Ahad, 7 April 2013

CAKAP-CAKAP PRU13 - (9) - KLASIK NASIONAL IMBAU KENANGAN


Terkenang Zaman Askar Di Perbatasan Tahun 60an

SEJAK peristiwa terkorbannya 10 anggota keselamatan dalam mempertahankan kedaulatan negara di Lahad Datu ketika menghadapi serangan penceroboh bersenjata pengganas Kiram, Radio Televisyen Malaysia (RTM) begitu kerap memainkan lagu-lagu berjiwa patriotik terutama di saluran antiknya Klasik Nasional.
            Lagu-lagu seperti Inilah Barisan Kita dendangan Jamaludin Alias bersama Kombo RTM, Sanisah Huri dengan lagunya Si Baju Hijau, Ahmad Jais bersama Kucupan Azimat dan Salmah Ismail (Saloma) pula dengan lagu Perwiraku adalah antara lagu-lagu berunsur patriotik yang begitu kerap dimainkan di saluran Klasik Nasional RTM sekarang. Ramai lagi penyanyi yang turut merakamkan lagu-lagu berelemen patriotik zaman 60-an dulu seperti M Bakri, A Halim, Jefridin dan yang seangkatannya. P Ramlee dan anak-anak seni sesazamannya juga tidak terkecuali.
          Mendengarkan lagu-lagu itu penulis teringat zaman kanak-kanak dulu lewat tahun 60-an. Memang, kesemua lagu-lagu itu kini sudah berusia lebih 40 tahun. Ketika penulis bersekolah rendah, lagu 'Inilah Barisan Kita' semacam menjadi lagu wajib ketika belajar pendidikan seni. Semangat lagu itu memang tinggi sehingga boleh dikatakan setiap kami yang lelaki bercita-cita untuk menjadi askar apabila dewasa. Padahal ketika itu kami cuma tahu bahawa askar itu hanya berperang bunuh musuh, itu saja!
            Keunikan anak seni muzik tempatan ketika itu juga mereka gemar (berkeupayaan) mencipta lagu-lagu berunsur sedemikian. Bersesuaian pula ketika itu askar-askar Melayu banyak bertugas di perbatasan mempertahan negara daripada ancaman saki baki komunis dan anasir subversif.
            Antaranya di sempadan utara negera seperti di Grik, Kelantan, Pahang malah ramai tentera yang berulang alik ke Sabah dan Sarawak ketika itu. Di Sarawak bapa saudara penulis sendiri pernah bertempur dengan komunis ketiak hendak berbuka puasa. Enam bandit berkecai, katanya. Meremang bulu roma mendengar ceritanya.
            Ada sebahagian mereka berpeluang membawa bersama anak bini ke kem tersebut tetapi kebanyakannya meninggalkan keluarga mereka di kampung.. Ada yang bernikah seminggu kemudian terpaksa berpisah demi tanah air tercinta. Ramai perempuan muda yang jadi janda. Ramai anak yang tidak pernah kenal bapaknya. Maklum situasi ketika itu, jika umur panjang bertemu kembali. Kalau bertemu pun belum tentu sempurna atau kembali dalam keadaan cacat. Malah, mereka yang terbabit yang menjadi mangsa serangan komunis rasanya masih ada lagi seorang dua yanh hidup hingga sekarang.
            Saluran Radio Klasik Nasional (SRKN) kini benar-benar mengembalikan imbauan kenangan zaman-zaman itu. Walaupun penulis yang hidup dalam keadaan kais pagi makan pagi namun setiap hari zaman kanak-kanak penulis sentiasa di teman ibu dan ayah. Namun, beberapa rakan-rakan ketika itu hanya bertemankan ibu, datuk dan nenek kerana bapanya sedang bersabung nyawa di perbatasan.
            Mereka yang masih hidup tentu masih ingat rentetan peristiwa ini. Ia masih segar dalam ingatan. Namun, alangkah keciwanya penulis kerana ketika negara sudah terbuka sekarang mereka begitu mudah melupakan laluan-laluan pahit itu. Mudahnya menghina negara dan menafikan pengorbanan negara. Barangkali yang muda hari ini tidak mengerti atau sukar untuk menghalusinya.      Pun begitu, pemikiran mereka semakin rosak kerana ada yang tahu sejarah jatuh bangun negara sendiri pun telah berpaling hanya disebabkan sesen dua dan kuasa yang gila...
            Justeru, kita tidak perlu jadi gila hanya kerana mengekori orang gila. Undilah Barisan Nasional demi kesempurnaan anak cucu mendatang..Akujanji BN yang disempurnakan Perdana Menteri malam tadi memang hebat yang tidak terfikir oleh pemimpin negara lain untuk mencubanya!


Jagindas: Ada kenangan silam ketika menyertai Pasukan Simpanan Tentera Darat (PSTD) 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas komen anda.