Isnin, 4 Mac 2013

ANGGOTA RELA, JAGALAH NAMA DAN DISIPLIN PASUKAN

SUKARELA tetapi terlatih dan dilatih

KALI ini saya ingin menegur sedikit mengenai disiplin pasukan sukarelawan Malaysia (Rela).
             Sebelum itu, penulis mengucapkan syabas kepada anggota pasukan berkenaan kerana mereka juga secara aktif telah mengambil bahagian dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat di negara ini terus dilestarikan.
            Pasukan yang dianggotai oleh segenap lapisan kaum malah tidak menghadkan batas usia maksimum membolehkan siapa sahaja yang berminat dan bertulus hati menyertainya sedari usia 16 tahun.
             Paling tidak, bagi mereka yang sudah berusia dan tidak mempunyai sebarang aktiviti tetap, boleh menjadikan aktiviti pasukan ini sebagai tempat mengisi masa lapang sambil menabur khidmat kepada masyarakat.
            Pun begitu, sebagai kerajaan yang perihatin dan bertimbang rasa, meski namanya RELA yang sedia rela berkhidmat, namun pelbagai insentif tetap dinikmati anggotanya walaupun setiap perkhidmatan yang diberi langsung tidak bermatlamatkan insentif tersebut.
            Selain pakaian seragam percuma, elaun tertentu juga diberikan bagi perkhidmatan-perkhidmatan tertentu.
            Namun, (bukan semua) dari segi disiplin anggota pasukan itu dilihat agak lemah dan tidak dikawal rapi oleh pihak atasan mereka. Antara yang kerap penulis perhatikan adalah;

1.         Kekemasan pemakaian uniform. Ada yang membuka butang baju hingga mendedahkan dada dengan alasan kepanasan. Begitu juga dengan gajet-gajet yang lain dimana ia dipakai oleh beberapa anggota tidak mengikut tahap kekemasan yang sewajarnya. Malangnya, mereka ini tidak mendapat teguran meskipun melintasi atau dilintasi oleh pegawai atasan mereka.
2.        Merokok di khalayak. Dengan uniform yang lengkap ramai angggota yang merokok di hadapan khalayak sedang mereka dalam tugas. Kalaupun, dibenarkan (dengan syarat topi dibuka), mereka sepatutnya merokok di tempat yang agak tersembunyi sedikit. Bahkan, pengalaman penulis menghadiri satu taklimat RELA, ada pegawai-pegawai Rela yang di duduk di barisan meja hadapan merokok di hadapan anggota-anggota yang sedang menerima taklimat dalam dewan. Ini sungguh memual dan memalukan.

PENULIS teringat zaman bersekolah dulu dimana penulis menyertai pasukan pengakap. Ketika itu disiplin pengakap begitu tinggi. Bukan sahaja ketika beruniform malah jika seorang pengakap melakukah salah laku serius ketika waktu persekolahan biasa pun, dia tetap menerima dua denda. Satu oleh pihak disiplin sekolah dan kedua dari kepimpinan pengakap sendiri dan ada yang terpaksa dipecat.
            Namun bagi pnulis Rela tidaklah perlu sampai begitu. Tetapi dari sudut disiplin wajarlah dipatuhi dan sentiasa dijaga rapi. Seperti pengakap yang lebih bersifat 'bantuan' begitu jugalah RELA.
            Justeru, satu unit khas (risikan) perlu diwujudkan bagi memantau tahap disiplin anggota dan mereka perlu diberi ingatan, amaran hinggalah kepada memecat keanggotaan jika salah laku yang mereka lakukan itu boleh menjejaskan nama baik Rela.
            Seorang anggota berpangkat sarjan, dalam selorohnya mengkritik rakan-rakannya yang mengambil bahagian dalam perbarisan kehormat sebagai berkata kawat kaki kumpulan itu tidak kemas disebabkan perbarisan itu dibuat atas rumput bukan di datataran.
            Penulis mencelah, bukan rumput atau dataran batu yang penting tetapi adalah disiplin kawat itu yang utama. Kesederapan hayunan tangan dan kaki serta hentakan ke bumi yang dilihat sama ada sama, tangkas atau sebaliknya.
            Sesungguhnya, sebagai anggota unit beruniform, melestarikan disiplin amatlah penting demi martabat pasukan itu sendiri. Tiada alasan ia adalah 'kerelaan' kerana anda tidak dipaksa menyertainya tetapi setelah berada di dalam pasukan itu, anda sebenarnya tertakluk dengan peraturan-pertaturan yang ditetapkan.
            Selamat berkhidmat.

Jagindas:      Masuk tandas di rumah pun pakai slipar..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas komen anda.