya jika tidak diambil berat
oleh pihak yang bertanggungjawab boleh menjadikan isu itu menjadi lebih rumit
bahkan tidak mustahil menjadi sebab berlakunya pelbagai pertikaian sehingga boleh
mendorong kepada permusuhan, penganiayaan, sabotaj malah tidak terkecuali
berkemungkinan berlakunya perkelahian.
Sesungguhnya kedamaian dan kemewahan
hasil mahsul yang diberikan oleh kolam bekas lombong di beberapa kawasan
sekitar daerah Kinta dan Kampar sesungguhnya telah memberi ruang rezeki yang
lumayan buat ramai kaum nelayan darat di kawasan berkenaan. Malah ia turut
menggamit ramai kalangan pemancing dan penjala yang turut menjadikan kolam
tersebut sebagai tempat beriadah dan berlibur bersama rakan-rakan mahun pun
keluarga terutama pada hujung minggu dan cuti umum.
Bagi mengawal kawasan berkenaan daripada
dimonopoli oleh satu-satu pihak pihak sahaja sehingga menafikan hak dan
kebebasan orang lain ‘bermesra’
dengannya, maka sekitar 14 tahun lalu, saya pernah menyarankan kepada kerajaan
negeri supaya beberapa kawasan (kolam) di situ digazetkan sebagai kawasan
publik (rencana khas itu disiarkan dalam akhbar Berita Harian).
Cadangan juga meliputi sebahagian yang lain pula
dibangunkan sebagai kolam dan taman yang berkonsepkan pelancongan air. Namun,
tulisan itu dipandang sepi oleh semua pihak. Sama ada Menteri Besar ketika itu,
para exco-nya mahupun pegawai-pegawai di beberapa jabatan terbabit sehinggalah
ke hari ini tidak ada siapapun secara serius mempedulikan isu dan syor
tersebut.
Kini, kalangan nelayan darat di situ
semakin terhimpit bagaikan hak dan kebebasan mereka mencari rezeki telah
dirampas secara terang-terangan berikutan kononnya ada beberapa pihak tertentu
yang telah diberikan kuasa mengusahakan bekas kolam itu dengan industeri
ternakan itik dan ternakan ikan secara komersil.
Kejadian kira-kira 50 nelayan darat
berdemonstasi aman di Kampar baru baru ini meluahkan kekecewaan nasib mereka itu
adalah juga memberitahu bahawa tiada sesiapa yang sejujurnya membela nasib golongan
marhaen berkenaan. Ada cakap-cakap kononnya, kerajaan negeri menyerahkan usaha
kepada satu pihak bertujuan sebagai satu sumber kerajaan negeri memperoleh
pendapatan (hasil negeri).
Jika begitulah pemikiran yang ada dalam fikiran peneraju
negeri ini, apakah suatu pihak itu sahaja yang perlu hidup sekali gus menidakan
hak rakyat marhaen yang sudah sekian lama menjadikan bekas kolam itu sebagai sumber
rezeki menanggung anak bini?
Menurut mereka, sumber dari Pejabat Tanah
Dan Daerah Kampar pula mengkaitkan istana konon kesemua tanah terbabit adalah
milik Sultan Perak. Benarkah begitu? Atau apakah dengan mengkaitkan istana maka
tidak ada siapapun yang berani membantahnya?
“Apakah kita percaya sekeras itu kah
sikap paduka sultan terhadap rakyatnya? Kalau mahu mengkaitkan istana, tidakkah
kesemua tanah dan jajahan negeri Perak ini sememangnya milik tuanku sultan?
Bukan sekadar di Kampar, Gopeng, Malim Nawar hatta Kinta, bahkan seluruh negeri
Perak dan jajahan takluknya sekalipun adalah milik sultanPerak. Justeru,
mengapa istana pula dikaitkan? Apakah ia satu taktik untuk mengelak daripada menjelaskan
isu sebenar? Atau, memang benar-benar begitu?” begitu rungutan bercampur geram
mereka.
Rakyat bukan lagi bodoh macam 40 dan
50 tahun lalu. Orang-orang pejabat tanah (dan yang bersangkutannya) termasuk
pemimpin-pemimpin, ketua kampung dan penghulu tempatan janganlah menganggap
semua orang apatah lagi nelayan marhaen itu semuanya bodoh, buta dan tuli.
Kalau benar sekalipun mereka tidak bersekolah tinggi, sesetengah mereka punyai
anak yang telah berjaya serta luas pemikirannya. Barangkali lebih luas dan
cerdik daripada tuan-tuan.
Anak-anak mereka juga telah secara
langsung terbabit memeriahkan lagi pembangunan dan ekonomi negeri ini. Dan,
tahukan tuan-tuan bahawa dengan hasil bekas kolam lombong itulah bahawa suatu
ketika mereka dibesar dan diberikan pendidikan oleh mak bapak mereka.
Tidak kah itu juga suatu pencapaian
hasil yang lebih tinggi dan besar nilainya kepada negeri ini?
Justeru, pandanglah satu kepada yang
ramai. Kerajaan negeri wajar melihat isu ini dengan serius demi sekelompok
besar rakyat jelata dan marhaen. Ada diantara mereka hanya dapat menjadikan
kolam tersebut sebagai sumber pendapatan harian padahal mereka tidak punya apa
selain itu -- tiada tanah, tiada rumah, tiada kemewahan.
Dengan berisikokan sejuk dan panas, belum pasti hidup
atau lemas, anak bini tetap mengharap mereka pulang dan membawa sesuatu untuk
di makan.
Justeru, Pegawai-pegawai,
pemimpin-pemimpin negeri dan tempatan, Jabatan Perikanan, Jabatan Pertanian,
Jabatan Haiwan, Pejabat Tanah dan Galian, Pejabat Tanah Daerah dan Majlis
Daerah duduklah semeja dan insaf-insafkan masalah nasib anak bangsa kita itu.
Kepada tuan-tuanlah tempat mereka mengadu. Kalau tidak tuan-tuan yang boleh
membantu mereka, siapakah lagi...? Tolonglah...
Jangan tunggu bengkak menjadi nanah,
luka menjadi tokak maka, ketika itulah baru hendak bertindak. Ingatlah ketika pisau
tuan-tuan ditangan orang lain suatu ketika dahulu. Dan, setelah pisau itu
kembali ke tangan tuan-tuan, apakah lagi alasannya sehingga bagai amat keliru
untuk membuat keputusan dan ihsan.
Namun apalah kiranya jika benarlah semuanya
itu atas kehendak sultan, maka sesungguhnya patik bemohon ampun, tiadalah kuasa
patik untuk menegurnya.
Jagindas: Saya yang mendengar rintihan itu teringat beberapa baris senikata lagu
“Anak Kecil Main Api (WARISAN)”..(klik di sini)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih atas komen anda.