Khamis, 18 Oktober 2012

BERSAMA DOA TERIRING


Semoga Yop Leh Akan Kembali Sembuh

WAJAH TERBARU... Penulis (kiri) bersama Yop. 
Sebelum ini saiz badan kami hampir sama manakala 
beza usia antara kami pula hanya dua tahun
SEBELUM ini penulis hanya melihat, menziarah dan mendengar pelbagai kisah menakut dan mengerikan mengenai pesakit yang mengidap kanser. Namun, sekarang abang saya sendiri sedang bertarung dengan penyakit tersebut. Dia berusia 57++ tahun dan insyaAllah Februari 2013 dia akan bersara. Namanya Ismail tetapi sejak kecil dia dikenali sebagai Saleh. Manakala di kalangan rakan-rakannya di HUKM (Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia) dia lebih popular dengan nama Yop.
            Tiba-tiba sahaja dua bulan lalu dia jatuh gangguan pernafasan dan dirujuk kepada hospital di Kajang. Saya katakan tiba-tiba kerana abang saya ini memang susah untuk mendengar dia kena sakit hatta demam sekalipun. Selepas rujukan itu tidak ada laporan mengatakan dia mengidap penyakit yang pelik-pelik melainkan doktor hanya mengesyaki dia mungkin terkena gastrik yang teruk.
            Tetapi beberapa minggu selepas itu dia dikesan ahli keluarganya sukar bercakap seperti biasa dan kerap mengalami sakit bahagian dalam mulutnya. Selain itu, keadaan fizikalnya menyusut (kurus) secara mendadak sehingga wajahnya jauh berbeza daripada keadaan sebelum ini.Bak kata orang tua-tua - kalau tidak disebabkan kulit akan bercerailah tulang dengan daging. Demikian keadaannya.
            Justeru,  apabila penyakitnya itu dirujuk kepada pakar ENT (telinga-hidung- Kerongkong) di HUKM, dengan sedihnya beliau disahkan mengidap penyakit "kanser pangkal lidah tahap 4".
            Penulis difahamkan rawatan untuk penyakit tersebut hanya ada dua pilihan. Pertama pembedahan besar. Amat ngeri untuk disebut. Menurut doktor, menerusi pembedahan itu, bukan sahaja semua giginya akan dicabut malah lidahnya juga akan dibuang.
            Selain itu, sistem penafasan dan makan minumnya juga akan diubahsuai menggunakan saluran getah yang ditebuk melalui tengkok dan perut.
            Bermakna, kalau dia selamat sekali pun menerusi rawatan itu, bayangkan dia tidak lagi boleh berkata-kata kerana sudah tidak berlidah. Selain itu, dia juga mungkin tidak lagi bernafas seperti biasa dan dari  segi makan minumnya juga dia tidak lagi dapat merasai sebarang nikmat sesuatu makanan. Bahkan, mungkin juga dia kehilangan deria bau.
            Menerusi rawatan pilihan kedua pula, doktor tersebut memaklumkan abang penulis akan di beri rawatan radiasi dan kimotrafi selain semua giginya juga akan dibuang. Penulis tidak dijelaskan dengan lanjut prosedur rawatan kedua ini. Namun, abang penulis memilih jenis rawatan kedua ini dan sekarang dia sedang terlantar di unit radiotrafi HUKM sejak semalam.
            Ketika menziarahi, penulis angkat topi kepadanya kerana rupa-rupanya dia memiliki sifat ketabahan menghadapi ujian Allah Taala itu.Dia bukan sahaja tenang malah dapat menceritakan dalam suasana ceria tentang penyakitnya itu. Sedikitpun tidak nampak kegelisahan, risau mahu pun cemas.
            Mudah-mudahan dengan ketabahannya itu, Allah swt.  akan memperkenankan doanya, anak isterinya, adik beradik, sanak saudara serta sahabat tolannya yang terus-terusan berharap dia akan sembuh dan dapat menjalani hidup seperti biasa.


Jagindas: Sebentar tadi saya sudah tidur lena kira-kira dua jam namun kira-kira pukul 3.14 pagi saya terkejut lantas tidak mahu lelap lagi. Kerana terbayangkan derita yang sedang dipikul abang saya itu lalu catatan ini saya luahkan. Mungkin saudara kalian ada jalan yang boleh dikongsikan



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas komen anda.