Rabu, 8 Ogos 2012

SERVIS-LAH KENDERAAN ANDA


Memandulah Dengan Cermat, Sabar dan Berhemat

NGERI... minta disimpangkan malaikat 44
SETIAP TAHUN, menjelang sahaja sambuTan hari raya aidilfitri, kita kerap disajikan dengan berita kemalangan jalan raya dan kemalangan akibat bermain mercun. Berita kehilangan nyawa dan kecacatan anggota akan menjadi hiasan muka depan akhbar-akbar dan media-media elekronik.
            Bermacam kempen dan nasihat telah diberikan oleh pihak berwajib, namun kemalangan tetap juga berlaku malah paling menyedihkan ada kemalangan yang berlaku semacam ditempah-tempah seperti dalam hal bermain mercun dan bunga api.
            Banyak pihak yang dapat dikaitan bagi setiap peristiwa kecelakaan tersebut. Daripada pengawasan ibu bapa, penjual bahan letupan hinggalah kepada sensitiviti masyarakat terhadap perkara-perkara berkenaan.
            Begitu juga dengan kemalangan jalan raya. Kadang-kadang sukar untuk meramal punca dan kemenjadian peritiwa buruk itu. Ada ketikanya satu pihak sudah cukup berhati-hati namun celaka datang juga apabila satu pihak lain pula tidak berbuat demikian. Kes seperti ini disifatkan kes naya, namun naya apa sekalipun, tiada ertinya lagi kalau nyawa sudah tiada atau kecacatan kekal menjadi milik sepanjang usia.
            Dalam soal kenderaan, selain memastikan kondisi kenderaan yang dipandu berada dalam keadaan yang baik, tip-top, sifat kesabaran adalah satu faktor yang amat penting dimilki oleh semua pemilik dan pemandu.
            Biasanya, kelajuan melampau kerap dikaitkan dengan berlakunya kemalangan. Namun, sikap sopan santun tidak bertempat seperti memandu terlalu perlahan di kawasan-kawasan tertentu juga turut menjadi penyebab berlakunya kemalangan. Makna kata, apabila memandu, setiap pemandu janganlah bersikap mementingkan kepentingan diri sehingga menidakkan kepentingan orang lain. Bertimbang rasa dan saling bertolak ansur amat penting.
            Jarang sekali kita dengar pancaran sinar lampu seperti lampu atas dan lampu spot adalah juga penyebabkan berlakunya kemalangan. Sukar untuk mendakwa kerana yang menjadi mangsanya biasanya sudah meninggal dunia.
            Namun, apa yang pasti pemandu yang tidak mengawal kepenggunaan lampu atas dan lampu spot juga boleh menyebabkan pemandu lain hilang arah dalam pemanduannya terutama mereka yang mengalami masalah mata dan memandu di waktu malam.
            Kadang-kadang, untuk di negara ini saya fikir lampu spot tidak ada kepentingannya kerana sinarnya boleh mengaburkan pemandu dihadapannya berikutan ada penggunanya yang tidak berdisiplin menyalakan lampu tersebut.
            Apapun, setidak-tidaknya sebelum kenderaan dipandu jauh di musim raya ini, pastikanlah kenderaan masing tip-top. Kondisi keempat-empat tayar termasuk tayar simpanan, sistem berek, sistem air penyejuk injin, kekuatan tali-tali belting, lampu isyarat depan belakang kiri dan kanan, sistem penghawa dingin, sistem wiper cermin depan, lampu dan sebagainya pastikan berada dalam keadaan yang baik dan berfungsi dengan sempurna.
            Dapatkanlah khidmat pomen yang anda percayai atau dapatkan sahaja perkhidmatan puspakom. Apalah sangat nilai sepuluh dua ringgit demi keselamatan diri dan ahli keluarga kita.
            Demikian juga kepada penunggang-penunggang motosikal. Walau seelok mana sekalipun keadaan motisikal anda, menungganglah dengan akal fikiran dan janganlah biarkan nafsu mengawal pemanduan anda. Sayangilah nyawa dan anggota anda.
            Pandulah dengan sabar dan tertib. Semoga selamat sampai ke destinasi yang hendak dituju dan semoga selamat kembali ke rumah masing-masing selepas beraya sakan. Ingatlah orang tersayang, lebih-lebih lagi nayawa dan anggota tubuh badan anda sendiri.

Jagindas:   balik ke johor selepas sembahyang raya nanti, insyaAllah...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas komen anda.