Sabtu, 6 Julai 2013

MESIR DAN MALAYSIA JAUH BERBEZA

Bangsa Tak Sama, Mimpi Pun Berbeza!

DALAM sehari dua ini, peristiwa pergolakan dan rampasan kuasa di Mesir menarik perhatian dan ia menjadi hiasan utama dada-dada akhbar perdana di seluruh dunia.
            Untuk rayat di Malaysia pemimpin kita mengingatkan supaya peristiwa itu dijadikan iktibar kerana apapun natijahnya rakyatlah yang akan menjadi mangsa sedang pihak ketiga pula bersukaria menangguk untung dan laba.
            Bezanya, di Mesir negara itu mempunyai satu bangsa ia itu bangsa Arab Mesir, satu bahasa (Arab), satu budaya (Mesir). Mereka cuma di bezakan berlainan agama - Islam dan bukan Islam.
            Siapapun memerintah, orang itu adalah berbangsa Arab Mesir siap lengkap dengan bahasa dan fahaman budayanya. Justeru, rakyat cuma mahu tentukan pemimpin itu hendaklah beragama Islam dan memimpin negaranya berlunaskan Islam. Nah, tuntutan mereka dari sudut itu adalah jelas!
            Masalah timbul di sini selain daripada korupsi dan tamak haloba, ialah bawaan agama oleh pemimpin itu. Kerana dalam Islam hari ini pun didapati telah bercampur baur dengan pelbagai fahaman dan aliran sehingga menyebabkan sesama Islam berantakan.
            Beberapa agama Islam mempertahankan bahawa perbalahan pendapat sesama ulamak itu kononnya perkara biasa bagi mendapatkan satu keputusan yang jitu, adil dan bersifat global terhadap sesuatu isu dan bersesuain dengan umat manusia.
            Ironinya, jika setiap pemimpin Islam itu benar-bernar berpegang kepada mazhab yang empat, tidak ada sebab umat Islam itu berbalah pendapat apatah lagi berpecah belah. Bagi penulis gejala ini mungkin disebabkan aliran mazhab-mazhab Islam itu telah dicampuri dengan pelbagai fahaman yang menyimpang daripada landas Islam sebenar seperti fahaman syiah dan wahabi. Barangkali ada lagi fahaman-fahaman lain yang kita tidak ketahui tetapi sedang berusaha menegakkan ekornya.
            Tanpa di sedari umat Islam sekarang telah di begitukan. Ini kerana, puak-puak anti-Islam sentiasa berusaha tanpa kenal jemu dan lelah untuk memesongkan pemikiran umat Islam di seluruh dunia dengan cara yang paling halus. Antaranya dengan melahirkan kitab-kitab yang nampaknya berintikan Islam tetapi menyelitkan tafsir-tafsir tertentu dengan melebihkan-lebihkan kehendak fahaman dan bukan aliran mazhab.
            Justeru, penulis percaya disebabkan itulah pada zaman serba maju ini dilihat pemimpin agama dan ulamak sukar mendapat kata sepakat apabila bertemu dengan sesuatu isu yang membabitkan Islam khususnya yang menyentuh soal hukum hakam, politik, ekonomi dan sosial.
            Kalau kita lihat kembali kepada senario di Mesir hari ini dan mengkaitkannya dengan Malaysia, ianya berbeza sekali malah amat merbahaya jika senario dan peristiwa itu berlaku di sini. Ini kerana, pihak yang ghairah 'menciplak' Arab Spring sebenarnya tidak jelas terhadap apa yang dituntutnya. Kenapa?
            Kerana, pihak yang tidak berpuas hati itu terdiri daripada orang berbangsa Melayu, India, China dan lain-lain. Demikian juga agama dan budaya mereka - Islam, Buddha, Kristian dan lain-lain. Malah dalam Islam itu sendiri ada puak-puaknya! Sudah wujudkah bangsa Malaysia seperti wujudnya sebuah bangsa Arab Mesir? Belum dan rasanya tidak akan wujud sebegitu...
            Makna kata, ada banyak benda yang tersembunyi. Kalau nak pulih orang Melayu dan Islam, Islam dari puak yang macam mana. Yang berpegang kepada aliran Mazhab Shafie sebenar-benarnyakah atau yang telah bercampur aduk alirannya dan fahaman-fahaman extrim?
            Kalau pilih bukan Melayu, barangkali orang lain selain Melayu tidak ada masalah terhadap anutan agama orang tersebut. Tetapi orang Melayu pasti ada masalah terhadapnya. Puak ketiga tentu tidak akan duduk di sebelah Melayu Islam. Kalau adapun mereka akan bina satu peluru berpandu yang tugasnya mengharu birukan puak-puak Melayu Islam itu.
            Jadi, kesimpulan di Malaysia ini tuntutan mereka yang menciplak demo ala Arab Spring itu tidak jelas khususnya kepada orang Melayu. Apa yang jelas adalah kesudahannya akan menyebabkan negara huru hara bahkan mungkin lebih dahsyat berbanding Mesir.
            Sebab itu, rakyat wajar memahami isu di Mesir dan ambillah iktibar daripadanya sebelum nasi menjadi bubur. Nanti, apa yang dikejar tidak dapat dan yang dikendong pula yang berciciran. Sampai di garisan penamat, kantung yang dikendong sudah kekosongan sedang diri kepenatan tersembam ke bumi.



Jagindas: Zaman teknologi tingg ini, intan dan kaca memang sukar untuk dibezakan melainkan jauhari saja yang kenal manikam!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas komen anda.