Selasa, 3 September 2013

BENARLAH KATA PEPATAH...

Indah Lagi Hujan Batu Di Negeri Sendiri...
  
SEMENTARA menunggu maghrib tiba, anak perempuan saya yang kini menuntut di tingkatan enam menceritakan beberapa babak menarik hasil perjumpaan singkatnya dengan rakannya yang kini sedang cuti belajar. Rakannya itu ketika ini melanjutkan pelajaran di salah sebuah universiti terkenal di Jordan dalam jurusan Usul Fiqh. Barangkali dia bercita-cita untuk menjadi seorang peguam.
            Satu daripada antara citera-citeranya itu mengisahkan betapa sengsaranya kehidupan pelajar-pelajar Malaysia di sana berikutan nilai matawang dan kos hidup seharian yang tinggi di Jordan. Kata rakannya itu, keadaan itu amat terasa terhimpitnya bagi mereka yang datang dari keluarga sederhana dan miskin.
            Katanya, hasil pembiayaan kerajaan yang berbaki kira-kira RM1,000 sebulan adalah senilai dengan 200 dinar sahaja wang Jordan. Daripada jumlah itu katanya tambang bas untuk kolej kira-kira 10 dinar manakala jika naik teksi melebihi 20 dinar bagi satu perjlanaan sehala. Difahamkan, nilai dinar Jordan ketika ini hampir sama dengan nilai matawang pound sterling, England iaitu kira-kira RM4.6 bagi setiap sedinar.
            Berdasarkan itu, pelajar kita di sana begitu sukar untuk menikmati masakan ikan berikutan harganya yang teramat mahal dan sebagai gantinya untuk makan nasi mereka lebih mudah berlaukan ayam. "Ayam setiap hari!", katanya.
            Tidak payah diceritakan lanjut, kerana daripada info dan senario itu, dapatlah diramalkan kos kehidupan seterusnya. Ini bermakna, untuk menjamin keselesaan anak-anak yang belajar disana, sudah tentu ibu bapa pelajar terbabit terpaksa menambah wang saku yang besar bagi menseimbangkan keperluan mereka dengan nilai wang dan kos hidup di situ. Dan, dapatlah kita ramalkan, bagaimana pula keadaannya bagi pelajar yang berlatar belakangkan keluarga miskin dan sederhana.
            Menurut rakan anak saya itu, bagaimanapun keadaan pelajar daripada Sarawak dan Sabah agak lebih selesa kerana kerajaan negeri itu mampu menampung wang saku setiap anak negerinya yang belajar di situ kira-kira RM2,000 sebulan.
            Penulis tidak bermaksud untuk mempersoalkan mengapa mereka perlu belajar di Jordan jika demikian kos hidupnya. Wajarkan kerajaan menghantar anak-anak negeri ke sana jika begitulah perihnya sedangkan negara tidak mampu menanggung kos atau meringankan beban mereka pada tahap yang selesa.
            Apa yang penulis mahu bawa ke pemikiran khalayak adalah betapa selesanya rakyat di negara ini begitu juga anak-anak yang sedang belajar di negara sendiri berbanding di negara orang yang nilai hidupnya begitu membebankan.
            Selain daripada kemudahan pinjaman pendidikan yang disediakan leh kerajaan, pelajar-pelajar di sini tidak mengalami masalah kos hidup yang tertekan. Sekali gus, kalangan ibu bapa miskin dan sederhana juga tidak tertanggung beban yang amat berat apabila menghantar anak-anak mereka melanjutkan pelajaran di mana-mana institusi pendidikan di negara ini.
            Sejajar itu juga, pelajar-pelajar kita sewajibnya memanfaatkan kemudahan tersebut dengan sejujur-jujurnya berikutan kos untuk menimba ilmu di negara ini masih murah dan mudah berbanding luar negara.
            Sehubungan itu juga rakyat di negara ini sewajarnya menginsafi senario tersebut dan dijadikan perbandingan logik betapa rakyat negara ini sebenarnya masih lagi mewah dalam ertikata kemudahan hidup berbanding negara-negara maju lain di dunia ini seperti Jepun, Korea, England, Australia, Jerman selain Jordan.
            Juga, ia mengingatkan rakyat khususnya ibu bapa di negara ini sentiasa berjimat cermat dan berterusan menabung demi untuk masa depan anak-anak serta keluarga ibarat kata "Sediakan Payung Sebelum Hujan". Dan begitulah, semewah mana hujan emas di tempat orang, alangkah indahnya hujan batu di negara sendiri.


jagindas:  Ketika dunia terbuka luas, usia dan tenaga pula sudah mengincup...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas komen anda.