Ahad, 7 Oktober 2012

TUNDA LAGI!


Tanda Putera Mangsa Polemik (?)

TIDAK PASTI sama ada khabar angin ini betul atau tidak. Tetapi sudah ada yang bersohseh mengatakan bahawa tayangan filem Tanda Putera terpaksa ditanggungkan lagi selepas persetujuan penayangannya pada 15 November depan dicapai.

BANGUNAN FINAS
            Difahamkan, filem yang menelan belanja RM4.8 juta, karya Datin Paduka Suhaimi Baba, telah melalui pelbagai suntingan demi memuaskan hati banyak pihak terutama tekanan daripada golongan politik. Pastinya puak pembangkang khususnya DAP!
            Barangkali hasil terakhir yang tinggal sekarang sudah tidak lagi memuaskan apa sebenarnya yang mahu disampaikan oleh pengkaryanya - dengan kata lain mesejnya mungkin sudah menyimpang atau hambar.
             Sebagai pengkarya, karyawan seharusnya mempertahankan haknya berkarya selagi karya tersebut tidak bersifat fitnah, pembohongan dan propaganda. Apa-apa yang terkait dengan sejarah atau sesuatu peristiwa dan ternyata kebenarannya, ia sewajarnya tidak dihalang untuk difilemkan kerana filem adalah juga satu daripada wadah atau cabang media menyampaikan ilmu selain karya dalam bentuk teks.
            Dalam catatan sejarah lampau, orang putih pernah melabel orang melayu sebagai manusia yang malas dan bodoh. Pada zaman dan ketika itu, orang melayu menerima hakikat itu dan bertolak dari kebenaran itulah bangsa melayu kini semakin menyerlahkan warna bangsanya. Biarpun belum ke tahap yang membanggakan atau masih jauh ketinggalan berbanding kaum lain, namun sejarah peradaban lampau telah berjaya mengubah rona dan nasib bangsa melayu pada zaman ini.
            Demikianlah juga "Tanda Putera" yang dihebohkan turut menyentuh keburukan satu kaum lain di negara ini (hanya pada peristiwa itu), mengapa pula ada pihak yang tidak mahu menerima realiti sejarah berkenaan? Mengapa pula dikaitkan dengan "hasutan" yang memungkin pembencian?
            Justeru, jika semuanya sudah menjadi serba tidak kena sehingga karya yang terbaik tersasar kepada nilai picisan, maka saya fikir elok sahaja hasrat penayangan filem tersebut dibatalkan. Mahukah kita daripada filem yang berjiwa ilmu akan menjadi bahan ketawa atau dipolemikkan tak sudah sudah?
            Namun begitu, apa pula kata perkarya dan penerbitnya. Siapa pula yang hendak membayar segala kos yang telah terhumban!

Jagindas: Nak teliti nanti bagaimana rupa buku teks sejarah yang bakal digubal oleh Kementerian Pelajaran Malaysia nanti...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas komen anda.