Selasa, 9 Oktober 2012

REMAJA HADAPI MASALAH JIWA


Kes Sakit Jiwa Dan Mental Meningkat

DATUK SERI LIOW TIONG LAI
MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, baru-baru ini mendedahkan bahawa berlaku kadar peningkatan kes budak remaja sakit jiwa dan keadaan itu membimbangkan kerajaan berikutan remaja adalah aset utama negara di sini.
            Bagi beliau peningkatan kes tersebut mungkin disebabkan pengaruh internet teknologi komunikasi yang menghadkan sistem komunikasi sosial. Kesibukan ibu bapa yang bekerja juga menyumbang secara tidak langsung peningkatan kes berkenaan berikutan mereka memandang ringan peranan mereka dalam memberi sokongan kepada anak-anak.
            Dari satu sudut benarlah apa yang diperkatakan oleh Tiong Lai itu tetapi ada banyak faktor lain yang barangkali memungkin sebagai penyebab atau pemangkin berlakunya masalah sakit jiwa dan mental di kalangan remaja.
            Malah, saya fikir masalah ini tidak akan dapat dielakkan atau dijadikan "zero sakit jiwa" di kalangan remaja sekiranya semua pihak tidak mengambil berat ianya sebagai masalah bersama dan akan menjadi beban negara untuk jangka panjang jika dibiarkan.
            Kalau kita mempersoalkan kesibukan ibu bapa terhadap kerjaya masing-masing, bagaimanakah caranya untuk mereka memberikan tumpuan kepada keluarga melainkan salah seorang dripadanya tidak akan bekerja. Namun, itupun bukanlah sebagai satu jaminan. Sedangkan pada masa sama kerajaan terus mempelbagaikan sumber dalam negara bagi memberi peluang lebih ramai kaum wanita berkerjaya.
            Sistem pendidikan kita juga sedikit sebanyak boleh dikatan memberi impak kepada masalah sakit jiwa dan mental remaja. Demi memperkasakan pendidikan negara bertaraf global, berlaku perebutan tekanan kurikulum dan kokurikulum di sekolah-sekolah yang didapati tidak seimbang dengan usia purata kanak-kanak sebagai penanggungnya.
            Secara tidak langsung, pendidikan hari ini menyumbang kepada ketegangan kepada kanak-kanak berikutan terlalu banyak yang disumbat dalam jadual kurikulum kita.
            Kita sedang mengatur satu reformasi dan tranformasi pendidikan yang diharapkan mampu menyaingi kehendak global serta pasaran yang relevan dengan perkembangan semasa. Kita membentuknya bagaikan suatu keterpaksaan yang mengkhuiatiri negara akan lambat maju dengan menyandarkan rakyat adalah modal insan utama.
            Daripada perkembangan itu, para perancang pembangunan pendidikan dilihat seperti tidak mengambil kira faktor geografi Malaysia sebagai sebuah negara asia berbanding eropah dan lain-lain benua untuk disesuaikan dengan kesan psikologi kepada kanak-kanak.
            Kanak-kanak memang tidak pandai atau mampu untuk mengenalpasti ketegangan yang dihadapinya jauh sekali untuk menanganinya dengan rasional. Makanya, seawal usia mudanya kanak-kanak di negara ini telah dibebani dengan ketegangan saraf sebermula ia menduduki alam persekolahan bahkan mungkin juga sedari pendidikan tadika atau prasekolahnya.
            Pada pandangan penulis, sebagai contoh kurikulum sekolah rendah kita begitu padat dan ia adalah diluar kemampuan kanak-kanak purata normal untuk memikulnya. Tekanan daripada keluarga dan kehendak guru-guru menyumbang kepada kanak-kanak sebagai peti simpanan yang dimuatkan dengan pelbagai muatan yang akhirnya tong tersebut akan binasa sebelum tempohnya.
            Ada ketikanya sistem pendidikan kita bagaikan belum duduk sudah berlunjur. Terlalu terkejar-kejar mencapai sesuatu. Mungkin ia sesuai untuk beberapa kelompok tertentu tetapi tidak secara majoritinya. Keadaan ini pastinya memaksa saraf otak kanak-kanak dan remaja sekolah menjadi mudah keras dan tegang seterusnya mengheret mereka kepada masalah jiwa dan mental.
            Telahan tersebut bukan bermakna penulis menyanggah program kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran dalam memertabatkan pendidikan negara ini. Cuma, apapun yang kita buat secara hakikatnya pasti ada buruk dan baik atau kesan dan impaknya terhadap kumpulan sasaran. Dan, adalah menjadi tugas kita untuk meneliti semula dan mencari kaedah terbaik supaya ia membuahkan hasil yang terbaik secara maksimum.
            Justeru, secepat mana sekalipun negara mahukan rakyatnya mencapai kejayaan, namun pada masa sama kita juga mahukan rakyat yang bijak bistari dan berkualiti dari segi kemanusiaan, peradaban, mental dan jiwanya.
            Kebijaksanaan yang tidak seimbang dengan peradaban mental dan jiwa akan mendorong sesesorang menyalah gunakan ilmu dan kepandaiannya ke arah negatif . Perlakuan ini juga disifatkan sebagai manusia yang mengalami masalah jiwa dan mental.
            Hasrat falsafah pendidikan negara mungkin tidak akan tercapai berikutan muatan sarat kurikulum dan kokurikulum di sekolah di mana kanak-kanak, ibu bapa dan guru tidak mempunyai kesempatan yang selesa untuk menekan nilai-nilai peradaban hidup sewajarnya.
            Meskiun pendidikan agama dan moral diharap mampu meredakan ketegangan tersebut, namun kegagalan persekitaran mengawal kehendak menyebabkan ramai remaja yang tewas.
            Justeru, pada masa akan datang kes kanak-kanak dan remaja yang akan menghidap sakit jiwa dan mental pastinya akan terus bertambah jika faktor-faktor tersebut tidak diatasi dengan sebaik-baiknya.
            Itu adalah pandangan penulis sebagai menyokong isu yang didedahkan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai. Barangkali ya, barangkali tidak...

Jagindas: mengawal lebih baik daripada mengubat namun jangan sampai tak terkawal!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas komen anda.