Sabtu, 11 Ogos 2012

POLITIK DAN JAWATAN


Bolehkan Orang Politik Menjujuri Diri



SEBENARNYA, orang politik memang dapat merasai sama ada dia masih dikehendaki atau tidak lagi kepimpinannya apalagi saat-saat menjelang sesuatu pilihan raya umum (PRU) seperti PRU13 yang sedang ditunggu-tunggu ini.
            Usahkan setelah dua tiga penggal memegang title Yang Berhotmat (YB) malah yang baru sepenggal pun sudah dapat merasakan selesa atau tidaknya rakyat terhadap dirinya. Namun, memang sudah menjadi kebiasaan dan adat, adalah amat sukar seseorang yang sudah naik untuk turun ke bawah.
            Memang sukar untuk mengharap secara jujur dan ikhlas supaya mereka yang sudah menjadi beban dalam parti ini untuk mengundur diri secara terhormat, bahkan kalau di minta berbuat demikian akan mengundang "bencana" pula!
            Sebab itu, apabila Najib mewar-warkan strategi 'winable candidate'  bagi PRU13 nanti, teramat sedikit suara pemimpin yang secara jelas mengisytihar untuk melepaskan pencalonan semula melainkan terus mengharap untuk dicalonkan semula.
            Sebabnya, masing-masing perasan dia masih bagus dan telah banyak berbakti kepada parti dan rakyat sedangkan rakyat tahu bahkan diapun tahu sumbangannya semasa perkhidmatannya amat kabur untuk dinilai.  Wujudnya macam tak wujud!
            Akhirnya, sebagai langkah kononnya bagi menjaga marwah serta statusnya itu, maka mereka sanggup melompat ke parti lain atau sekurang-kurangnya bergerak bagai api dalam sekam memberi sokongan kepada pihak lawan.
            Ini bukan perkara baru, cuma sejak akhir-akhir ini pergerakan seperti itu nampak dizahirkan secara lebih berani dan terbuka. Bagusnya, tindakan jelas seperti itu memberi petunjuk yang lebih jelas bagi kepada sesebuah parti untuk menyusun semula strategi bagi mempertahankan parti masing-masing.
            Malangnya pula, pihak-pihak yang seperti ini akan menjadi petualang bangsa dan negara kerana demi memuaskan nafsu masing-masing mereka sanggup membocor atau memanipulasi apa juga rahsia-rahsia sulit semasa mereka masih dalam perkhidmatan sebelum ini.
            Padahal, mereka lupa tindakan seperti sebenarnya membuka pekong sendiri dan sekiranya mereka itu memenangi sesuatu kerusi atau mampu memerintah sekalipun, skandal demi skandal, pendedahan demi pendedahan akan terus dilakukan oleh pihak lain atapun pihaklawannya.
            Akibatnya, sistem politik negara menjadi lebih hanyir, keliru dan membosankan. Kewujudan Parti Pakatan Rakyat (PR) telah menjelaskan segala-galanya sehinggakan nampak jelas ramai pemimpin-pemimpin dan bekas-bekas pemimpin di negara ini bukan sahaja bagaikan tidak matang malah seperti tidak ada lagi nilai malu dan harga diri.
            Sanggup 'diperapa-apakan' demi memuaskan tuntutan nafsu! Jelaslah, KEJUJURAN DAN KEIKHLASAN dalam politik untuk tempoh seketika ini di negara ini, masih belum kelihatan sebagai realiti, biarpun bertimbun kitab di baca dan beribu guru yang mengajarkan erti dosa dan pahala!
             
Jagindas:  Beberapa hari lagi umat Islam akan menyambut Aidilfitri. Kitapun saling bermaafan. Namn, kejujuran dan keikhlasan tidak semudah diucapkan!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas komen anda.