Khamis, 20 Disember 2012

ANTARA TIPU, BOHONG, TOHMAH DAN FITNAH


Kalau tak Benar, Saman Saja Sampai Kong!

APABILA ada tuduhan mahupun tohmahan, maka pihak yang tertuduh selalunya akan membuat penafian. Ini adalah senario dan amalan biasa sebagai manusia. Namun, jika tohmahan tersebut sudah keterlaluan sehingga boleh menjejaskan imej dan kredibaliti, maka ia tidak sepatutnya dibiarkan sehingga menjadi polemik dan tanda tanya.
            Datuk Seri Nizar, misalnya dikata telah menyebarkan tohmahan dalam tweetter-nya konon Menteri besar Perak, Datuk Seri Zambry (gambar), telah meluluskan seluas 14,000 hektar tanah kepada sebuah syarikat. Langkah awal yang diambil oleh Zambry terhadap isu itu adalah menafikannya sambil menyifatkan berita itu sebagai pembohongan.
            Tuduhan, tohmahan, pembohongan, tipu dan fitnah. Yang mana satu? Apa yang pasti, jika ia benar-benar tidak betul, tiada sebab mengapa Zambry membiarkan Nizar bebas mencemar nama baiknya sebagai Menteri Besar. Satu imej yang besar! Satu kedudukan yang besar di peringkat negeri. Kuasa juga tentulah besar.
            Zambry tidak perlu melayan perbuatan Nizar tersebut menerusi akhbar dan terus berpolemik sebegitu sebaliknya beliau sewajarnya terus mengambil langkah menyaman Nizar beberapa juta yang selayaknya.
            Kalau, semua yang terfitnah berbuat demikian, penulis fikir seseorang akan berfikir berpuluh kali sebelum berani membuat fitnah, tuduhan, tohmahan atau pembohongan melainkan dia mempunyai bukti yang kukuh. Ibarat bersilat, kalau kekuda tidak kemas, janganlah berani menyergah lawan!
            Penulis percaya dengan langkah sebegini juga kita boleh mengecilkan sais pelaku pembohongan, tohmahan dan pemfitnahan terutamanya dalam agenda politik masing-masing.
            Dalam kes ini misalnya, 14k hektar bukan sedikit. Diterjemah dalam ekar ia membabitkan kira-kira 35,000 ekar tanah. Zambry, bukan hanya sekadar perlu marah tetapi wajar tercabar dengan isu ini sekiranya memang beliau tidak melakukannya. Dan, kesan daripada keceluparan itu, Nizar wajar mendapat balasannya supaya yang lain-lain pun turut terajar dengan keputusan mahkamah nanti.
            Rakyat juga sebenarnya semakin jelak dengan cakap-cakap penafian di media-media. Kerana, setakat hari ini apa yang diputuskan oleh mahkamah setelah dicabar oleh yang tertuduh menjadi kepercayaan umum. Itu pun, ada kes-kesnya keputusan mahkamah juga masih menjadi tanda tanya!
            Justeru, bukan Zambry sahaja, malah sesiapa pun, apalagi yang berkedudukan dan yang boleh disabitkan dengan penyalah gunaan kuasa, jika tuan-tuan terfitnah, maka adalah lebih baik selesaikannya menerusi mahkamah daripada membebel di media-media yang akhirnya mendorong rakyat semakin keliru! Sebab, orang tua-tua kata: tak tumbuh tak melata. Sebab itu kita kena buktikan di mahkamah bahawa kita dipihak yang benar.


Jagindas: Berani kerana benar 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas komen anda.