Sabtu, 7 Julai 2012

Carta Aliran Kerja - antara prosedur dan birokrasi

Kerja Bertangguh,  Tidak Menjadi

     BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, baru-baru ini  melahirkan rasa bimbangnya terhadap kelewatan melaksanakan sesuatu perkhidmatan dalam sektor awam boleh menyebabkan berlakunya gejala rasuah di negara ini.
        Kata-kata beliau itu diluahkan dalam satu sessi soal jawab ynag diadakan di Majlis Makan Tengah Hari Bersama Tun Dr. Mahathir sempena Persidangan Digital Kebangsaan (NDC) 2012 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) semalam.
         
DR. Mahathir Mohamed menyampaikan ucapan sambil diperhatikan oleh Badlisham Ghazali di PICC,Putrajaya, semalam. [UTUSAN MALAYSIA 5/7/12]
             
        Bulan lalu, menerusi blog ini saya juga pernah mengulas gelagat penjawat (Bhg. 1-3) awam yang kini semakin menjadi perhatian rakyat jelata yang sekali gus bakal mewarnakan imej kerajaan kepada putih, kelabu atau hitam.
      Memang, mematuhi prosedur carta aliran kerja penting bagi memastikan ketelusan, ketepatan dan kebolehpercayaan sesuatu urusan yang berkaitan. Prosedur seumpama ini sudah sekian lama dipraktikan sama ada di sektor awam mahupun swasta.
       Pun begitu, organisasi jabatan atau pejabat, wajar mengkaji semula urutan prosedur tersebut kerana dikhuatiri perjalanan yang panjang akan menyebabkan sesuatu proses akan memakan masa dan akhirnya menyebabkan tindakan terhadapnya lewat diambil.
         Barangkali, inilah juga yang dimaksudkan khalayak sebagai terlalu banyak  "birokrasi". Sebelum ini, mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, ketika menjadi perdana menteri sebelum ini pernah menggesa supaya pihak pengurusan kerajaan mengurangkan karenah birokrasi bagi memudahkan rakyat berurusan dengan sektor berkenaan.
           Namun begitu, sehingga kini kita tidaklah dapat dipastikan adakan gesaan itu mendapat perhatian pihak terbabit atau hanya tinggal sekadar kenyataan akhbar semata.
         Sehubungan itu, sektor awam, yang kini semakin menjadi perhatian umum masyarakat, perlu kembali memuhasabah sektor masing-masing supaya apa juga urusan yang dilakukan terutama yang berkaitan dengan orang awam tidak  disalah erti selain daripada mempercekapkan sebarang tindakan yang perlu.
     Sesunggunnya kepuasan hati rakyat akan memberikan imej baik kepada kerajaan manakala kerajaan yang baik adalah yang cemerlang persembahannya terhadap rakyat jelata. Dan akhirnya, rakyat tidak mempunyai sebab kukuh untuk memilih yang lain selain dari mengekalkan kerajaan yang sedia ada, sebuah kerajaan yang mantap dan bertanggungjawab.

Jagindas:   Dah tiga tahun mohon tanah T.O.L , sampai sekarang apa jawapanpun tak ada. Dapat ke tidak? Boleh ke tak boleh? Habih, macam mana....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas komen anda.