Selasa, 5 Februari 2013

RAMAI GURU TIDAK PATUH PEKELILING BELAJAR SAMBILAN

TAN SRI MUHYIDDIN 

(rencana)
Jadikan Alasan Belajar Untuk Ringankan Beban Tugas..

GALAKAN dan kemudahan yang diberikan kerajaan kepada golongan guru untuk menaiktaraf tahap akademik mereka yang sekali gus mencemerlangkan lagi profession pendidikan di negara ini menarik minat ramai guru untuk menyertainya terutama mereka yang belum berusia 40 tahun. Sikap berlumba-lumba guru-guru ke arah itu menunjukan bahawa rakyat di negara ini sememangnya sentiasa ketagihkan ilmu dan sentiasa berusaha untuk maniktaraf diri masing-masing jika diberi peluang.
            Rungut-rungut di kedai kopi beberapa hari lalu, ibu bapa merasa rimas sedikit kerana ramai guru tidak hadir ke sekolah kerana terpaksa mengambil cuti belajar. Akibat dari itu, banyak kelas 'terbiar' dan sukatan pelajaran pula dijangka akan 'tergantung'. Biarpun pihak sekolah menyediakan guru ganti (pusingan sesama guru) namun, lazimnya guru ganti hanya menjaga kelas lebih kepada keselamatan murid-murid.
            Tambah malang, pihak sekolah menyusun jadual di mana guru yang terbabit dengan cuti belajar  itu juga diberitangung jawab mengajar subjek teras di Tahun Enam (dikenali juga sebagai kelas peperiksaan). Ramai kalangan guru terbabit mengajar subjek Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris. Jika ini berlaku di sekolah-sekolah di luar bandar, maka sudah tentulah yang tinggal akan terus tertinggal...
              Ini bermakna, ketika guru-guru berhempas pulas menaikan taraf akademik mereka pada masa sama murid-murid dikatakan menerima tempias sebagai 'terbiar'.
            Kalau seorang dua guru yang terlibat dalam kes tersebut mungkin boleh dianggap sebagai kes terpencil. Namun jika sudah mencapai lebih daripada itu dan pada masa terentu pula ada beberapa guru yang mengambil cuti kerana sakit, cuti bersalin atau terpaksa mengambil cuti tahun atas sebab-sebab perlu, sudah tentulah sekolah akan jadi seperti taman asuhan kanak-kanak. Bayangkan jika keadaan ini berlaku dalam tempoh sebulan atau tiga bulan.  
            Justeru, ibu bapa meminta kementerian pelajaran perlu sensitif dalam hal ini. Sesuau yang sudah diluluskan adalah sukar untuk ditarik semula. Namun, pihak terbabit wajar mengambil jalan berkesan supaya kes kelas terbiar seperti itu tidak berlaku hanya beralasankan guru cuti belajar dan sebaginya.
            Sementara itu, sikap beberapa guru yang berpeluang melanjutkan pelajaran secara sambilan (jarak jauh) seperti itu yang menanam niat hanya untuk mendapatkan ijazah bagi memudahkan mereka dinaikkan pangkat amat di kesali.
            "Yang penting, selepas tiga tahun di gred DG41 kami lebih mudah untuk mendapat gred DG44, 48 dan seterusnya," demikian yang diangan-angankan guru-guru terbabit ketika bersembang-sembang dengan penulis.
            Menghalusi niat tuju guru berkenaan dalam menaiktarafkan tahap akademiknya itu, penulis dapat rasakan kejujuran mereka melanjutkan pelajar boleh dipertikaikan. Terlihat ia lebih menumpu kepada kepentingan peribadi daripada keutamaan profession guru itu sendiri.
            Ini kerana mereka dilihat tidak merasa kesal atau bimbang untuk meninggalkan kelas atas sebab cuti belajar sebaliknya menjadikannya sebagai masa untuk keluar daripada tekanan kerja!
            Sesetengah Guru Besar pula menjadi serba salah dan tertekan apabila ramai juga guru yang terbabit dalam program itu mengambil kesempatan membuat pelbagai tuntutan peribadi (demand). Misalnya, mereka meminta dikurangkan jumlah waktu mengajar, dikecualikan daripada beberapa aktiviti-aktiviti sekolah yang kononnya untuk memberi lebih ruang dan masa kepada mereka untuk mentelaah dan menyiapkan tugasan-tugasan kuliah. Bahkan, ramai juga dilaporkan mereka menggunakan masa terluang di bilik guru untuk menyiapkan tugasan kuliah. Bertambah malang jika kerja tugasan itu dibawanya ke dalam bilik darjah!
            Tindakan mereka ini bukan sahaja menyalahi perjanjian yang disebut dalam pekeliling-pekeling perkhidmatan dan iktisas tetapi juga turut menyebabkan guru-guru lain (khususnya yang veteran) 'makan hati' berikutan pengurus sekolah terpaksa meletakkan lebih kerja kepada mereka yang tidak menyambung belajar.
            Pekeliling-pekeliling yang dikeluarkan kementerian sebelum ini bagi menjelaskan kedudukan mereka (guru-guru) yang berminat mengikuti program melanjutkan pelajaran sambil bekerja nampaknya telah dilangkahi. Pengurus sekolah menjadi tertekan apabila kumpulan guru terbabit mula menunjukan 'perangai' jika pihak sekolah berpegang kepada pekeliling berkenaan.
            Bagi penulis, inilah kesilapan yang dilakukan kementerian pendidikan kerana tidak melakukan pelbagai kajian yang mendalam terhadap kesan dan impak sesuatu program sebelum ia dilulus dan dilaksanakan. Akibatnya, niat yang baik oleh kerajaan itu telah disalah gunakan oleh mereka terbabit yang akhirnya kembali menikam ke dada kementerian itu sendiri.
            Bukan senang untuk menarik semula kemudahan yang sudah diluluskan. Ia bukan sekadar menaikkan kemarahan kaum guru bahkan pastinya akan menjadi isu politik..
            Apapun, kita tidak mahu lihat nanti guru-guru ghairah menaik-gred akademik dan kedudukan masing-masing tapi pada masa sama murid-murid terpaksa menurun-gred demi memberi peluang kepada guru-gurunya meningikan taraf hidup.
            Barangkali, kiasan dan anggapan seperti itu agak kasar kepada pembacaan umum apatah lagi bagi kalangan guru terbabit. Namun, maksud penulis ia bukan membabitkan semua yang terlibat dalam program itu . Masalahnya, yang sebilangan kecil itulah yang merosakkan nilai program kementerian itu apabila mereka telah menyusahkan pihak lain. Seperkara lagi, kita tidak mahu sikap guru-guru seperti ini akan menjadi virus dan menjangkiti kepada yang lain. Justeru, kementerian dan pihak terbabit sewajarnya bertindak lebih awal dari pelbagai sudut sebelum keadaan menjadi parah.
            Biasanya, bila ibu bapa dan guru sendiri sudah merungut, tentulah ada yang tidak kena...  Bagaimanapun, memberi cuti belajar sepenuh masa dengan bayaran gaji 50% daripada gaji akhirnya kepada guru terbabit lebih dilihat parktikal dan tidak menyusahkan sesiapa. Lebih kurang macam dulu-dulu punya sistemlah. Tapi, bolehkah 'reverse' semula ketika orang sedang asyik dengan kemudahan sedia ada?
            Terpulang kepada kementerian pelajaran untuk memikirkannya.


Jagindas:  Macam mana nak kenal: Seseorang guru kerana perguruannya dan seseorang guru kerana itulah ruang kosong yang ada..?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas komen anda.