Sambil menunggu hujan reda, saya teringat satu kisah
di satu petang kira-kira sebulan yang lalu. Ketika itu saya sedang menunggu rakan-rakan sembang di
warung biasa, tiba-tiba didatangi seorang hamba Allah terus duduk semaja di
depan saya.
Saya
kenal dia. Dia bekerja sebagai operator
mesin di kilang kelapa sawit. Apa yang saya dengar kilang tersebut adalah yang
terbesar di asia. Dia nampak penat maklum baru habis kerja. Dahinya berkerut.
Sudah berkahwin dan miliki sepasang cahaya mata dan yang sulung bersekolah di
darjah dua (tahun dua).
Tiba-tiba
saja dia merungut tentang harga susu tepung untuk anak kecilnya didakwa sangat mahal.
Dia nampak resah membayangkan tidak punya cukup wang untuk menyara hidup
keluarganya yang sekecil itu.
Tambah
malang hamba Allah ini lagi, dia juga tidak menerima wang RM100 pemberian
kerajaan yang patut diterima untuk meringankan belanja persekolahan anaknya pada
awal tahun tadi dengan alasan pihak sekolah terlepas pandang anaknya. Huh!
mudahnya pihak sekolah memperbodohkan orang tak berapa cerdek.
Lantas,
saya terus bertanya berapakah gaji yang diterimanya sebagai operator mesin di
kilang besar itu. Saya amat tekejut kerana selain daripada kilang membayar gaji
dalam kaedah gaji hari (ada kerja ada gaji), upah yang diterimanya pula tidak
sampai RM15 sehari.
Ini
bemakna, kalau dia berkerja genap 30 hari, ditolak KWSP, Socso dan lain-lain
yang bersangkutan, dia cuma membawa balik tidak sampai RM400 setiap bulan. Itu
kalau penuh sebulan bekerja, kalau dia terpaksa bercuti, sakit atau sebagainya,
macam mana? Dia juga terpaksa membayar sewa rumah sebanyak RM120 sebulan.
Yang
saya fikirkan, apa yang boleh dibuat dengan pendapatan sebanyak itu dalam
keadaan ekonomi sekarang? Apa yang dia, anak dan bininya makan setiap hari?
Sementara
itu, di meja sebelah saya, seorang taukeh ladang tembikai sedang menikmati mi
rebus dan teh ais begitu ramah pula menyapa saya menceritakan hasil mahsul
usahanya. Katanya, dia mengusahkan kira-kira 600 ekar ladang tembikai pelbagai
jenis dan kelapa sawit. Dia menggaji 200 pekerja warga Indonesia dengan bayaran
Gaji RM20 sehari (pun juga gaji hari).
"Indon mulah (murah) ma. Kita tolak
kongsi makan RM120, lebih kurang satu olang kuli boleh dapat RM450 satu bulan.
Sini punya olang mana mau kerja RM20 satu hari ma. Lagi, itu sakit punya hal
taukeh tanggung", katanya bangga.
Membandingkan
kedua-dua kisah itu, saya pula yang jadi berkerut di dahi. Sebelum ini saya
pernah bersembang-sembang dengan pengurus kilang sawit berkenan yang dikatakan terbesar
di asia itu. Dia berkata kilang berkenaan akan diperbesarkan lagi dan serentak
itu ia memerlukan ramai pekerja terutama peringkat bawahan.
Namun,
dia mendakwa penduduk tempatan malas bekerja. Suka mengambil cuti terutama
selepas mendapat gaji. Malah, katanya juga ramai yang berhenti setelah berkerja
beberapa bulan sahaja.
Menurutnya,
tahun lepas kilang tersebut membayar bonus sembilan bulan gaji! Huh, banyaknya!
Pada perkiraan kasar saya, seorang jurutera yang bergaji RM4,000 sebulan akan
dapat bonus RM36,000 tapi seorang buruh mungkin tidak sampai RM2,000 pun
setelah di tolak cuti dan berbagai-bagi lagi.
Jagindas: Bersyukurlah,
betapa bertuahnya penjawat awam dan
pesara sektor awam sekarang. Ingat-ingatlah, banyak lagi yang menderita di luar
sana...