Rabu, 2 Januari 2013

AL-ARQAM MENDAHULUI PAS


Ramai Yg. Sesat Tak Sempat Ke Pangkal Jalan...

DALAM seminggu dua ini nampaknya nafas kita disesakkan dengan isu pengkafiran umat Umno oleh Hadi Awang berdasarkan fatwa yang diucapkan pemimpin tertingi Pas itu lebih 31 tahun lalu. Pengakuan demi pengakuan kesesatan yang dibawa oleh fatwa Hadi itu kini benar-benar menaikkan keinsafan dan kekesalan termasuk mereka yang terselamat daripada tergoda dengan fatwa tersebut. Pembaca budiman tentu sedia maklum, kerana hampir setiap hari berita ini dipaparkan di media-media arus perdana terutamanya Akhbar Utusan Malaysia.
            Menyingkap beberapa siri penyesalan tersebut, penulis teringat kisah rakan baik penulis sendiri (Jul - bukan nama sebenar) kira-kira 37 tahun lalu. Bezanya kekeliruan rakan penulis itu disebabkan ketaksubannya terhadap Imam Abuya Asy-Shaari Al-Arqami. Ketika itu penulis masih belajar di sebuah pusat pengajian tinggi di Selangor.
            Suatu hari seorang sahabat menulis surat agar penulis dapat balik barang sehari dua kerana mereka begitu sedih dengan sikap Jul yang bukan sahaja telah membuang sama sekali nikmat dunia malah turut 'mengkasari' ibu bapa, adik beradik, sanak saudara serta jiran sekampungnya.
            Jul telah membakar semua sijil-sijil persekolahannya dan membuang semua benda yang didakwa boleh membawa kepada kealpaan seperti radio dan televisyen. Ibadat yang dilakukan oleh ibu bapanya semua dilihat tidak betul malah peralatan ibadata serta pakaian seharian yang digunakan juga seperti sejadah dan sebagainya dikatakan sebagai najis kerana didakwanya berpunca daripada sumber yang bercampur baur antara haram dan halal. Wah, penulis jadi bengang amat. Lantas segera balik.
            Penulis mengajak dua rakan lagi untuk 'menziarahi' Jul (takut juga, mana tau, kalau-kalau dia mengamok!). Sampai dirumah Jul, kami dijemput naik ke rumah. Ibu bapa Jul juga turut ada ketika itu. Kami dihidangkan air teh dan biskut oleh makcik (mak Jul). Tiada sebarang perbualan. Masing-masing diam. Penulis sengaja berbuat demikian kerana ingin melihat sejauh mana rakan penulis itu benar-benar 'sakit'.
            Akhirnya tiba-tiba terpacul dari mulut Jul yang masih saya ingat begini bunyinya: Kau orang tahu tak, ini (sambil menunjukkan kedua orang tuanya) mereka ini belum tentu sah nikahnya! Patut nikah semula!
            Penulis akui, ketika umur itu, penulis memang panas baran. Belum pun sempat dia menyambung hujahnya, tanpa penulis sedari, penulis terus melompat kehadapannya lantas menampr muka dan mulutnya. Dia tidak melawan. Penulis melihat makcik dan pakcik menangis. Sampai sekarang penulis tidak pasti apakah dia menagis kerana penulsi menampar muka anaknya atau terlalu sedih dengan tuduhan anaknya itu sebentar tadi! Atau, mungkinkah itu terima kasihnya kepada penulis kerana selama ini mereka tidak mampu untuk menamparnya? Wallahhu'allah. Allah sahaja yang maha tahu!
            Kemudian penulis memohon maaf dan kami pun terus pulang tanpa menoleh kebelakang lagi. Setahun lamanya penulis tidak menghubunginya mahu pun mengambil tahu hal ehwal dirinya. Memang geram betul.Rasa nak bunuh saja dia ketika itu.
            Selepas setahun, rakan-rakan penulis mengabarkan satu berita gembira bahawa Jul telah kembali kepada kehidupan yang normal. Dia mendapatkan semula semua salinan sijil-sijilnya dan telah diambil bertugas sebagai penyelia di sebuah syarikat. Bebebrapa tahun selepas itu dia mendirikan rumah tangga dengan seorang amoi yang dimuaallafkannya. Sehingga sekarang mereka hidup bahgia di samping anak-anak yang kesemuanya berjaya belaka.
            Alhamdulillah! Sampai sekarang kami masih berkawan. Tapi dalam setahun dua ini nampaknya arah sembangnya sudah mirip kepada Pas pulak....
            Begitulah serba ringkas terhadap peristiwa yang hampir menerjunkan seorang muslim ke neraka jahanam hanya kerana "keghairahan" mahu membetulkan diri dan memperjuangkan Islam. Demikianlah Hadi Awang, sama seperti Abuya Asy-Shaari, betapa ramaikah yang telah tersungkur ke bumi dengan iktikad bahawa amanat Hadi itu benar sehingga mati dalam keadaan terfaraq dengan muslimin dan muslimat lain ketika di dunia bahkah dengan ibu bapa dan saudara kandung mereka sendiri. Allahhurabbi, engkaulah maha pengampun.
            Kepada yang masih hidup, sementara nafas dan pintu taubat masih ada, kembalilah ke jalan sebenar yang dituntut oleh Islam, marilah kita kembali eratkan persaudaraan sesama Islam...


Jagindas: Bisa juga tanganku ini rupanya... (Jul, nak kena penampo lagi ke?)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas komen anda.