Rabu, 23 Januari 2013

MCA HARAP IBU BAPA ZHEN ZHONG TIDAK DIHUKUM

Berikutan Mereka Sudah Menyesal 
dan Mengaku Cuai...

Dari Kiri: Senator Lee dan Ibu Bapa William
PEMBELAAN  yang dibuat oleh wanita MCA Selangor agar pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap ibu bapa kanak-kanak yang hilang baru baru ini, William Yau Zhen Zhong, 6, bagi penulis tidak wajar. Meskipun, ibu bapa terbabit telah menyatakan kekesalan dan mengaku kecuaiannya itu namun pengakuan itu tidak sepatutnya menghalang tindakan undang-undang diambil ke atas mereka [laporan di sini]
            Semua pesalah sama ada yang melakukan keslahan ringan mahu pun berat, akan melafazkan nada yang sama untuk mengharap simpati dan tidak dihukum. Tetapi, dari segi kehidupan sosial kesalahan tetap kesalahan. Dan Mahkamah adalah institusi yang berhak memutuskan sebarang hukuman setelah menimbang dari pelbagai sudut.
            Senator Chew Lee Giok, nampaknya sudah mendahului tugas pihak berkuasa kerana ibu bapa terbabit pun masih belum didakwa lagi. Sekiranya proses pendakwaan sudah berlaku, penulis fikir barulah manis jika Lee Giok atau mana-mana pihak menyatakan harapan terhadap yang tertuduh.
            Semua pihak terutama ibu bapa kena ingat bahawa apabila berlaku kes kehilangan seperti ini yang disebabkan kecuaian keluarga secara langsung juga telah menyusahkan banyak pihak lain terutama pihak berkuasa. Walaupun mereka tidak berniat untuk menyusahkan pihak berkuasa dan orang ramai, namun itulah realiti yang berlaku.
            Justeru, sama ada kanak-kanak yang hilang itu dijumpai semula atau tidak, sama ada ia selamat atau sebaliknya, bagi penulis tindakan undang-undang perlu dan wajar dikenakan kepada ibu bapa atau penjaga kanak-kanak terbabit atas kes kecuaian dan menyebabkan kesusahan awam.
            Tindakan sedemikian juga sebenarnya adalah sebagai pengajaran kepada ibu bapa dan penjaga lain kanak-kanak di seluruh negara supaya mesti mementingkan keselamatan kanak-kanak terlebih dahulu sebelum melakukan apa-apa kepentingan peribadi. Alasan bahawa anak mereka buas (nakal) tidak boleh diterima.
            Jelasnya, bukan sahaja wanita MCA bahkan semua pihak jangan  begitu mudah menyabarkan keadaan hanya atas tiket politik dan berharap mendapat 'political millage' dan pada masa sama tidak membantu mendidik manusia menghargai nilai keselamatan, peraturan dan undang-undang.
            Biarlah pihak berkuasa dan mahkamah menyatakan segala-galanya. Tindakan undang-undang adalah satu daripada cabang pendidikan yang mendidik manusia.

Jagindas: Teruskan membantu keluarga ini mendapatkan semula anak mereka..Semoga Willian selamat!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas komen anda.