Isnin, 28 Januari 2013

PENDIDIKAN PENJAGAAN KESELAMATAN KANAK-KANAK

MCPF Percaya Mampu Kurangkan Risiko Jenayah Babitkan Kanak-Kanak

DAI KIRI: Lee Lan Thye dan mendiang William Yau


 MEMBACA saranan Naib Pengerusi Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye, di sini  supaya satu usaha dilakukan kerajaan bagi mendidik ibu bapa dalam hal penjagaan dan keselamatan anak-anak menarik perhatian penulis untuk mengulasnya.
            Lam Thye, mendakwa langkah itu perlu berikutan sejak kebelakangan ini banyak kes membabitkan keselamatan kanak-kanak seperti kehilangan, kemalangan, culik dan bunuh semakin kerap berlaku.
            Dari satu sudut, saranan itu ada asasnya. Namun, jika dilihat secara menyeluruh dan dari pelbagai sudut serta aspek sosial, bagi penulis ianya adalah program yang membazir dan tidak wajar.
            Seolah-olah, pasangan yang berkahwin di zaman ini lebih 'tidak berilmu' berbanding ibu bapa terdahulu dalam soal mengurus erti kasih sayang dan tangungjawab keselamatan terhadap anak-anak serta ahli keluarga mereka. Sedangkan pasangan berkahwin zaman sekarang wujud sebagai ibu bapa dalam suasana dunia yang terbuka, moden dan penuh dengan pelbagai rencah informasi dan pengetahuan.
              Pasangan hari ini, logiknya lebih berpengetahuan disebabkan mereka telah teraruh dengan pelbagai pengalaman lalu daripada orang-orang terdahulu serta pendedahan yang amat meluas merentasi dunia yang sarat dengan bermacam karenah teknologi.
            Mengambil contoh keselamatan jalan raya, kerajaan telah melakukan pelbagai kempen dan usaha bagi menyelamatkan nyawa rakyat namun kes-kes kemalangan membabitkan nyawa tetap juga berlaku malah adakalanya semacam mencabar usaha yang dibuat selama ini berikutan peristiwa buruk itu semakin kerap berlaku dan membabitkan jumlah mangsa yang ramai pula.
            Justeru, mahu tidak mahu kerajaan terpaksa memilih satu alternatif lain ia itu dengan menggunakan kaedah teknologi dan menguatkuasakan undang-undang terhadap pesalah jalanraya. Langkah seperti itu dilihat tidak popular di kalangan pengguna (rakyat) tetapi hakikatnya ia dilihat berkesan berdasarkan pengalaman-pengalaman yang telah dipraktikan oleh negara-negara maju seperti di Barat dan Eropah.
            Demikian juga dalam kes keselamatan kanak-kanak (anak-anak) ini, kes-kes jenayah yang membabitkan mereka masih boleh dianggap berada di peringkat terpencil. Oleh itu, langkah bijak yang sepatutnya kerajaan laksanakan adalah menguatkuasakan undang-undang di bawah definasi "KECUAIAN" orang dewasa atau penjaga kanak-kanak terbabit.
            Sehubungan itu, bagi penulis kerajaan bahkan badan-badan NGO lain tidak perlulah membuang masa, tenaga dan wang ringgit untuk mewujudkan program khas mengenainya.
            Masalahnya sekarang, masyarakat kita sering membuat pertimbangan belas kasihan tidak bertempat yang pada masa sama tidak meninggalkan nilai-nilai unsur mendidik. Sekali gus tindakan itu menafikan penguakuasaan undang-undang yang di rangka dan diluluskan padahal ia dibuat atas logik yang amat baik.
            Seperkara lagi, semacam ada satu budaya (barangkali tanpa disedari) di mana masyarakat negara ini 'diajar' lebih rela dianggap kurang berilmu (kalau bodoh kasar sangat bunyinya) bagi mengalihkan kesilapan, kecuaian, kesalahan atau keerlanjuran yang dilakukan sebagai dalih untuk mengelak daripada dikenakan hukuman atau tindakan undang-undang.
            Seperti saranan yang dibuat oleh Lam Thye, jika dihalusi seolah-olah ibu bapa di negara ini 'bodoh' dalam menguruskan rumah tangga tetapi yang jelas adalah satu alasan untuk terlepas daripada tindakan undang-undang. Itulah antara sebabnya, mengapa banyak peraturan dan undang-undang yang telah diluluskan di negara kita gagal untuk dikuatkuasakan.  
            Dalam kes terbaru ini (misalnya), meski Willian Yau telah mati (masih dalam siasatan sebab-sebab kematiannya) dan khalayak menaruh simpati ke atas keluarga itu, namun ibu bapa William sewajarnya dikenakan tindakan undang-undang kerana peristiwa itu jelas berpunca daripada KECUAIAN ibu bapa kanak-kanak malang itu.
            "Meninggalkan kanak-kanak dalam di satu-satu tempat (hatta di rumah sendiri) tanpa pengawasan orang dewasa, sama ada di tempat awam mahu di tempat sunyi, sama ada dalam keadaan ruang berkunci atau tidak, IA TETAP SALAH dan membolehkan ditafsirkan sebagai "CUAI PENJAGAAN"
            Masyarakat juga wajar melihat kesan-kesan kecuaian yang dilakukan oleh orang dewasa (seperti dalan kes William ini) sehingga menyebabkan banyak pihak menjadi susah manakala masa dan wang ringgit turut terbuang.
            Justeru, mereka yang berlaku cuai ini tidak adillah menghadapi kemalangan itu sebagai 'takdir' semata-mata.  


Jagindas: fikir-fikirkanlah...


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas komen anda.