Selasa, 3 Jun 2014

GAZETKAN KAWASAN KHAS NELAYAN DARAT

Elak Kolam Bekas Lombong Dimonopoli

Keluhan Di Satu Sudut Kedai Kopi Di Malim Nawar:
                                                                                                             
BAGI ramai orang atau mereka yang di luar sana barangkali tidak begitu kisah sangat atau ambil pot tentang masalah nelayan ikan air tawar (nelayan darat) yang menggunakan bekas kolam lombong sekitar Kampar, Malim Nawar dan Tanjung Tualang sebagai punca utama rezeki mereka.
            Namun, masalah mereka itu sebenarnya jika tidak diambil berat oleh pihak yang bertanggungjawab boleh menjadikan isu itu menjadi lebih rumit bahkan tidak mustahil menjadi sebab berlakunya pelbagai pertikaian sehingga boleh mendorong kepada permusuhan, penganiayaan, sabotaj malah tidak terkecuali berkemungkinan berlakunya perkelahian.
            Sesungguhnya kedamaian dan kemewahan hasil mahsul yang diberikan oleh kolam bekas lombong di beberapa kawasan sekitar daerah Kinta dan Kampar sesungguhnya telah memberi ruang rezeki yang lumayan buat ramai kaum nelayan darat di kawasan berkenaan. Malah ia turut menggamit ramai kalangan pemancing dan penjala yang turut menjadikan kolam tersebut sebagai tempat beriadah dan berlibur bersama rakan-rakan mahun pun keluarga terutama pada hujung minggu dan cuti umum.
            Bagi mengawal kawasan berkenaan daripada dimonopoli oleh satu-satu pihak pihak sahaja sehingga menafikan hak dan kebebasan orang lain ‘bermesra’ dengannya, maka sekitar 14 tahun lalu, saya pernah menyarankan kepada kerajaan negeri supaya beberapa kawasan (kolam) di situ digazetkan sebagai kawasan publik (rencana khas itu disiarkan dalam akhbar Berita Harian).
Cadangan juga meliputi sebahagian yang lain pula dibangunkan sebagai kolam dan taman yang berkonsepkan pelancongan air. Namun, tulisan itu dipandang sepi oleh semua pihak. Sama ada Menteri Besar ketika itu, para exco-nya mahupun pegawai-pegawai di beberapa jabatan terbabit sehinggalah ke hari ini tidak ada siapapun secara serius mempedulikan isu dan syor tersebut.
            Kini, kalangan nelayan darat di situ semakin terhimpit bagaikan hak dan kebebasan mereka mencari rezeki telah dirampas secara terang-terangan berikutan kononnya ada beberapa pihak tertentu yang telah diberikan kuasa mengusahakan bekas kolam itu dengan industeri ternakan itik dan ternakan ikan secara komersil.
            Kejadian kira-kira 50 nelayan darat berdemonstasi aman di Kampar baru baru ini meluahkan kekecewaan nasib mereka itu adalah juga memberitahu bahawa tiada sesiapa yang sejujurnya membela nasib golongan marhaen berkenaan. Ada cakap-cakap kononnya, kerajaan negeri menyerahkan usaha kepada satu pihak bertujuan sebagai satu sumber kerajaan negeri memperoleh pendapatan (hasil negeri).
Jika begitulah pemikiran yang ada dalam fikiran peneraju negeri ini, apakah suatu pihak itu sahaja yang perlu hidup sekali gus menidakan hak rakyat marhaen yang sudah sekian lama menjadikan bekas kolam itu sebagai sumber rezeki menanggung anak bini?
            Menurut mereka, sumber dari Pejabat Tanah Dan Daerah Kampar pula mengkaitkan istana konon kesemua tanah terbabit adalah milik Sultan Perak. Benarkah begitu? Atau apakah dengan mengkaitkan istana maka tidak ada siapapun yang berani membantahnya?
            “Apakah kita percaya sekeras itu kah sikap paduka sultan terhadap rakyatnya? Kalau mahu mengkaitkan istana, tidakkah kesemua tanah dan jajahan negeri Perak ini sememangnya milik tuanku sultan? Bukan sekadar di Kampar, Gopeng, Malim Nawar hatta Kinta, bahkan seluruh negeri Perak dan jajahan takluknya sekalipun adalah milik sultanPerak. Justeru, mengapa istana pula dikaitkan? Apakah ia satu taktik untuk mengelak daripada menjelaskan isu sebenar? Atau, memang benar-benar begitu?” begitu rungutan bercampur geram mereka.
            Rakyat bukan lagi bodoh macam 40 dan 50 tahun lalu. Orang-orang pejabat tanah (dan yang bersangkutannya) termasuk pemimpin-pemimpin, ketua kampung dan penghulu tempatan janganlah menganggap semua orang apatah lagi nelayan marhaen itu semuanya bodoh, buta dan tuli. Kalau benar sekalipun mereka tidak bersekolah tinggi, sesetengah mereka punyai anak yang telah berjaya serta luas pemikirannya. Barangkali lebih luas dan cerdik daripada tuan-tuan.
            Anak-anak mereka juga telah secara langsung terbabit memeriahkan lagi pembangunan dan ekonomi negeri ini. Dan, tahukan tuan-tuan bahawa dengan hasil bekas kolam lombong itulah bahawa suatu ketika mereka dibesar dan diberikan pendidikan oleh mak bapak mereka.
            Tidak kah itu juga suatu pencapaian hasil yang lebih tinggi dan besar nilainya kepada negeri ini?
            Justeru, pandanglah satu kepada yang ramai. Kerajaan negeri wajar melihat isu ini dengan serius demi sekelompok besar rakyat jelata dan marhaen. Ada diantara mereka hanya dapat menjadikan kolam tersebut sebagai sumber pendapatan harian padahal mereka tidak punya apa selain itu -- tiada tanah, tiada rumah, tiada kemewahan.
Dengan berisikokan sejuk dan panas, belum pasti hidup atau lemas, anak bini tetap mengharap mereka pulang dan membawa sesuatu untuk di makan.
            Justeru, Pegawai-pegawai, pemimpin-pemimpin negeri dan tempatan, Jabatan Perikanan, Jabatan Pertanian, Jabatan Haiwan, Pejabat Tanah dan Galian, Pejabat Tanah Daerah dan Majlis Daerah duduklah semeja dan insaf-insafkan masalah nasib anak bangsa kita itu. Kepada tuan-tuanlah tempat mereka mengadu. Kalau tidak tuan-tuan yang boleh membantu mereka, siapakah lagi...? Tolonglah...
            Jangan tunggu bengkak menjadi nanah, luka menjadi tokak maka, ketika itulah baru hendak bertindak. Ingatlah ketika pisau tuan-tuan ditangan orang lain suatu ketika dahulu. Dan, setelah pisau itu kembali ke tangan tuan-tuan, apakah lagi alasannya sehingga bagai amat keliru untuk membuat keputusan dan ihsan.
            Namun apalah kiranya jika benarlah semuanya itu atas kehendak sultan, maka sesungguhnya patik bemohon ampun, tiadalah kuasa patik untuk menegurnya.

Jagindas: Saya yang mendengar rintihan itu teringat beberapa baris senikata lagu “Anak Kecil Main Api  (WARISAN)”..(klik di sini)            

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas komen anda.