Isnin, 3 Jun 2013

MEMBINA RUMAH PENJAGAAN ANAK YATIM

Usaha Murni Tetapi Tidaklah Semudah Itu..

[Dalam satu hadis Baginda s.a.w. bersabda "Sebaik-baik rumah tangga muslim ialah yang di dalamnya ada anak yatim yang dilayani dengan baik" (H.R. Ibnu Majah)]

SEWAJARNYA kita menyangjungi kepada pihak-pihak persendirian yang mahu mendirikan rumah-rumah penjagaan anak yatim. Keikhlasan bukan setakat di hati malah mereka juga berkorban harta benda, masa dan tenaga tanpa mengharap pulangan untung rugi. Benarlah ianya bukanlah perniagaan, tetapi tidak ramai yang berupaya berkorban di jalan Allah atas nama anak yatim seperti itu.
            Baru-baru ini penulis sempat menjenguk sebuah rumah penjagaan anak yatim yang baru berusia kira-kira dua tahun. Pun begitu pembinaan dan pengubahsuaian rumah berkenaan masih berlaku. Pendek kata ia bermula secara beransur-ansur tetapi berterusan, gigih dan menginsafkan.
            Khabarnya, pasangan itu mendirikan rumah berkenaan atas kesedaran dan pebelanjaan mereka sendiri di atas tapak tanahnya sendiri yang luasnya tidak seberapa besar dengan melakukan beberapa pengubahsuaian rumah lamanya.
            Penulis yang tertarik dengan usaha murninya itu sempat bertanyakan langkah-langkah dan peraturan-peraturan yang perlu dilakukan sebelum rumah murni itu di bina sehinggalah ia beroperasi dengan sempurna.
            Rumah yang menempatkan 21 anak yatim dari pelbagai tempat di Perak itu dikatakan setakat ini sudah menelan belanja kira-kira RM30,000 termasuk hasil derma dan wakaf daripada orang ramai.
             Menurut pengusahanya yang berkerja sebagai kontraktor am, tidaklah semudah yang dijangka untuk mendirikan rumah berkenaan meskipun kita memiliki modal asas.
            "Banyak prosedur yang mesti dilalui. Antaranya dengan Majlis Daerah membabitkan pelan lokasi dan binaan,  Jabatan Kesihatan Daerah, Jabatan Bomba Daerah dan Majlis Agama Islam serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
            "Kesemuanya menggunakan kos. Bukan percuma meskipun projek ini atas nama kebajikan anak yatim. Untuk urusan dengan majlis daerah sahaja di situ sudah menelan kos kira-kira RM10,000", katanya.
            Menurutnya, begitu juga soal pendaftaran dengan JKM, ianya tidaklah semudah yang difikirkan. Beliau berkata, semenjak beroperasi kira-kira dua tahun lalu, urusan dengan JKM masih belum selesai. Pihaknya hanya diberi kebenaran untuk menjalankan operasi penjagaan anak yatim dengan pengawasan dari masa kesemasa.
            Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya masih belum boleh mendapatkan sebarang geran peruntukan daripada kerajaaan sebagai bantuan belanja mengurus rumah anak yatim berkenaan.
            "Geran kerajaan itu tidak semestinya kita dapat walaupun segala-galanya telah disahkan lulus mengikut prosedur yang ditetapkan. Namun atas semangat, keikhlasan dan belas kasihan saya teruskan juga mengurus rumah ini dengan sebaik-baiknya setakat mana yang kami terdaya," katanya.
            Menurutnya, ramai yang mahu menyerahkan anak-anak mereka (yatim dan susah kehidupan keluarganya) namun, setakat ini beliau hanya termampu menguruskan sebanyak 21 kanak-kanak itu sahaja. Pasangan itu terpaksa menolak permintaan daripada beberapa keluarga yatim dan susah berikutan keadaan rumah penjagaan miliknya itu masih belum mengizinkan.
            "Setakat ini kami menggunakan lima orang pekerja dengan pelbagai tugas dan mereka itu sedikit sebanyak perlu juga dibayar upah walaupun kami belum menetapkannya sebagai gaji.
            "Namun, setakat ini Alhamdulillah, selain daripada perbelanjaan wang sendiri, sokongan berterusan daripada orang ramai amat membantu termasuklah kos mengubahsuai dan menaiktaraf rumah penjagaan ini," katanya.
            Apa yang terfikir dalam benak penulis adalah mengapa pihak-pihak berkenaan tidak berusaha memudahkan urusan-urusan berkaitan dengan usaha-usaha murni seperti ini.
            Rasionalnya, selain daripada mempermudah urusan kemenjadiannya projek kebajikan seperti itu, kerajaan juga sewajarnya memberikan geran secara pukal (berdasarkan nisbah penghuni) kepada pengusaha berikutan usaha murni itu bukanlah projek yang mencari keuntungan.
            Selain itu, pihak-pihak konglomerat lain seperti Tenaga Nasional Berhad, Lembaga Air dan Telekom seharusnya memberikan potongan 50% ke atas bil-bil utiliti di rumah kebajikan berkenaan.  
            Kerajaan dan pihak berwajib sewajarnya mengambil kira bahawa usaha murni persendirian seperti itu sebenarnya adalah juga telah banyak membantu kerajaan dan majlis agama Islam sendiri dalam urusan memastikan institusi keluarga dan nasib anak-anak yatim khususnya dari golongan miskin dan dhaif.


Jagindas: Sebenarnya, ramai yang berminat tetapi dibantutkan oleh karenah birokrasi....


nota: (nama pengusaha disembunyikan atas permintaannya)

6 ulasan:

  1. Saya jugak berminat untuk menjaga kanak2...walauoun sekarang bekerja dgn goverment...inshaAllah....kalau sy ckup duit n sokongan suami...sy ingin membuka pusat jagaan anak2 yatim atau anak2 yg dibuang....

    BalasPadam
  2. Insyallah doakan saya dan keluarga dilapangkan rezeki Allah swt utk penjagaan anak yatim niat krn Allah swt dan Fillah

    BalasPadam
  3. InsyaAllah,doakan saya diberi kesempatan untuk tubuhkan rumah anak yatim suatu hari nanti.Seronok tengok kanak2 ni merasa gembira dengan kehidupan yang lebik baik.

    BalasPadam
  4. Sy pun berminat ..tetapi Masih kontrak kerja dgn kerajaan Dan kurang faham akan semua prosedure

    BalasPadam

Terima kasih atas komen anda.