Masih Adakah Kasih Sayangmu Dikala Nyanyukku? |
Masihkah Ada Kasih Sayangmu Padaku?
MUKDIMAH: Cerita ini agak
panjang. Harus ada kesabaran untuk membacanya. Namun, penulis merasakan ianya
baik untuk dijadikan bahan fikir atau untuk renungan bersama - selamat membaca:
DALAM ENTRI sebelum ini ada penulis membebel
tentang nafsu seorang lelaki tua terhadap wanita selagi namanya lelaki ( di sini). Tidaklah bermaksud
apa-apa yang pelik tidak juga tulisan itu khas untuk pembaca lelaki sahaja.
Wanita juga harus memahami kandungan teks tersebut. Itu pada fikiran penulis
lah.
Kali
ini penulis akan memaparkan satu kisah yang hampir sama tetapi lebih kepada
nasib seorang tua (tak kira lelaki atau perempuan namun dalam kisah ini ia mengisahkan
nasib seorang lelaki) yang sudah melepasi usia 82 tahun. Orang tua ini juga
sudah dipastikan mengalami nyanyuk. Penulis mendapat cerita ini daripada
penceritaan seorang rakan yang katanya berlaku dalam ahli keluarganya. Lebih
tepat lelaki itu adalah mertuanya.
Nyanyuk adalah antara penyakit yang tiada
penawarnya. Bersyukur amatlah bagi mereka yang sudah lanjut usia tetapi masih
waras dan cergas. Bagi yang kurang bernasib baik, sececah usia 60an pun sudah
menerima kedatangan nyanyuk. Apapun, demikian kehendak Allah swt yang lebih
tahu akan anugerahnya itu.
Berbalik
kepada orang tua itu, isterinya masih hidup dan sihat (sihat orang tua-tua..).
Selain nyanyuk, lelaki tua ini menghidap penyakit kencing manis tetapi
terkawal. Biasalah orang nyanyuk, ada kalanya dia marah tidak tentu pasal .
Kadang-kadang hanya perkara yang kecil-kecil pun marah dan barannya macamlah
masalah sebesar gunung.
Kalau
dia pergi sepuluh kali ke kedai maka sepuluh kalilah dia membeli nasi bungkus. Peniaga
tidak boleh larang, dimarahnya! Sembahyang tidak pernah tinggal. Pernah
mengerjakan haji dua kali. Arah kiblat, lakunan dan bacaannya betul. Tetapi
adakalanya dia sembahyang berulang kali. Katanya sembahyang sebelum itu adalah
sembahyang sunat. Ada ketikanya lelaki ini bersiakp cemburu. Dia mencemburui
menantu lelaki bahkan cucu lelakinya (yang sudah besar-besar). Dia beranggapan
isterinya ada "affair" dengan lelaki-lelaki tersebut. MasyaAllah... Habis,
dah nyanyuk nak buat macam mana..?
Anak-anak
sudah berkerjaya dan mempunyai keluarga sendiri. Paling dekat pun pada jarak 30
km dari rumahnya. Yang lain-lain tinggal di Kuala Lumpur.
Bab
lupakan harta benda memang sudah mainan dia. Lupa sana dan lupa sini.
Barangkali duit ringgit diapun entah ke mana berteraburnya. Kita yang sihat pun selalu lupa apatah lagi
kalau sudah nyanyuk. Tapi bukan semua perkara dia lupa. Dia boleh membaca
akhbar malah membeli akhbar setiap hari. Ada kalanya dia lupa anak-anaknya.
Maksudnya dia tidak mengenali anak dan
cucunya. Semua anak cucuknya dipanggil dengan satu nama saja. Misalnya 'adik' -
semua anak cucu perempuan dia akan bahasakan adik.
Dia
kerap bertanyakan soalan-soalan yang sama walaupun sudah diberi jawapan yang
jelas. Dia tanya lagi. Tanya lagi dan lagi dan lagi. Memang kalau tidak
sabar...Allah huakbar!
Semasa
hayatnya masih normal, dia ada membeli beberapa keping tanah dan sebagai
penghormatan dia memilikkan tanah itu atas nama isterinya. Barangkali dia berfirasat
kalaulah dia mati dahulu, tidaklah susah payah jandanya menguruskan harta
tersebut. Murninya sifat lekaki tua ini, kalau begitulah niatnya.
Namun,
apabila nyanyuk mengundang ke dalam hidupnya, sang isteri tidak boleh menerima keadaan itu. Sikap marah-marah,
baran dan kerap membebel, bertanya berulang kali tidak dapat diterima isterinya
sebagai perbuatan orang yang sudah tidak normal. Dia (isteri) merasa terbeban
lantas mengatakan semua perbuatan (nyanyuk) itu sebagai dibuat-buat oleh
suaminya. Macam mengada-ngada!
Sikap
baran yang sesekali menyebabkan orang tua itu menyinga dijadikan alasan si
isteri bahawa dia takut tinggal bersama kerana mengkhuatiri suaminya akan
bertindak ganas - mungkin akan mencedera atau membunuhnya pula. MasyaAllah.
Lantas, dengan alasan itu si isteri bertindak meninggalkan suaminya
berseorangan. Dia berpakat dengan anak cucu kononnya dia tinggal dengan
anak-anak di Kuala Lumpur. Alasan ini dibuat kononnya supaya orang tua itu
tidak dapat mencarinya.
Orang
tua itu kerap menelefon anak-anaknya bertanyakan dimana isterinya. Dan
anak-anak terpaksa mengadakan pelbagai penipuan bagi meyakinkan ayah mereka agar
tidak mencari isterinya. Penipuan yang terpaksa dibuat atas kehendak ibu
mereka. Mereka (anak-anak) terperangkap antara dosa, pahala dan durhaka!
Pernah
seorang menantunya memberitahu ibu mertuanya supaya dia perlu menerima hakikat
kenyanyukan suaminya. Dia perlu melayan suaminya seperti biasa mahupun bagaikan
melayan si anak kecil yang nakal dengan perbuatan dan kepetahan berkata-kata.
Tapi sayang, si ibu mertua tetap tidak menerima segala tingkah laku itu sebagai
nyanyuk. Dia tetap berpegang kepada alasan demi keselamatan dirinya.
Sesekali,
si isteri balik ke rumah tetapi bukan berseorangan. Dia hanya akan balik jika
ditemani anak-anak atau cucu dengan alasan takut diapa-apakan suaminya yang
nyanyuk itu. Cuma untuk beberapa hari sahaja. Mereka tidak tidur bersama.
Malah, dikatakan bilik si isteri dikunci apabila masuk waktu tidur. Takut
katanya. Dan, apabila dia (si isteri) mahu pergi, dia akan keluar secara
sembunyi-sembunyi tanpa disedari suaminya. Dan, si suami ditinggalkan keseorangan
kembali.
Bukan
setahun.Dua tahun, tiga tahun. Tetapi menurut ceritanya, pelakuan ini sudah
mencecah lima enam tahun. Ramai yang terbabit denga subahat. Bukan sahaja anak
cucu bahkan saudara mara di sekeliling serta jiran-jiran turut menerima tempias
bersubahat. Konon bagi menjaga hati antara kedua pihak agar tidak berlaku
perkara yang tidak diingini.
Penulis bertanya: sampai bilakah
mereka akan begitu? Sampai bila si isteri memperlakukan suaminya seperti itu?
Rakan
penulis berkata, dia pernah bertanya soalan yang sama kepada ibu mertuanya. Dan
jawapan ibu mertuanya: sehingga abah engkau tidak larat bangun lagi, aku akan
bela dia. Selagi dia boleh bergerak dan kuat aku tidak sanggup dan tak berani
mendekatinya. Berbahaya, katanya.
Apkah
ada jaminan suaminya itu panjang usia sehingga sampai kepada permintaannya itu?
Atau, adakah jaminan bahawa dia (isteri) semestinya mati selepas suaminya
meninggal dunia atau sebaliknya? Dan, tidakkah dia (isteri) memahami betapa
kedudukannya sebagai isteri serta betapa pentingnya isteri mendapatkan syafaat
suaminya?
Penulis
difahamkan, anak-anaknya sudah berbuat bermacam-macam bagi menyatukan mereka
semula. Namun, si ibu tetap dengan keras hatinya!
Menurut
rakan penulis itu, daripada cerita isterinya (anak pasangan tua) mak mertuanya
mendakwa semasa muda mereka (ketika membesarkan anak-anak) kononnya bapa
mertuanya tidak pernah menyumbang (wang) kepada mak mertuanya malah selalu
menyakitkan hati isterinya dengan kata-kata apabila berlaku sebarang
pertelingkahan.
Tapi
kata rakan itu, kini mak mertuanya banyak mendapat manfaat daripada hasil tanah
yang dianugerahkan oleh suaminya semasa muda dulu. Konon katanya, mak mertuanya
kini mampu menyimpan berpuluh ribu ringgit hasil daripada jualan sawitnya.
Kalaulah
begitu, tidakkah mak mertua rakan saya itu: pertama - menerima hakikat bahawa
hukum kesenanangan yang diberikan Allah itu tidak sama bagi semua orang. Ada
orang mendapat kesenangan dari muda. Ada yang tak pernah senang-senang langsung
sampai ke tua.Dalam kes ini dia mendapat kesenangan ketika tuanya. Kedua -
tidakkah dia mensyukuri nikmat daripada pemberian suaminya terdahulu itu?
Bahawa, sejahat mana pun suaminya itu, dia tetap suaminya yang sedarjat lebih
daripada kedudukannya sebagai isteri? Ketiga - tidakkah perbuatan isteri yang
tidak menerima hakikat kenyanyukan suaminya itu bulan sahaja menggambarkan
angkuh dan sombongnya malah ia tidak lebih daripada sebagai tindakan balas
dendam. Astagfrirullah, Nau'zzubillah minzaliq! Akan adakah keberkatannya bagi
isteri yang mendendami suaminya sedang mereka masih bergelar SUAMI-ISTERI?
Tiba-tiba
sahaja penulis menyeru: YaAllah, bagaimanakah kedudukan si isterinya di sisiMu?
Penulis teringat sumpah Allah swt yang antara lain bermaksud sebaik mana amalan
si isteri, neraka jugalah tempatnya kalau dia durhaka kepada suaminya sedang mati
antara mereka itu dalam keadaan si suami tidak sempat memaafkannya.
Apakah
ini balasan terhadap lelaki tua itu atas perbuatan masa lampaunya? Kalaulah
benar begitu, bagaimana pula perbuatan isterinya itu di sisi Allah!
Kadang-kadang,
meskipun ia sebagai alasan yang dhaif, penulis tersangka juga bahawa pengaruh
cerita-cerita barat dan drama-drama kita di kaca-kaca televisyen memungkin
pasangan rumah tangga hari ini tidak lagi berteraskan hukum Islam sebenar dan
adat ketimuran yang halus-budi. Lantas penulis berdoa: Ya Allah, aku mohon
perlindunganMu daripada segala kejahatan hati, keangkuhan dan kealpaan hidup ini.
Maaflah,
penulis hanya mendengar dari sebelah pihak.Namun, dengan mengambilkira senario
kisah tersebut sebagai benar dan dalam konteks kedudukan isteri dalam sesebuah
keluarga Islam, apakah demikian tindakan sewajarnya diperlakukan kepada
suaminya sendiri setelah diri diundang tua, nyanyuk dan sakit?
Kepada
pembaca budiman, barangkali saudara-saudara mampu menguraikan keadaan mereka
itu dan barangkali juga dapat dikongsikan bersama demi menyelamat dua insan
yang pada fikiran penulis sudah amat tersasar daripada lunas hukum kekeluargaan
Islam serta peradaban ketimuran. Bahkan, isu mereka itu turut mengheret ramai
pihak lain yang...... ah, tidak tahulah penulis hendak meletakkan statusnya.
Jagindas: Para Isteri/suami
sekelian, masih adakah kasih sayangmu dihari tua isteri/suamimu nanti?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih atas komen anda.