Ahad, 7 April 2013

CAKAP-CAKAP PRU13 (10) - JANGAN ULANGI KESILAPAN YANG SERUPA


Selalu Insaf Agar Tidak Lupa Diri

PENULIS tidak berkesempatan untuk turut serta bersama puluhan ribu gelombang biru di Stadium Putra, Bukit Jalil bagi menyaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, melancarkan manisfesto pilihanraya umum ke 13 (PRU13) apa yang disebutkan beliau sebagai Akujanji Barisan Nasional (BN).
            Meskipun penulis mengikutinya menerusi siaran langsung di TV, namun dapat dirasakan betapa semaraknya penyokong BN dan betapa 'kelasnya' akujanji yang dilafazkan oleh Najib. Benarlah seperti katanya, tidak ada negara lain di dunia ini yang berani mencuba untuk mendahulukan kepentingan rakyatnya sehingga sedemikian. Biarpun ia adalah aku janji untuk PRU13, namun pada hakikatnya kerajaan BN telah pun melaksanakannya terlebih dahulu. Benar seperti yang didakwa beliau bahawa tidak ada yang terpinggir dan dipinggirkan!
              Di akhbar Berita Harian hari ini (7/4/13) pada muka surat 4 terpapar enam perenggan petikan daripada ucapan-ucapan Najib ketika pelancaran akujanji itu untuk 'renungan' rakyat Malaysia seluruhnya.
            Antara lain di kutipan ke tiga catatan renungan itu Najib berkata:
         
          "Kita akur, kerajaan BN tidak bebas daripada
          kekhilafan tetapi yang membezakan kami dan
          mereka ialah mereka tidak mempunyai
          ketawadukan untuk mengakui kesilpan sebaliknya
          mencipta alasan demi alasan dengan penuh
          gegak gempita menyalahkan yang lain..."

            Kalau tidak silap, dalam satu ucapan perdana sebelum ini, Najib pernah dengan rendah diri mengakui bahawa BN pernah melakukan beberapa kesilapan dan kekhilafan masa lalu namun berjanji akan terus berusaha membetulkannya sehinggalah terwujudkan ilham semangat "Satu Malaysia - Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan"
            Mengakui kesilapan  serta insaf di atasnya adalah sesuatu perbuatan yang amat disanjungi Islam jika dilakukan dengan jujur dan ikhlas. Begitulah yang terjadi di mana kejujuran itu jelas terpancar apabila sokongan rakyat semakin menyebelahi BN dan pihak pembangkang semakin lemah, mengalah dan terperangkap dalam memperkatakan sesuatu isu. Allahamdulillah dan syukurlah kerana semuanya atas kehendak-Nya jua!
            Pun begitu, amatlah diharapkan agar setiap kita tidak melakukan kesilapan yang serupa pada masa mendatang. Tiada maknanya, mengaku silap, mohon maaf dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi tetapi realitinya 'keburukan' yang serupa masih terulang dan diulang ulang.
            Justeru, kepada semua penyokong dan pendokong BN, hayati intipati ucapan itu dengan hati naluri yang tajam lagi terbuka agar rakyat akan terus berkepercayaan penuh kepada BN. Penulis fikir tidak perlulah menyatakan contoh-contoh kesilapan yang lalu itu kerana jika benarlah Umno dan BN itu telah matang, sedar dan insaf mereka sendiri sudah maklum jawapannya. Selain sombong, bongkak dan tidak jujur, berpada-padalah terhadap kepentingan kroni dan kepentingan anak beranak.

SEMOGA BERJAYA.

           
Jagindas: Melaksana tidak semudah mengucapkannya...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas komen anda.