SATU UMMAT, SATU TEKAD, SATU HATI
INSYAALLAH,
barangkali jika puasa tahun ini hanya 29 hari, maka Ahad ini, 19 Ogos akan
berhari rayalah umat Islam menyambut 1 Syawal, 1433H.
Sepanjang puasa kali ini, kita
disajikan pelbagai berita, kisah dan citra dari dalam mahupun luar negara.
Daripada perkara-perkara yang menyeronokkan hinggalah kepada yang menyedihkan.
Dari hal yang menggembirakan kita juga disajikan dengan berita-berita yang
mengerikan. Demikian, kehendak Tuhan dan demikian juga hukum alam.
Belumpun reda riwayat rakyat
Palastin yang tak habis-habis dikunjung malang, Syria pula mengkocakkan
keharmonian satu lagi negara Islam selepas Mesir dan Libya menggegarkan revolusi
rakyatnya. Kita dilimpahi rezeki berbuka puasa dan bersahur, ada saudara kita
bercatu makan dan kita tidak sedikitpun terasa kelaparan mereka.
Dalam negara, selain kemalangan di
sana sini, iklim politik tanah air juga turut mewarnai pembacaan rakyat.
Sehingga, adakalanya terasa begitu muak untuk mengikuti perkembangannya berikutan
sikap bodoh membodohkan diri antara pemimpin-pemimpin politik yang rakus dengan
matlamat masing-masing.
Ada pemimpin yang melayan mimpi
terlalu asyik sehingga kehidupan mereka menjadi seperti orang hayal tidak ubah
laksana pemabuk dengan arak, ganja dan morfinnya. Tidak kurang juga ada yang
begitu lena dibuai mimpi bagaikan diulit seribu bidadari lantas tidak lagi
mengenal mana siang dan mana malam.
Apapun, nampaknya kehadiran Ramadhan
bagaikan gagal menginsafkan umatnya. Bercakap bohong, memfitnah dan mengadu
domba tiada batas dan silunya bagaikan keberkatan bulan yang diangkat sebagai
al-mubarak itu hanya terucap sebagai pemanis dibibir sahaja.
Yang keliru, akan semakin keliru dan
terus terkeliru. Yang tersasar, belum pasti entah kemana pula akan
terdamparnya. Namun permainan terus berpesta sehingga menghilangkan
bayang-bayang derita di luar sana yang sepatutnya memberikan petunjuk kepada
hati dan fikiran untuk lebih mengenal betapa besarnya keagungan Tuhan, Allah
swt. Apa benarkah kita telah bersyukur terhadap nikmat Allah?
Manusia, seperti sudah hilang
pertimbangan dan akal budi disebabkan kerakusan nafsu yang menguasai diri dan
naluri demi kepentingan peribadi, kalaupun setidak-tidaknya untuk kelompok
tersendiri.
Orang-orang yang belajar agama akan
bercakap mempertahankan tafsirannya. Yang belajar ekonomi pula menggariskan
untung dan rugi. Mereka yang berselimut dengan politik terus menebalkan gebar
masing-masing sentiasa mengkhuatiri musim sejuk akan melanda.
Yang kaya tidak jemu-jemu
membicarakan aset dan harta manakala yang miskin terus mengharap kehidupan akan
terbela. Dan, bagi yang tidak pernah ambil tahu apa-apa, mereka mengandaikan
hidup dan mati adalah sama sahaja.
Ada yang berdoa siang dan malam mohon
dilimpahkan rezeki yang halal, namun pada masa sama terus menerkam apa sahaja
lubuk tanpa mengira putih atau hitam. Apakah ertinya doa itu?
Meski, yahudi dan nasroni jelas
diperkatakan dalam quran dan hadis nabi (saw), namun semakin tua usia nampaknya
semakin pula mereka tidak mengenalnya bahkan ada yang sudah tidak sedar mereka
sebenarnya telah pun tidur sebantal dengan yahudi. Kebijaksanaan tafsiran demi
tafsiran, membantu mereka untuk menafikannya.
Dan, syaitan semakin menampakkan
dirinya kerana manusia sudah tidak lagi mempedulikan harga diri!
-JAGINDAS-
|
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih atas komen anda.