Selasa, 11 September 2012

AKAL ITU PELITA HATI


GELAPLAH ILMU TANPA AKAL YANG SEMPURNA!

KELMARIN, saya kurang sihat. Jadinya berehat saja di rumah. Dengan tidak di sangka-sangka, saya didatangi seorang muda lelaki. Dia masih belajar di universti tempatan ditahun tiga.
            Dalam perbualan kami itu, dia lebih banyak meminta pendapat saya khususnya terhadap beberapa peristiwa yang berlaku dalam negara sekarang terutama yang menyentuh tingkah laku orang muda terhadap negaranya sendiri.
            Antara soalan yang diajukan yang menarik perhatian saya adalah:
            (1) mengapa anak muda sekarang terlalu bebas melaksanakan kehendak                    hati?,
            (2) mengapa generasi sekarang terlalu merasakan hidup mereka selesa                       terutama anak Melayu?
Agak lama juga saya bersedia memberikan jawapannya. Bukan kerana soalan itu terlalu umum untk dijawab tetapi memikir apakah "budak" ini memahami apa yang akan saya jelskan nanti. Namun, melihat dia mengharap jawapan daripada saya maka saya gagahkan juga menerangkan kepadanya: Maka, Saya pun berkata;


            (i)        Orang tua-tua dulu kata penuhkanlah ilmu di dada. Padahal ketika kita menuntut ilmu kita menggunakan keupayaan otak sepenuhnya bagi memahami sesuatu yang dipelajari. Mengapa tidak dikata penuhkanlah ilmu di kepala atau dalam otak?
            (ii)       Cuba lihat binatang. Mereka tidak boleh bertutur dan menuntut ilmu seperti manusia. Tetapi mereka juga boleh hidup dan menjaga diri dengan menggunakan keupayaan otak mereka.
            (iii)     Perhatikan, Tuhan meletakkan otak manusia itu di bahagian  teratas manakala hati dan jantung di bahagian dada dan abdomen. Ini bermakna, kedudukan otak darjatnya lebih tinggi / mulia berbanding organ-organ lain.
           
            Justeru, manusia yang kurang ilmu tetapi "perkasa" otaknya lebih baik daripada mereka yang banyak ilmu tetapi "lemah" otaknya. Ini bermakna, jika pemikiran manusia itu gagal mengawal ilmu yang sarat di dadanya, perilaku manusia itu akan jadi pincang.
            Sebaliknya, jika otaknya dapat mengawal rentak hatinya, manusia itu akan berdiri dengan normal dan terkawal.
            Ringkasnya, ramai manusia hari ini yang otaknya tidak mampu atau tidak dijana berfikir secara waras walaupun mereka memiliki ilmu yang banyak, tinggi dan bermutu. Maka, ilmunya yang banyak itu telah dimanipulasikan oleh hatinya lantas terjadilah tindakan yang diluar kenormalan manusia.
            Sebab itu orang tua-tua kata, tepuk dada tanya selera. Dan, jika pepatah ini digunakan dalam kehidupan, sebenarnya ia tidak akan mendorong sesuatu yang baik, normal dan bernilai. Makanya, timbullah peribahasa berkata: fikiran (akal) itu pelita hati.
            Dengan kata lain, hati menjadi gelap jika tidak dibantu akal fikiran. Jelasnya, kalau dalam dada penuh dengan ilmu sekali pun, ilmu itu akan menjadi gelap tanpa pedoman jika ia tidak diterangi oleh akal fikiran.
            Sebagai contoh, seorang sauadara saya tidak tahu menulis membaca dan mengira (Allahyarham). Namun dia memiliki kedai runcit di kampungnya. Ilmu yang ada padanya hanya menggunakan sempoa. Mata hatinya melihat semua nombor dan nilai pada buah-buah sempoa. Kalau ditulis suatu nombor, dia tidak akan kenal apatah lagi meminta dia menulisnya. Isterinya (boleh membaca dan menulis) akan memberitahu dia harga setiap barangan yang dijual dan jejarinya akan memainkan sempoa bagi mendapatkan harga dan jumlahnya. Orang ini tidak ada ilmu tetapi ketajaman akalnya membolehkan dia menjadi peniaga yang berjaya di kampungnya. Bagimana pula dengan seorang graduan yang sempurna pancanderanya serta memiliki ijazah pengurusan perniagaan?
            Sampai di sini saya menamatkan kata-kata dengan soalan: dapatkah kamu mengaitkan beberapa contoh yang berlaku di sekeliling kamu sekarang? Jenayah, rasuah, rompak, bunuh, rogol, penipuan, kebiadaban dan macam-macam lagi!
            Sepanjang saya berbahasa, pemuda itu mengangguk-ngangguk. Mata sesekali menepati muka saya. Selebihnya dia mencatat. Tidak tahulah apa yang dicatatnya.
            Dia tidak menyoal lagi. Saya harap saya telah berbuat sesuatu yang baik untuk mindanya.


Jagindas:  cuba baca artikel ini pulak  di sini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas komen anda.