Selasa, 6 November 2012

NOSTALGIA KOBOI

DARI KIRI: Blue, Buck dan Monalito

"The High Chaparral"

KEMPEN-KEMPEN  pra-pilihanraya (PRU13) dilihat bagaikan melihat drama koboi zaman 60an dan 70an.  Senario itu juga mengembalikan ingatan penulis kepada salah sebuah cerita koboi klasik yang begitu popular di zamannya iaitu"The High Chapparal". Beberapa sedutan trailer filem berkenaan masih boleh dilihat menerusi youtube.
            Memetik dalam satu insiden di mana Manolito dan Buck di kepung oleh Red Indian, maka dengan ragu-ragu Buck berkata kepada Manolito: "Now we got problem. We are surrounded by Red Indian! " Lantas secara sepontan dijawab oleh Manolito: "What do you mean by we?"  Jawapan Manolito ini memeranjatkan Buck.             Buck benar-benar pelik kerana merasakan keselamatannya terancam sedangkan Manolito pula berasa selesa. Sikap Manolito itu disebabkan dia memang berbaik sangka dengan kedua-dua pihak iaitu dengan kumpulan iparnya (Buck) dan juga Red Indian. Tambah pula, dia boleh berbahasa Red Indian dan menjadi penterjemah bagi pihak Buck.
            Pastinya dalam filem koboi babak yang menarik adalah aksi kejar mengejar koboi berkenderaankan kuda disusuli dengan aksi tembak menembak dengan bersembunyi sebalik batu-batu. Peng! Peng!Peng, Peng!
            Berbalik kepada kisah politik kita hari ini, para rakyat yang anti campur tangan Yahudi yang telah dikesan dengan terang membantu sebuah agensi bertopengkan NGO tetapi menjadi alat kepada parti pembangkang menjalankan aktiviti yang disifatkan mengancam keselamatan negara telah meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak berkuasa undang-undang termasuk Bank Negara Malaysia (BNM) supaya mengambil tindakan terhadap organisasi tersebut.
            Semalam, Rafizi pula meminta SPRM menyiasat Menteri Dijabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz dan Datuk Seri Musa Aman (Ketua Menteri Sabah) berhubung kes yang didakwanya mempunyai perselisihan kepentingan melibatkan “dana politik” bernilai RM40 juta diterima oleh Umno Sabah, dan melibatkan Nazri dengan Chia melalui anaknya Nedim. Chia atau Michael Chia adalah peniaga balak terkenal di Sabah [baca dedahan Rafizi klik di sini]
            Kesian.., SPRM banyak kerja sekarang. Belum pun selesai kes tembakan pertama, tembakan kedua pula sampai. Dan, sekarang kedua-dua pihak nampaknya menggunakan pistol otomatik. Bertubi-tubi. Pun begitu belum ada yang mati. Tetapi seorang telah tercedera dan sedang direhatkan. Itupun mungkin terkena peluru sesat. Peluru sudah banyak habis tetapi semuanya masih tersasar.
            Orang awam pun jadi kelam kabut dibuatnya. Namun polis, SPRM dan pihak berkuasa kita masih 'steady'. Itu yang buat penulis angkat topi.
            Sebelum ini pun sebenarnya sudah banyak berlaku kes berbalas tembakan. Kes Altantuya Shariibu, kapal selam scorpene, saham Felda global, NFC dan banyak lagi.
            Dalam drama tembak menembak itu, secara langsung kedua-dua pihak berpeluang menguji kekuatan dan keberkesanan senjata masing-masing. Zaman High Chaparral tidak ada bom dan meriam. Jadi, penulis melihat pertempuran bala tentera politik yang bertelagah ini juga tidak menggunakan bom dan meriam. Harap-harap mereka berterusan begitu. Sebab, kalau guna bom dan meriam nanti banyak pula yang mati  dan cepat mati!
            Malang sedikit bagi penulis, saya tidak sempat melihat kesudahan cerita The High Chaparral. Maklum masa itu, penulis tidak ada televisyen. Seslot dua slot yang sempat penulis tonton itu pun dengan ihsan orang kampung. Itupun kena berjalan kaki kira-kira tiga batu (4.8km) untuk sampai ke rumah yang ada tv itu. Kena bayar lima sen lagi!
            Jadi, penulis tidak tahu apa dan bagaimana kesudahan cerita tersebut. Harap-harap, pertempuran yang sedang berlaku di depan mata penulis ini sempat di tonton kesudahannya...Peng!, Peng! Peng, Peng!

Jagindas: Kata rakan penulis, koboi-koboi nakal suka tembak pada kaki lawannya sambil ketawa besar...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas komen anda.