Ahad, 29 Julai 2012

PERANG PSIKOLOGI BERMULA

NAJIB...banyak sudah dicurahkan

Jangan Senjata Makan Tuan!

Perang psikologi telah bermula! Setelah mengumpan beberapa lama dan pihak pembangkang tidak lagi dapat mengagak apa yang mahu Najib (PM) lakukan sebelum pilihan raya (PRU13) bagi meraih undi rakyat, kini pakatan pembangkang / pakatan rakyat (PR) beralih kepada perang psikologi.[sini]
            Sebagai permulaan, mereka menggunakan kajian daripada Merdeka Center (MC) yang mendakwa kononya Barisan Nasional (BN) berada dalam keadaan bahaya berikutan dikatakan sokongan undi orang melayu terhadap BN lebih buruk berbanding tahun 2008 manakala undi daripada kaum-kaum lain dijangka akan terus beralih arah kepada pembangkang.
            Seperti biasa, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua dan Pengarah Strategi PR, Rafizi, yang yakin terhadap kajian itu berkata sokongan pengundi melayu merosot kepada 75 peratus berbanding 79 peratus manakala pengundi india pula menjunam dari 72% ke 69% berbanding tahun 2008 (PRU12).
            Dengan tidak memberikan angka sokongan dari kalangan pengundi cina, PR yakin Najib tetap dalam keadaan bahaya pada bila-bila masa pun jika melakukan pilihan raya sekarang kerana PR yakin majoriti pengundi cina akan memberikan sokongan padu kepada PR.
            Walaupun kenyataan-kenyataan seperti ini adalah satu bentuk provokasi kempen dan lebih berbentuk perang psikologi di saat-saat akhir, namun BN terutama UMNO yang menguasai lebih 60% pengundi melayu tidak harus memandang remeh hasil kajian MC itu kerana ada beberapa perenggan dalam alasan-alasan yang diberikan terdapat logik dan munasabah sama ada dari mata kasar mahupun secara halus.
            Antaranya, dakwaan sikap muak dan bosan rakyat terhadap blog pro-kerajaan dan pemimpin kalangan UMNO yang dikatakan keterlaluan memainkan isu moral pemimpin pembangkang sebagai senjata untuk mempertidakkan keupayaan PR.
            Tinjauan rambang terhadap dakwaan ini mendapati kalangan orang ramai semakin tidak ambil kisah terhadap isu berkenaan dan ia tidak lagi menjadi topik hangat sembang-sembang politik setempat berikutan isu itu sudah terlalu lama dimainkan dan ia secara tidak langsung telah dianggap sebagai perkara biasa yang tidak lagi mampu menimbulkan sebarang 'keghairahan' yang mengejutkan.
            Apabila isu moral pemimpin sudah terlalu lama dimainkan meskipun dilengkapi dengan audio dan visual sedangkan mahkamah masih samar-samar membulatkan keputusan, maka isu berkenaan kini menjadi seperti bahan lawak jenaka yang tidak lebih daripada sekadar hiburan.
            Selain itu, langkah PM mencurahkan pelbagai insentif kepada rakyat seperti Bantuan Rakyat Satu Malaysia (BR1M) turut disifatkan seperti mencurah air ke daun keladi berikutan dakwaan program berkenaan hanya bersifat sementara dalam usaha BN menarik minat rakyat menyokong kerajaan.
            Menyentuh isu ini, pernah beberapa penyokong PAS yang menerima BR1M dengan selambanya memberitahu bahawa apa sahaja yang kerajaan sekarang beri tidak akan dilepaskan namun untuk mendapatkan undi mereka itu adalah sesuatu yang mustahil.
            Sehubungan itu, semua pihak hendaklah berhati-hati memainkan isu ini kerana dikhuatiri ia bukan sahaja membuang masa malah akan memporak perandakan lagi undi Melayu kepada BN. Dan akhirnya, ia akan menjadi umpama 'senjata makan tuan!'
            Dalam BN, kita ada MCA, MIC, Gerakan dan beberapa kompenan lain lagi. Dan kalau kita masih ingat, Datuk Seri Chua Soi Lek, yang terang-terang telah mengakui perbuatannya terhadap salah laku seks tidak lama dulu, namun kini beliau adalah sebagai presiden parti MCA.
            Kepada Datuk Seri Najib, berhati-hatilah mencurah budi jangan sampai nanti kita 'tumbang berdiri'. Demikian juga kepada mereka yang memperjuangkan kerajaan sekarang bagi memastikan BN terus unggul dan diterima rakyat dalam PRU13 nanti, tugas kita hari ini adalah menghalusi hati pengundi dan elakkan  mereka daripada membenci akibat luahan dan tinta kata-kata kesat yang berlebih-lebihan.
            Memadailah rakyat diberitahu buruk dan baiknya dan selebihnya halusilah jiwa pengundi supaya timbul insaf mereka untuk memberi peluang kepada BN terus berbakti kepada rakyatnya sebagaimana yang dirasai hari ini.
            Kita bercakap tentang berhemah, ayuh kita praktikan rukun berhemah itu!

  
Jagindas:   tulisan saya di blogg ini pada 13 Julai, 2012 (dua siri)  ada menyentuh tentang kebimbangan sokongan rakyat terhadap BN terutama kalangan orang melayu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas komen anda.