Jumaat, 13 Julai 2012

ALLAH, Aku mohon belas kasihanMu

BANTULAH ETNIK ROHINGYA MUSLIM INI...

Yang kita tahu, sebahagian besar mereka beragama Islam. Mereka adalah kumpulan etnik di negara Myanmar yang majoriti rakyatnya adalah beragama Budha. Pemerintah Myanmar tidak mengaku etnik Rohingya sebagai rakyat negaranya dan dianggap sebagai pelarian.
            Yang jelas hanya kerana mereka dari kumpulan kecil dan beragama Islam. Mereka di seksa, dirogol dan dibunuh. Rumah dan harta mereka dibakar. Guru aagama dan imam di seksa dan dibunuh!
            Walaupun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) telah cuba melindungi mereka namun itu tidak menghalang pihak berkuasa Myanmar terus membaham etnik tersebut.
Meraka juga tidak diterima oleh negara jirannya, Bangladesh. Kitapun faham, meskipun bangladesh negara Islam, namun negaranya juga adalah miskin. Bangladesh juga perlu memikirkan hal ehwal rakyatnya terlebih dahulu sebelum membantu pihak lain.

Tambah malang, tidak ada satupun negara ketiga sanggup menerima pelarian Rohingya ini sejak sekian lama mereka dibegitukan. Kononnya, usaha UNCHR sudah sehabis daya untuk mempengaruhi pihak ketiga namun masih belum berjaya.
            Tiada makanan, tiada tempat tinggal yang selesa, tiada kemudahan untuk beribadat. Itulah keadaan mereka. Siang bermandikan mentari, malam beratapkan langit berselimutkan embun! Kanak-kanak kehilangan kasih sayang dan keperluan asas hidup. Semuanya kerana mereka etnik beragama Islam.
            Saudara-saudaraku, betapa bertuahnya kita di Malaysia ini. Mengapa kesombongan masih menghantui kita? Subahanallah..

Jagindas: Dalam masa-masa terluang, jika terlintas dibenak masing-masing nasib etnik ini, mohon doakan agar Tuhan menyelamatkan mereka. Tiada terdaya kita melainkan atas kehendakNya jua!

KUSANGKA PANAS SAMPAI KE PETANG...


pada mulanya,
Alangkah Indahnya Waktu Waktu Itu...

Namun, setelah sekian lama berkasih mesra, "Di sangka panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari". Hanya kerana sebuah parti, terpisahlah dua insan tanpa belas lagi..



Teks dan gambar:
Ihsan Utusan Malaysia
"Saya seorang guru agama, mengjar al-quran dan saya mengerjakan solat. semua ajaran agama islam saya lakukan kecuali satu perkara sahaja iaitu tidak menyertai parti Pas"

CHE HASNAH



                                                                                    


"Saya cerai sebab dia tidak ikut cara Islam seperti ajaran Nabi Muhammad SAW, seperti yang dikehendaki oleh Allah"
                                                       YAHAYA





(...sambungan): Sesiapsiaga Manakah UMNO Bahagian Sekarang?


PENILAIAN DAN PROTES
SEDANG MENARI-NARI
                                               (siri 2 dan akhir)

            TEKANAN menjadi semakin tajam apabila UMNO di kawasan itu sebelum ini dapati gagal melaksanakan tugasnya dalam menjaga kepentingan dan kebajikan penduduk meliputi tua muda, miskin kaya, teruna dara, janda dan duda (rakyat tempatan) meskipun hingga ke saat-saat genting sekarang.
            Persoalannya sekarang, pertama - apakah UMNO di bahagian masing-masing sudah mengukuhkan ukhwah di kalangan sesama ahlinya dan juga rakyat jelata di kawasan masing-masing dengan mempamerkan jasa parti itu kepada rakyat setempat.
            Kedua - bersediakah UMNO menyediakan "penyeru" yang bersih yang mampu menutup bayang-bayang aib yang dilakukan oleh orang-orangnya sendiri khususnya pemimpin UMNO tempatan kerana media arus perdana sekarang amat ghairah membuka pekong pihak lawan.
            Nah, dirasai atau tidak, semakin pemimpin dan media ghairah bercakap politik, sebahagian besar rakyat sedang berdiam diri. Dalam kotak fikiran mereka penilaian dan protes sedang menari-nari.
            Dan, ketika pilihan raya semakin hampir nanti, pada kebiasaannya kempen-kempen dari Barisan Nasional akan terus berkata: "Jangan ambilkira siapa calon tetapi rakyat hendaklah memilih parti yang stabil yang mampu memberikan kesejahteraan kepada rakyat, pilihlah Barisan Nasional".
            Atau, dalam versi lain pula pemimpin akan berkata: " calon tidak penting, yang penting adalah kemenangan parti. Oleh itu rakyat hendaklah memilih BN untuk memastikan negara akan terus maju..."
            Ungkapan klise' ini memang benar dan tepat untuk kempen pilihan raya, namun bagi sesetengah kawasan mengundi  ia  akan memakan diri kaum pengucapnya! Justeru, UMNO dan BN perlukan satu makanisma dan strategi yang luar biasa untuk menangani berlakunya undi protes seperti yang berlaku pada PRU12, 2008.
            Seperkara lagi, sikap UMNO bahagian di mana wakil rakyat di kawasan berkenaan bukan dari kalangan UMNO. Mungkin MCA, Gerakan, atau pembangkang. Mulut-mulut yang berkata, mengatakan Ketua UMNO di bahagian seperti itu hanya berperanan lebih kepada "kepentingan peribadi"
            Walaupun, dikawasannya yang diperintah oleh parti lawan pun, mereka nampaknya tidak begitu resah dan kesal. Malah mempamerkan "keceriaan" seolah-olah tidak berlaku sebarang kecacatan pada UMNO. Peruntukan kerajaan atau parti tetap dapat dan terus kepada ketua bahagian. Dan,  rakyat .. pandai-pandailah mereka nak hidup!
            Pemimpin di bahagian seperti ini kelihatan "hidup". Di mana saja program menteri terutama Perdana Menteri dan Timbalan Menteri, kelibat mereka ini mendahului masa. Nampak ghairah dan gah, tetapi sebenarnya itulah lakunan yang kerap menipu pihak atasan.
            Maaflah, beberapa perenggan tulisan ini nampak macam emosi sedikit, namun itulah hakikat yang telah dan sedang berlaku dalam kepimpinan UMNO di peringkat akar umbi. Dalam keadaan huru hara seperti itupun, mereka masih lagi bercakap tentang kekuatan BN dan kerajaan sedang dada dan hidung menyongsong langit memualkan orang sekeliling.
            Apapun, saya percaya rakyat semakin bijak memilih dan saya yakin BN akan menang, cuma apa yang kita mahukan adalah BN menang dengan majoriti besar. Masih banyak benda yang perlu kita betul dan perbetulkan lagi.

            Rakyat Malaysia sekelian, jangan berpaling lagi, undilah BN bila sampai waktunya nanti.


Jagindas:   Kita sebenarnya dapat rasa yang majoriti bencikan kita. Jadi,  berehatlah serta berilah sokongan padu dan elakan menjadi liabiti kepada parti..

Sesiapsiaga Manakah UMNO Bahagian Sekarang?


PENILAIAN DAN PROTES
SEDANG MENARI-NARI
(satu dari dua siri)

"UMNO PERLU BERSATU UNTUK MENANG", Kata Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis pecah tanah Bangunan UMNO Bahagian Taiping baru-baru ini   [berita: klik sini].
            Ungkapan ucapan seperti ini sudah semakin menjadi klise' di kalangan pemimpin UMNO sekarang. Sebelum ini, Datuk Shafie Afdal, turut mengungkapkan ucapan yang sama juga di Perak.  Namun begitu, ianya bukanlah ditujukan semata-mata untuk UMNO Perak tetapi untuk semua ahli UMNO di seluruh negara.
            Saya percaya, pihak pengurusan UMNO tentulah mempunyai data berkaitan tahap perpaduan ahli-ahlinya sehingga seruan seperti itu semakin diperlukan pada setiap kali pemimpin terbabit turun padang. Barangkali bertambah baik, dan itulah yang kita mahukan. Barangkali juga rapuh di sana sini dan barangkali juga masih ada yang tidak merasakan sengal dan pedihnya bila mendengar seruan sebegitu.
            Pada hemat saya, ada dua firasat pengundi masa kini apabila bertemu dengan pilihan raya sama ada pilihan raya kecil, negeri mahupun pilihan raya umum; iaitu, pertama pengundi yang berfokus kepada tempatannya sahaja dan kedua pengundi yang melihat kepentingan menang secara global.
            Pengundi yang berfokus kepada tempatan bermaksud mereka hanya melihat kepentingan di kawasan pilihan raya masing-masing tanpa mengira apa akan berlaku di pusat selepas proses pilihan raya selesai dan bagi golongan kedua pula pengundi terbabit akan mengambil kira kesan dan impak jika menang atau kalah di peringkat pusat mahupun negeri.
            Apapun, berdasarkan iklim politik hari ini saya menjangkakan pengundi dari golongan pertama adalah yang paling banyak dan mereka ini akan membuatkan kedudukan keputusan pilihan raya agak sukar untuk diramal secara tepat.
            Isu-isu masalah setempat sebenarnya lebih berkuasa mempengaruhi minda pengundi berbanding isu-isu nasional meskipun media tidak putus-putus memaparkannya berserta fakta-fakta yang meyakinkan.
            Gelagat, perangai, sikap dan perilaku pemimpin UMNO dan pengikut-pengikutnya di kawasan masing-masing menjadi fokus pengundi dengan membandingkan apa yang didedahkan oleh media.
            Justeru, pemimpin UMNO bukan sahaja perlu berubah sikap dengan mewujudkan suasana lebih mesra dan bersatu dengan penduduk (yang juga pengundi utama) malah mereka juga perlu berkelakuan baik atau memiliki rekod yang menyenangkan berbanding dengan isu-isu semasa.
            Di satu puak kita mendedahkan pelbagai salahlaku dan perilaku yang aib seolah-olah dipihak kita tiada yang berbuat laku seperti itu. Padahal, realitinya masyarakat setempat mengetahui kurap dan panau pemimpin mereka.
            Sebagai contoh, ada pemimpin kalangan UMNO yang kaki perempuan dan kaki judi  namun gah bercakap tentang keburukan pemimpin pihak lawan apabila bertemu penduduk seperti apa yang tersebar di media-media.
            Dalam kes seperti itu, sudah tentulah sukar bagi UMNO untuk menarik perhatian puak pihak lawan untuk menyokongnya malah tidak mustahil sebahagian daripada ahli-ahli lain termasuk mereka yang tidak menjadi mana-mana ahli parti atau pengundi atas pagar akan beralih arah ke pihak lawan.

Jagindas:   Ada satu lagi kes lebai malang dalam UMNO iaitu di Bahagian yang wakil Rakyatnya bukan dari kalangan UMNO. Tunggu selepas ini, saya akan ulas..