Khamis, 7 November 2013

MUNGKINKAH PAS AKAN TERKONTANG KANTENG

Jika PR Tolak Pas dan Pas Tolak BN

PELBAGAI Pihak memberikan pandangan balas terhadap cadangan pengerusi DAP, Karpal Singh,supaya pihak pendaftar pertubuhan membatalkan mana-mana pertubuhan, NGO  dan parti politik yang berteraskan agama atau kaum (baca di sini).
            Memanglah, Karpal, adalah antara pemimpin pembangkang yang sering turut terikut-ikut memainkan isu agama (Islam) dan kaum dalam isu-isu politik yang dijeritkannya. Barangkali juga beliau memang sengaja berbuat demikian kerana porovokasi memang sudah menjadi mainan puak-puan pembangkang.
            Tegasannya terhadap NGO atau parti politik yan berteraskan kaum dan agama baru-baru ini harus dipandang dari perspektif yang luas tidak sahaja merujuk kepada PAS mahupun DAP sendiri.
            Harus diingat bahawa Pakatan Rakyat (PR) sehingga ini bukanlah sebuah parti politik yang berdaftar. Ia sekadar momokan yang kononnya memberitahu khalayak bahawa Pas, DAP dan Parti KeAdilan Rakyat (PKR) sebagai sebuah persepakatan politik. Dan, ramai terperangkap berikutan gaya persembahan mereka yang seolah-olah nama "Pakatan Rakyat" itu sah di sisi undang-undang.
            Pun, begitu permainan mereka itu membawa malang kepada khalayak khususnya kerajaan dan media kerana turut mewar-warkan nama PR seperti menyebut BN yang sememangnya sah di sisi undang-undang.
            Ia lebih jelas terpamer apabila menjelang pilihanraya umum. Namun, bagi pilihanraya kecil seperti di Sg Limau baru-baru ini nama PR itu tidak begitu menonjol. Seolah-olah Pas bergerak sendirian. Jeritan Anwar pun terlalu sayup.
            Manakala Barisan Nasioanal (BN) pula adalah sebuah parti politik yang sah berdaftar yang di dalamnya terahli daripada 13 parti kompenan lain di mana terasnya adalah umno.
            Dari segi parti kompenannya, umno dan MCA adalah amat jelas didominasi satu kaum iaitu melayu atau bumiputera (umno) dan cina (MCA). Tetapi lain-lain parti kompenannya memberi ruang kepada pelbagai kaum dan agama mengahlinya. Misalnya, kaum india muslim boleh menganggotai MIC. Parti Gerakan pula menerima semua kaum menjadi ahlinya tanpa mengira agama mereka.
            Namun, apabila mereka (pati-parti kompenan) ini bersatu di bawah satu panji-panji iaitu BN, maka wujudlah ia sebagai sebuah parti yang berbilang kaum dan agama. Satu realiti yang jelas mengkaitkannya dengan konsep dan prinsip Satu Malaysia (1M).
            Bererti, gesaan Karpal supaya membatalkan parti politik dan NGO yang berarah kepada satu kaum dan agama tidak kena tempiasnya sama sekali terhadap BN. Walaupun BN terdiri daripada 13 parti politik tetapi untuk muncul dalam pilihanraya dan kerajaan hanya nama parti BN sahaja yang digunapakai berikutan parti itu terdaftar sebagai sebuah parti yang sah untuk bertanding dan memerintah negara/negeri (jika menang)
            Sekali gus, Karpal sebenarnya tidaklah menempelak BN sebaliknya dengan sendirinya dia mahu parti Pas dibatalkan . Kerana parti Pas sahaja terarah dalam satu agama iaitu 'Islam'. Islam cara Pas. Meskipun Pas menerima sesiapa sahaja untuk mengganggotai parti itu, namun orang itu hendaklah beragama Islam. Dalam konteks lain pula, Pas tidak menghalang pihak ketiga atau mana-mana pihak untuk membantu memperjuangkan perjuangan parti itu.
            Sebab itu, Pas turut sanggup berkerja sama dengan syaitan sekalipun asalkan cita-citanya tercapai. Apakah jenis cita-cita yang dapat dicapai jika syaitan yang dijadikan rakan kongsinya?  
            DAP, walaupun khalayak melihat ia adalah sebuah parti perkauman yang begitu terang memperjuangkan hak-hak kaum cina dan penuh bau serta semangat kecinaan, namun parti itu menerima sesiapa sahaja menganggotainya tanpa mengira kaum dan agama. sebagai contoh, lihatlah Karpal Singh (kaum Sikh/India) dijadikan pengerusinya.
            Jadi, disini DAP dilihat sebagai sebuah parti yang pelbagai - kaum dan agama. Hal yang sama berlaku juga dalam PKR.
            Mengapakah agaknya Karpal tergamak berkata begitu sedang dia tahu Pas telahpun menjadi sekutunya? Malah mereka pernah bersahabat bagaikan isi dengan kuku! Bagi penulis, itulah sebabnya sehingga sekarang PR tidak diusahakan oleh mereka untuk didaftarkan secara sah sebagai sebuah parti politik seperti BN.
            Kerana, kalau didaftarkan, bermakna komposisi PR juga akan sama seperti BN. Ini bermakna, jelas menunjuk bahawa DAP sebenarnya tidak sesekali mahu Pas berada dalam kelompok mereka. Mereka benci "Islam" melainkan jika ia adalah minoriti seperti beberapa melayu Islam yang menganggotai DAP. Walaupun PKR nampaknya didominasi kaum Melayu tetapi DAP tidak bimbang masalah itu jika DAP bersepadu dengan PKR sebagai sebuah parti kerana bagi pandangan DAP orang melayu Islam dalam PKR tidak seekstrim melayu Islam dalam Pas.
            Jelaslah di situ bahawa secara sinisnya DAP mahu Pas keluar daripada pakatan tersebut kerana beliau tahu mustahil pihak pendaftar pertubuhan membatalkan pendaftaran parti itu melainkan jika Pas melanggar peraturan dan undang-undang tubuhnya.
            Cita-cita DAP kalau dikabulkan suatu masa nanti akan wujud hanya empat parti utama yang bertanding dalam satu-satu pilihanraya iaitu BN, PR , Pas dan Bebas. Justeru, PR menyusun harapan agar lebih ramai orang-orang BN menyertai mereka sama ada masuk DAP atau PKR.  Atau lebih banyak parti kompenan dalam BN yang membubarkan parti mereka atau membawa partinya keluar daripada BN lalu menyekutu PR.
            Jika Pas berhasrat untuk memerintah negara, secara logiknya memanglah tiada jalannya - melainkan dengan kehendak Allah Ta'ala jua. Pilihan yang ada kepada Pas hanyalah menyertai BN seperti tahun 50an-60an dahulu. Jika tidak, Pas akan jadi tukang gerak kepada kerajaan atau pemimpin-pemimpin yang tertidur. Sebagai manusia yang berakal dan tahu hukum, penulis percaya takkanlah Pas sanggup bertindak menghuru-harakan negara!
            Sejajar dengan itu, penulis ucapkan terima kasih kepada Karpal Singh kerana berlaku jujur mahukan Pas keluar daripada rakan kongsi mereka. Tidak kiralah apa sebabnya tetapi apa yang jelas mereka tidak mahu pejuang berlandaskan agama Islam ada dalam pakatannya yakni Islam cara Pas. Padahal, sudah banyak isu-isu masalah berkaitan Islam yang membungkamkan Pas daripada bersuara lantang sehingga khalayak menyifatkan Pas bagaikan kena cucuk hidup oleh DAP. Isu tuntutan penggunaan  nama Allah oleh puak Kristian baru-baru ini adalah antara bukti nyata yang Pas membisu seribu bahasa.
            Pada Pas dengan cara itu, rakannya daripada DAP dan PKR akan menghormatinya. Tetapi Pas lupa, Karpal Singh adalah peguan terkemuka dan tinggi 'pembacaannya'. Semudah itukah Karpal / DAP hendak diperbodohkan?
            Adakah Pas perasan hal ini? Sudahkan Pas terasa bahawa kehadirannya sekarang di sisi DAP dan PKR umpama hidung tak mancung pipi tersorong-sorong? Apatah lagi setelah Karpal menyuarakan cadangan tersebut.
            Sedangkan, jika Pas sudi menyertai BN, banyak orang melayu Islam di situ yang boleh mereka kongsikan perjuangannya. Orang melayu Islam dalam Pas dan umno sebenarnya masih saling perlu memerlukan sama ada hal-hal berkaitan dunia mahupun akhirat.
            Tetapi, hendaklah Islam yang rohnya adalah hanya dan semata-mata berjiwa sunnah wal jamaah. Tiada fahaman lain selain daripada itu terutama syiah dan yang seangkatannya.
            Jika Pas menyatu dengan BN dan suatu masa nanti terjadi di mana ramai ahli umno menyertai Pas sehingga menjadikan Pas mendominasi parti orang Melayu menggantikan tempat umno, tidakkah mustahil seorang ulamak Pas akan menjadi Perdana Menteri? Kalaulah itu yang tuan-tuan mahukan. Apakah tuan-tuan tidak yakin?
            Pada hemat dan pemerhatian penulis, secara majoritinya, di surau-surau di masjid-masjid dan di majlis-majlis ilmu, orang Pas-lah yang paling ramai di situ. Bantulah umno dan BN, Insya-Allah melayu Islam akan terus kukuh, mantap dan unggul paling tidak di bumi Malaysia ini.


JagindasBagaimana?.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas komen anda.