Apakah Benar
Fakta Disorok?
|
Musa Hassan... Jangan sorok-sorok |
BANYAK pihak membeliakkan mata apabila bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa
Hassan mendakwa kadar
jenayah di Malaysia sememangnya telah meningkat. Menteri Kementerian Dalam
Negeri, Datuk Seri Hishamuddin dan Ketua
Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, adalah antara yang menafikan kenyataan
tersebut.
Bila ada
pro dan kontra maka tentu jawapannya barangkali ya atau tidak. Tapi saya
percaya dakwaan Musa lebih relevan berbanding penafian. Itu pandangan peribadi
saya.
|
Ismail ... jenayah menurun |
Umumnya, sebut sahaja jenayah khalayak akan memandangnya
sebagai rompak, curi, samun, bunuh, rogol, pelbagai jenis penipuan, bunuh diri
dan beberapa kes yang membabitkan perbuatan langsung dari manusia kepada
manusia.
Namun,
bagaimana pula dengan rumah urut haram, kedai judi haram, aktiviti jual-beli nombor
ekor haram, pusat hiburan haram dan beberapa aktiviti-aktiviti haram yang lain.
Tidakkah aktiviti tersebut secara langsung dan tidak langsung bukan sahaja
dalam kategori jenayah malah aktiviti itu juga memberi kesan mendorong orang
lain untuk berbuat jenayah?
Sebagai
contoh, aktiviti perniagaan judi haram seperti kedai mesin judi berkomputer yang
khabarnya begitu mengasyikan pelanggannya boleh menyebabkan si-pelanggan
menjadi miskin dan papa-kedana yang akhir memberi
kesan mendorong mereka terbabit melakukan jenayah lain seperti ragut, curi,
samun dan pecah rumah.
|
Hishamuddin ... tak betul |
Demikian juga kes-kes taukeh-taukeh menyembunyikan
pekerja asing demi mengaut keuntungan lebih dan kemasukan secara haram rakyat
asing ke negara ini. Apakah sebaik sahaja program 6P tamat maka masalah
tersebut selesai sepenuhnya? Tidakkah ini menyebabkan peluang bekerja rakyat
tempatan semakin terhimpit sekaligus mereka (rakyat negara ini) yang terdesak
untuk hidup akan melakukan jenayah seperti yang disebutkan?
Jadi,
saya percaya Musa melihat jenayah itu secara lebih luas dan dia yakin
aktiviti-aktiviti haram di negara ini barangkali bertambah banyak dan
tersembunyi. Adalah menjadi amat pelik, jika hari ini sebuah perimis judi haram
diserbu namun keesokan harinya perimis berkenaan beroperasi semula. Banyak lagi
contoh yang terang dan nyata yang boleh difikirkan.
Timbullah
soalan yang sama, mengapa takut untuk menyatakan yang sebenar? Apakah dasar
kerajaan demi mententeramkan jiwa rakyat, pelancong dan pelabur asing maka tindakan
"berbuat dalih" difikirkan jalan terbaik?
Saya
mengambil contoh begini: sekiranya ramalan cuaca mendapati bulan ini hujan
ribut 24jam selama dua minggu maka ia perlu mengabarkannya kepada umum supaya
rakyat boleh membuat persediaan dari pelbagai segi seperti menyediakan stok
makanan, minyak, lilin, bateri dan lain-lain keperluan asas selain dari
memperkemaskan tempat tinggal masing-masing. Soal dikhuatri rakyat akan panik
dan harga barang akan naik tidak timbul sebab keselamatan dan nyawa manusia lebih
penting.
Dengan
menyembunyikan fakta itu, apakah setelah betul-betul berlaku kejadian itu,
kerajaan mampu menggalas tanggungjawab menyelamat dan memberi bantuan kepada
rakyat seluruh negara dalam satu-satu masa dengan kekuatan yang kita ada
sekarang?
Justeru,
saranan Musa itu perlu difikirkan oleh pihak terbabit sebernas-bernasnya. Dan,
atas prinsip ketelusan, maka kita tidak perlu ada dua fakta, dua fail atau dua versi
dalam menyebarkan maklumat sebenar kepada rakyat. Itupun kalau benarlah dakwaan
Musa itu BENAR!
Jagindas: Tak
perlu sembunyi-sembunyi, rakyat perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan
dan tidak leka. Kita tidak mahu nanti sudah nak terberak mahu nak cari lubang!