Selasa, 23 Oktober 2012

BOLEH BUAT TAPI....


Tapi Nyempat-Nyempatlah Weh...


SEMALAM,  penulis sempat singgah di sebuah warung menjual mee di Bota. Orang pangil Mee Ali. Sedap dan murah walapun warungnya tidak semewah mana, usang dan terasing. Pendek kata, luarannya buruk, tetapi dalamannya mengiurkan!
            Seperti biasa penulis memasang telinga terhadap beberapa pelanggan yang sedang rancak membicarakan pelbagai isu dalam negara. Biasalah kedai kopi - perlimen tidak berpelembagaan.
            Antara lain mereka menyifatkan 'Tak sempat-sempat". Di setengah-tengah tempat frasa tersebut di sebut "Tak nyempat-nyempat" ada juga menyebutnya sebagai " Tak dan dan". Apapun ia menggambarkan keadaan dimana sesuatu itu dilakukan secara tergesa-gesa bagaikan sudah tidak ada lagi masa terluang.
            Rungutan itu timbul apabila mereka memberikan reaksi tidak bersetuju terhadap cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, yang berhasrat mencadangkan kepada kerajaan supaya menangguhkan hukuman mati terhadap pesalah kes dadah.
            Manakala satu pihak lain pula bertegang leher menentang tindakan kerajaan yang disifatkan terlalu gopoh memasang alat kamera AES bagi mengesan pemandu yang melakukan kesalahan lalu lintas.
            Dalam reaksi menangguhkan hukuman mati pesalah jenayah dadah, Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood, berpendapat hukuman mati masih relevan. Sehubungan itu beliau berharap satu kajian semula secara menyeluruh perlu dilakukan kerana ia juga seharusnya membabitkan hukuman-hukuman berat yang lain.
            Sementara, Pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohamad Faisol Keling, mendakwa pemansuhan hukuman gantung mandatori terhadap pesalah dadah akan menjejaskan imej tegas Malaysia di mata dunia terhadap jenayah tersebut.         Penulis tidak berhasrat mempolemikan isu ini kerana kelmarin pun saya telah memberikan komen yang hampir serupa seperti kedua-dua tokoh tersebut katakan terhadap isu berkenaan  di sini
            Menurut Nazri: "Kalau kita lihat, selama hukuman itu (gantung) dijalankan, kegiatan jenayah dadah tidak berkurangan, tetapi mangsa yang ditipu sehingga menjadi keldai dadah terus bertambah.
            "Mereka (keldai dadah) ini pula digantung mati sedangkan bos-bos mereka terus bebas dan hidup mewah. Saya percaya hukuman (baharu) kelak tidak akan bertambah atau berkurang tetapi bersifat adil," katanya  di sini     Meskipun, taiko-taiko dadah sukar diperangkap manakala keldai-keldai dikatakan menjadi mangsa sehingga membawa kepada hukuman mati seperti yang didakwa oleh Nazri, namun kes itu tidak boleh dijadikan alasan untuk menangguh atau memansuhkan hukum seolah-olah sebagai tanda "simpati" kerajaan terhadap mangsa-mangsa taiko tersebut.
            Dalam kes jenayah dadah ini, apa yang kita tekankan adalah supaya setiap rakyat menjauhinya dan sesiapa yang terbabit tidak kira taiko atau anak buah taiko mesti bersedia menghadapi rsikonya, melainkan seseorang itu dibuktikan benar-benar teraniaya. Makanya, hukuman mati mandatori tetap relevan.        Sementara itu, dalam perkembangan lain  sebagai membalas reaksi terhadap pemasangan kamera AES, di meja lain pelanggan-pelanggan di kedai Mee Ali itu menyifatkan kerajaan sengaja mencarai masalah ketika saat-saat menghadapi pilihanraya ini.
            Menurut mereka, sepatutnya kerajaan menangguhkan dulu sebarang projek baru yang boleh menimbulkan kontroversi atau perdebatan di hati rakyat. Mereka bimbang, pengundi dan pembangkang akan menggunakan isu berkenaan bagi memberi tekanan kepada BN pada hari pembuangan undi nanti. "Bukannya lama lagi nak pilihanraya, tidak bolehkah kerajaan bersabar sekejap memberikan suasana tenang dan bertenang. Macam tak dan dan. Selepas pilihanraya nanti, jika menang buatlah apapun atas nama dasar baru," rungut pelanggan-pelanggan terbabit.
            Bagi penulis, walaupun ianya adalah sembang-sembang di kedai kopi namun pandangan dan rungutan mereka itu juga ada asasnya dan masih boleh diterima atau sekurang-kurang dipertimbangkan oleh pihak berkenaan.
            Betul juga, nyempat-nyempatlah...


Jagindas: Siapalah nak pakai borak orang kampung.... 




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas komen anda.