Ahad, 21 Oktober 2012

SEMBANG AHAD: APABILA UPSR, PMR DIMANSUHKAN


Guru Ambil Peluang Bersenang Lenang ?

KEPUTUSAN kerajaan memansuhkan sistem Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) mulai tahun 2014 secara umumnya dipandang sepi oleh rakyat. Kelihatan keputusan Kementerian Pelajaran itu bukan satu perkara yang popular di kalangan ibu bapa berikutan komen-komen dan respon terhadap isu tersebut itu tidak begitu memberangsangkan.
            Barangkali, keputusan itu masih memberikan dilema kalangan ibu bapa terhadap pro dan kontranya sama ada kedua-dua penilaian berkenaan baik diteruskan atau dihapuskan meski pun kementerian pelajaran memberi jaminan bahawa pemilihan pelajar ke sekolah berasrama penuh dan Maktab Sains Mara (MRSM) masih diteruskan.
           Pun begitu, sudah timbul pula cakap-cakap yang kurang enak didengar apabila sudah ada golongan guru yang mengambil kesempatan dengan "meringankan" tanggungjawab mereka berikutan keputusan kerajaan itu.
            Dalam satu kes, penulis dimaklumkan bahawa seorang bapa bertanya kepada anaknya (di tingkatan satu sekarang), mengapa anaknya itu terlalu relaks ketika di rumah dan masa cuti persekolahan tidak seperti sebelum ini di mana anaknya sibuk dengan pelbagai kerja sekolah dan tugasan-tugasan yang diberikan oleh guru.
            Mengejutkan si bapa kerana si anak memberitahu yang guru-gurunya tidak lagi membebankan tugasan seperti itu malah konon dakwa anaknya itu bahawa perlaksanaan pendidikan dan pembelajaran (PnP) di sekolah juga dilakukan secara "ringan" oleh guru-gurunya.
            Penulis tidak menerima bulat-bulat senario tersebut. Kadang-kadang ckap budak-budak sekolah sekarang ini bukan boleh dipercaya sangat. Pun begitu ianya tidak mustahil berlaku berikutan golongan guru terutama yang mengajar di kelas peperiksaan (penilaian) merasakan mereka tidak lagi perlu berkerja keras demi menjaga reputasi, prestasi dan imej sekolah yang sebahagian besarnya sebelum ini bersandarkan kepada perolehan keputusan peperiksaan awam itu.
            Ketika pengumuman kerajaan memansuhkan kedua-dua penilaian itu muai 2014, penulis sendiri agak keliru kerana tersepit antara kepentingan penilkaian itu sendiri dan buruk baiknya kepada pelajar-pelajar.
            Jika fenomena ini benar-benar berlaku saya percaya sedikit semi sedikit akan merebak dan menjadi budaya kerja guru-guru, maka penulis bimbang kualiti pelajar yang akan ke asrama penuh selepas tahun berkenaan mungkin terjejas. Bahkan, standard kualiti pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) juga mungkin terjejas sama.
            Begitu pun, penulis percaya kesediaan kementerian pelajaran memberi ruang lebih kepada pihak sekolah mengurus semua jenis penilaian di peringkat sekolah menerusi sistem Penilaian Kurikulum Berasaskan Sekolah (PKBS), barangkali adalah satu instrumen yang terancang bagi memastikan standard kualiti PnP dan pelbagai penilaian sentiasa terkawal dan dikawal.
            Jika itulah natijahnya, maka langkah beberapa guru-guru yang mengambil kesempatan untuk "relaks" adalah silap besar dan mereka akan berdepan dengan tindakan sewajarnya. Malah, tindakan guru seperti itu sebenarnya telah menyalahi etika, semangat dan dasar perguruan itu sendiri.
            Kesempatan ini juga digunakan oleh golongan guru memberi lebih tuang kepada mereka memberi tumpuan kepada tugasan melanjutkan pelajaran dengan topeng alasan demi meningkat dan memartabatkan profesion. Namun hakikat sebenar hanyalah untuk mendapatkan kedudukan pendapatan yang lebih selesa kalau tidak pun kenaikan pangkat.
            Justeru, kementerian pendidikan serta agensi-agensi di bawahnya hendaklah lebih peka terhadap isu ini kerana hal-hal seperti inilah sebenarnya yang telah menggagalkan banyak program pendidikan yang dirancang sebelum ini.
            Merangka dan memberikan arahan untuk dilaksana memang mudah tetapi sebelum ianya dijadikan subjek, maka pihak terbabit hendaklah memiliki satu makanisma dan instrumen yang tepat sebagai alat untuk memantau dan memastikan setiap program dan perancangan yang mahu dilaksankan itu benar-benar bermanfaat dan dimanfaatkan. Jika tidak, segalanya akan nampak cantik dan gah di atas kertas tetapi hakikatnya peruntukan yang berbilion dibelanjakan secara membazir.



Jagindas: sukarnya mencari keikhlasan diri..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas komen anda.