Lebih kurang jam 2 petang tadi hujan turun agak lebat
juga setelah berminggu-minggu panas terik. Angin juga turut bertiup sama
memberikan kesegaran suhu kepada manusia, tumbuh-tumbuhan dan binatang ternakan.
Alhamdulillah, syukur kepada Allah yang memberikan nikmat.
Meneliti
paparan akhbar dan siaran media massa elektronik nampak jelas ekonomi Malaysia
terus rancak berkembang meskipun berlaku beberapa insiden yang kalau tidak
bijak membendungnya akan menggugat kestabilan ekonomi negara.
Perang
atau serangan ekonomi adalah antara senjata dunia global yang boleh meruntuhkan
sesebuah negara. Rakyat menjadi huru hara! Tahniah kepada pemimpin dan mereka
yang terbabit dalam merancang, menstruktur dan menjana ekonomi negara sehingga
membolehkan rakyat hidup selesa.
Semalam
semasa menonton aksi bolasepak bersama rakan-rakan di kedai mamak, sempat juga
kami bercakap-cakap tentang ekonomi negara. Tidak seorangpun daripada kami mempunyai
pengetahuan luas dalam bab-bab ekonomi. Orang kampung marhainlah katakan.
Seorang
rakan membangkitkan kejayaan Bank
Rakyat Malaysia yang mampu mmberikan pulangan dividen dan bonus kepada
pemegang sahamnya sehingga 20% untuk tempoh matang tahun lalu. Kemudian dia
mengungkitkan kekesalan terhadap Amanah Saham Nasional (ASN) yang tidak mampu
mencecah 10% pun melainkan ketika baru-baru dilancarkan lebih 30 tahun lalu.
Dakwanya,
kerajaan sepatutnya berterima kasih kepada penyimpan yang turut membantu menstabilkan
aset dan simpanan dana negara. Justeru, sudah sampai masanya dividen dan bonus
pemegang akaun ASB menikmati pulangan sekurang-kurangnya 15% atau up and down pun antara 13% - 15%
setahun.
Langkah
ini katanya, secara langsung membantu pemegang akaun berkenaan menjana
pendapatan tahunan mereka dengan lebih berbaloi. Dia memberi contoh, sekiranya
seorang pemegang akuan sehingga hari ini boleh menyimpan RM25,000 bererti dia
akan mendapat pulangan tahunan sebanyak RM3,750 (untuk div dan bonus 15%). Dan,
jika dibahagi dengan 12 bulan bermakna pemegang akaun tersebut memperolehi
pendapatan RM312.50 sebulan. Bagaimana pula bagi pemegang akaun yang memiliki
jumlah simpanan RM50k, 100k, 200k?
Pendapat
beliau disokong oleh rakan-rakan yang lain dimana mereka mendakwa pemegang
akaun juga sewajarnya diberi peluang sama menikmati kemuncahan ekonomi negara
dengan menjadikan akaun simpanan amanah sebagai bonus pendapatan tahunan.
Kesediaan
kerajaan menaikkan pulangan dividen dan bonus itu juga menurutnya boleh menarik
lebih ramai lagi golongan marhain untuk
berlumba-lumba menambah simpanan mereka sekaligus menolak untuk melakukan
aktiviti "keluar-masuk"
akaun setiap hari atau bulanan.
Dalam bab ini, saya memang kurang arif. Saya cuma mendengar pendapat yang
dilontarkan rakan-rakan. Namun pada saya, tuntutan mereka itu ada benarnya
kerana ASN/ASB telah melalui zaman matangnya lebih 30 tahun.
Sepintas
lalu, secara logiknya semakin lama berkerja tentulah semakin tinggi gaji. Kalau
yang menyimpan, tentulah semakin bertambah simpanan. Kalau berniaga tentulah
semakin bertambah keuntungannya. Demikian juga ASN/ASB taklah mendatar begitu
sahaja sedangkan nilai wang semasa semakin kecil berbanding harga barang yang tak
pernah turun-turun.
Seorang lagi sahabat pula secara sinis berkata kalau sebuah koperasi
cengkadak pun boleh membahagikan dividen sebanyak 10% setahun takkanlah
permodalan nasional yang sebesar dan se-gah itu tidak mampu menyumbang dividen
lebih tinggi.
Jagindas: menyimpan ciput jer, itu yang segan nak sembang tu.... hehehehe
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih atas komen anda.