Rabu, 4 September 2013

SERONOKLAH PENERIMA BR1M....

Berterima Kasihlah Kepada Orang Senang

KENAIKAN HARGA bahanapi petrol dan diesel hari ini bukan sesuatu yang memeranjatkan lagi meski rata-rata rakyat Malaysia terkejut beruk dengan pelbagai spekulasi. Berdasarkan kepada sembang-sembang orang awam dan beberapa catatan serius dan sinis di media-media maya, bolehlah dikatakan bahawa khalayak menerima keputusan kerajaan itu secara terbuka kerana faham masalah ini bukanlah masalah Malaysia tetapi dunia.
            Namun, apabila tindakan itu dikaitkan dengan lebih keupayaan kerajaan untuk memberi BR1M yang lebih besar nilainya berbanding sebelum ini agak sedikit menyakitkan hati dan telinga.
            Seperti yang kita maklum, BR1M akan dinikmati oleh keluarga yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan (setakat ini) selain orang bujang, janda dan masyarakat marhaen lain yang tertakluk dalam asnaf BR1M.
            Yang jelasnya, tidak semua rakyat akan menerima BR1M. Sebuah keluarga (A) berpendapatan terkumpul RM2999.99 sen akan menerimanya manakala sebuah keluarga lagi (B) yang berpendapatan terkumpulnya RM3,000.00 tidak layak. Jauh sangatkah beza taraf hidup antara dua kumpulan manusia/keluarga itu?
            Si A ada seorang isteri dan dua anak kecil manakala Si B juga ada seorang isteri tetapi ada 6 orang anak. Apakah teknikal jumlah pendapatan terkumpul keluarga yang digariskan itu adil kalau tidakpun amat adil? Jadi, seadilnya penerima BR1M sewajarnya berdasarkan kepada kapasiti tanggungan atau perkapita keluarga dan bukan pendapatan terkumpul. Ini bermakna, mungkin keluarga yang berpendapatan RM2,000 tidak layak jika mereka tidak memiliki anak atau lain-lain tanggungan atau perkapita keluarganya masih besar.
            Secara prinsipnya hasrat dan pemberian kerajaan itu baik dan mulia. Namun, sebenarnya pada masa sama program itu juga turut mengundang prajudis, kecil hati dan rasa tidak selesa di kalangan majoriti rakyat. Sekali gus, program-program seumpama itu adalah juga pencetus membina masalah dan mengundang protes majoriti rakyat yang akhirnya memberikan kesan jangka panjang terhadap masa depan politik kerajaan. Protes yang ini hanya tersemat dalam hati.
            Menangani krisis ekonomi dan menghayati konsep serta prinsip bersama mengecapi nikmat kemajuan negara dengan melontarkan pelbagai habuan kepada rakyat miskin dan sederhana dirasakan tidak lagi begitu praktikal. Kerana, satu sifat besar yang gagal dipraktikan melalui amalan itu adalah kesamarataan, keadilan status dan kejujuran penerimanya.
            Adalah lebih baik, jika penjimatan subsidi itu dipindahkan kepada menaikkan lebih subsidi kepada barang-barang keperluan harian (utama) yang sebahagian besarnya meliputi bahan-bahan makanan. Dengan cara itu, harga barangan keperluan tersebut diturunkan ke kadar yang lebih selesa, munasabah dan mewah.
            Tindakan seperti itu didakwa lebih praktikal kerana ia adalah benar-benar secara jelas dan tepat dinikmati oleh semua rakyat di negara ini tanpa terpisah kedudukan dan status kehidupan masing-masing.
            Dalam menghadapi sebarang bentuk krisis ekonomi apa yang ditakuti oleh rakyat adalah masalah mendapatkan bahan makanan asas untuk seisi keluarga. Tidak mengapa harga bahanapi dinaikkan tetapi pindahkankan keuntungannya itu supaya barangan sperti beras, tepung, gula, susu tepung bayi dan beberapa barangan lagi yang boleh ditafsir sebagai keperluan asas.
            Langkah penjimatan yang diamalkan kerajaan amat dialu-alukan tetapi ia sewajarnya menjadi nikmat pula kepada seluruh rakyat di semua peringkat dan lapisan.
            Justeru, rata-rata masyarakat marhaen meminta kerajaan mengkaji semula corak perbelajaan negara meliputi semua jenis bajet supaya ia lebih bersifat syumul. Kerana, kesyumulan itu lebih mendorong rakyat menghormati kerajaan yang sedia ada untuk jangka panjang mahu pun pendek..


jagindas: Naik minyak...



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas komen anda.