Ahad, 15 Julai 2012

JENAYAH SEMAKIN MENINGKAT?


Apakah Benar Fakta Disorok?
Musa Hassan... Jangan sorok-sorok
BANYAK pihak membeliakkan mata apabila bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan mendakwa kadar jenayah di Malaysia sememangnya telah meningkat. Menteri Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin dan  Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, adalah antara yang menafikan kenyataan tersebut.
            Bila ada pro dan kontra maka tentu jawapannya barangkali ya atau tidak. Tapi saya percaya dakwaan Musa lebih relevan berbanding penafian. Itu pandangan peribadi saya.
Ismail ... jenayah menurun
Umumnya, sebut sahaja jenayah khalayak akan memandangnya sebagai rompak, curi, samun, bunuh, rogol, pelbagai jenis penipuan, bunuh diri dan beberapa kes yang membabitkan perbuatan langsung dari manusia kepada manusia.
            Namun, bagaimana pula dengan rumah urut haram, kedai judi haram, aktiviti jual-beli nombor ekor haram, pusat hiburan haram dan beberapa aktiviti-aktiviti haram yang lain. Tidakkah aktiviti tersebut secara langsung dan tidak langsung bukan sahaja dalam kategori jenayah malah aktiviti itu juga memberi kesan mendorong orang lain untuk berbuat jenayah?
            Sebagai contoh, aktiviti perniagaan judi haram seperti kedai mesin judi berkomputer yang khabarnya begitu mengasyikan pelanggannya boleh menyebabkan si-pelanggan menjadi miskin dan papa-kedana yang akhir   memberi kesan mendorong mereka terbabit melakukan jenayah lain seperti ragut, curi, samun dan pecah rumah.
Hishamuddin ... tak betul
           Demikian juga kes-kes taukeh-taukeh menyembunyikan pekerja asing demi mengaut keuntungan lebih dan kemasukan secara haram rakyat asing ke negara ini. Apakah sebaik sahaja program 6P tamat maka masalah tersebut selesai sepenuhnya? Tidakkah ini menyebabkan peluang bekerja rakyat tempatan semakin terhimpit sekaligus mereka (rakyat negara ini) yang terdesak untuk hidup akan melakukan jenayah seperti yang disebutkan?
            Jadi, saya percaya Musa melihat jenayah itu secara lebih luas dan dia yakin aktiviti-aktiviti haram di negara ini barangkali bertambah banyak dan tersembunyi. Adalah menjadi amat pelik, jika hari ini sebuah perimis judi haram diserbu namun keesokan harinya perimis berkenaan beroperasi semula. Banyak lagi contoh yang terang dan nyata yang boleh difikirkan.
            Timbullah soalan yang sama, mengapa takut untuk menyatakan yang sebenar? Apakah dasar kerajaan demi mententeramkan jiwa rakyat, pelancong dan pelabur asing maka tindakan "berbuat dalih" difikirkan jalan terbaik?
            Saya mengambil contoh begini: sekiranya ramalan cuaca mendapati bulan ini hujan ribut 24jam selama dua minggu maka ia perlu mengabarkannya kepada umum supaya rakyat boleh membuat persediaan dari pelbagai segi seperti menyediakan stok makanan, minyak, lilin, bateri dan lain-lain keperluan asas selain dari memperkemaskan tempat tinggal masing-masing. Soal dikhuatri rakyat akan panik dan harga barang akan naik tidak timbul sebab keselamatan dan nyawa manusia lebih penting.
            Dengan menyembunyikan fakta itu, apakah setelah betul-betul berlaku kejadian itu, kerajaan mampu menggalas tanggungjawab menyelamat dan memberi bantuan kepada rakyat seluruh negara dalam satu-satu masa dengan kekuatan yang kita ada sekarang?
            Justeru, saranan Musa itu perlu difikirkan oleh pihak terbabit sebernas-bernasnya. Dan, atas prinsip ketelusan, maka kita tidak perlu ada dua fakta, dua fail atau dua versi dalam menyebarkan maklumat sebenar kepada rakyat. Itupun kalau benarlah dakwaan Musa itu BENAR!


Jagindas:   Tak perlu sembunyi-sembunyi, rakyat perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dan tidak leka. Kita tidak mahu nanti sudah nak terberak mahu nak cari lubang!




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas komen anda.