sambungan dari cerita 1
CERITA 2: Che Dat Halimunan?
SUATU malam
selepas bercerita dengan adik Ching Peng (Cikgu Boon Chuan), saya teringat pula
kisah yang diceritakan oleh arwah ayah dan ibu kira-kira 40 tahun lalu. Menurut
mereka, pada tahun 50an anggota keselamatan sentiasa merisik untuk menangkap
Che Dat yang dipercayai sekali sekala akan balik ke kampungnya di Lambor Kiri.
Namun, apabila bertemu dengan Che
Dat, tiada siapapun yang bertindak untuk menangkapnya melainkan dibiarkan
sahaja. Apabila dia menaiki motosikalnya dan berlalu selepas berbual-bual
dengan penduduk, barulah orang ramai sibuk untuk menangkapnya.
Dan, sampailah ke akhir hayatnya,
dia tidak pernah ditangkap.
Seorang tua, dikenali sebagai Pak
Abu yang saya kenal melalui seorang kawan, arwah Cikgu Mazlan Wahab, turut
menceritakan perihal Che Dat. Menurut arwah Pak Abu, dia dan Che Dat adalah
sekampung dan rakan "seguru". Namun, katanya Che Dat memilih berjuang
dalam pasukan komunis sebagai haluan hidupnya.
Sesuatu yang menarik dalam perbualan
saya dengan Pak Abu, adalah beliau amat yakin bahawa Che Dat tidak pernah
membunuh sesiapapun termasuk anggota keselamatan. Dia yakin benar!
"Tidak. Saya yakin dia tak
bunuh sesiapa termasuk polis dan askar. Itu adalah pantang-larang ilmu yang
kami tuntut. Itulah pesan guru kami. Namun, dia mungkin memberikan arahan
sahaja"
"Ada sesuatu dalam ilmu yang
dibawanya itu dimana dia boleh membawa beberapa orang tidak kira melayu, cina
atau india yang mana pihak musuh tidak akan dapat berbuat apa-apa melainkan
setelah mereka menghilangkan diri dari pandangan," kata Pak Abu ketika
bercerita panjang lebar mengenai rakan segurunya itu.
Menurut Pak Abu, semenjak Che Dat
"masuk hutan" beliau tidak pernah bertemu dengan rakannya itu. Katanya,
walaupun sesekali Che Dat ada pulang ke kampung namun dia akan cuba mengelak
untuk bertemu dengan Pak Abu. Mengapa? Hanya mereka sahaja yang tahu sebabnya!
Ada, bukan tak ada. Pak Abu ada
cerita kepada saya sebab-sebabnya secara ringkas tapi biarlah ia jadi simpanan
fail peribadi saya.
Mungkinkah kekuatan Ching Peng adalah
hasil perkongsian "keilmuan" yang dimiliki Che Dat? Daripada penceritaan Pak Abu itu, saya
percaya kemungkinan itu ada!
Jagindas: Arwah
Pak Abu kata, masa muda-muda dulu kalau dia jumpa Che Dat mungkin akan
dibunuhnya, namun setelah meniti hari tua, beliau mengampunkan keslahan
rakannya itu. Tetapi Che Dat masih enggan menemuinya sehingga akhir hayat Pak
Abu...