Dan Kita Menanggung Bala'Nya
DI WARONG KOPI petang tadi saya dan
rakan-rakan menumpukan perbincangan terhadap kes buang bayi yang kini dilihat
semakin menjadi-jadi. Paling menyedihkan kekejaman itu dilakukan oleh majoriti
remaja melayu.
"ADA
yang tak kena dengan remaja melayu kita ini". Itu tandatanya yang tercetus antara kami. Cara
pembuangan bayi yang tidak berdosa ini juga amat menakutkan. Dari tempat
pembuangan sampah membiarkannya diratah anjing, terlalu hina diperlakukan
sehingga diperonyok dalam lubang tandas, hinggalah mencampakkannya seperti
membuang sampah dari atas bangunan. Jelas, bagaikan tiada lagi kemanusiaan
dalam jiwa pelakunya!
Malah
ada juga dipercayai kemungkinan bayi malang terbabit di bunuh terlebih dahulu
sebelum di buang! MasyaAllah! Amat menyedihkan. Setakat ini statistik rambang menunjukkan
kejadian tidak berperikemanusiaan ini majoritinya dilakukan oleh remaja melayu
yang beragama Islam. Secara tidak langsung, ia memberi gambaran bahawa penganut
agama Islam di negara ini bodoh, tiada berhati perut dan kejam.
Kes-kes
sumbang mahram membabitkan antara ayah dengan anak, adik dengan kakak, abang
dengan adik bahkan agaknya sudah ada kes pelakunya antara ibu dengan anak!
Na'uzubillah min zalik!
Kerajaan
tidak alpa mengingatkan rakyatnya terhadap nilai-nilai hidup. Saluran media
sama ada media cetak mahupun elektronik juga turut menjalankan tanggungjawab
mereka mengingatkan manusia di negara ini supaya sentiasa menjaga nilai-nilai
hidup sejagat. Namun, peristiwa menyayat hati itu tetap juga berlaku malah semakin
membimbangkan berikutan peningkatan jumlahnya.
Jika
kita bertanya "di mana
silapnya?", soalan itu sekali gus mendorong untuk menyalah pihak lain.
Seperti biasa, kerja-kerja menyalahkan orang lain memang mudah tetapi dalam
banyak hal ia tidak membantu menyelesaikan masalah.
Tidak
dinafikan, keterbukaan media baru di alam maya barangkali menjadi pemangkin
yang mendorong remaja untuk cuba melakukan khalwat, zina dan seks bebas selain
dari unsur-unsur dadah yang sememangnya akan menyebabkan manusia gagal mengawal
fikiran dan perasaan.
Pun
begitu, rata-rata berpendapat kebebasan pergaulan adalah punca asal usulnya terhadap
apa juga kejadian yang membabitkan salah laku seks mahupun seks bebas. Bagi
keluarga yang gagal mengawal kebebasan anak-anak bermula sejak kecil, mungkin
kita boleh katakan itulah akibatnya apabila anak-anak tersebut meniti usia
remajanya.
Namun,
ada juga ibu bapa yang telah sedaya upaya mengawal dan mendidik anak-anak
dengan pelbagai ilmu termasuk keagamaan tetapi malang masih berlaku apabila
anak-anak itu meningkat remaja dan tidak lagi tinggal bersama keluarga sendiri.
Di
antara celah-celah kekeliruan itu makaterdapat suara menyatakan bahawa antara
faktor utama sebab mursabab terjadinya perilaku hina itu adalah lemahnya iman
seseorang. Iman yang rapuh menyebabkan seseorang akan mudah terpedaya dengan
godaan syaitan. Dengan kata lain, jika iman kuat, datanglah pelbagai macam
pancaroba dan godaan sekalipun, InsyaAllah terpeliharalah dia daripada sebarang
perbuatan keji! Inilah yang kerap diperkatakan jika masalah seperti ini
dibincangkan secara terbuka.
Mungkin
alasan itu sesuai bagi mereka yang sudah dewasa tetapi bagaimana pula si
pelakunya masih anak-anak kecil sesusia 7 tahun? Bukan sahaja di bandar-bandar,
kejadian yang serupa juga berlaku di kampung-kampung. Cuma tidak semua kes
mendapat pendedahan media.
Dalam
pada itu faktor lain yang mendorong berlakunya salah laku seks sedemikian
adalah faktor kelalaian manusia terutama dalam keluarga itu sendiri. Saya
teringat beberapa kes membabitkan kecuaian ibu bapa dan orang dewasa dalam
rumah yang tidak mengunci pintu bilik dengan sempurna dimana banyak kes
pelakuan seks ibu dan ayah di saksikan oleh anak-anak yang akhirnya menuntut
mereka untuk meniru "gaya" yang ditontoni tadi.
Ada
juga kes ibu bapa yang menyimpan bahan-bahan lucah dalam bilik tidur atau di
rumah dalam keadaan amat cuai sehingga membolehkan anak-anak menonton bersama
kawan-kawan atau adik-beradik apabila ibu bapa mereka tiada di rumah.
Kepada
yang sudah terlanjur dan gagal pula mengawal kemenjadian benih manusia dalam
Rahim, maka terimalah seadanya. Jangan panik dan disebabkannya anda menjadi
pembunuh atau menjadi manusia yang berdarjat haiwan. Bahkan lebih buruk dari
binatang kerana dalam banyak hal binatang juga sayangkan zuriatnya.
Manakala
bagi yang belum terlanjur, berwaspadalah jangan sampai keseronokkan yang cuma untuk
beberapa detik anda menggelapkan masa depan sendiri.!
Pun
begitu, bagi mereka yang terpaksa menanggung beban kerana di rogol atau
dianiaya, maka kaum keluarga diharapkan dapat memberikan sokongan dan kekuatan
kepada mangsa. Kerana apapun kejadian itu bukan atas kehendak atau relanya.
Yang
jelas, melihat kepada peradaban hidup, pemikiran serta kerakusan orang dewasa menerajui
bumi ini termasuk mereka yang bergelar pemimpin dan "ahli agama",
dengan apa yang kita himpunkan dari petunjuk-petunjuk serta khabar-khabar indah dan buruk menerusi hadith dan al-quran,
maka yakinlah bahawa inilah BALA' yang Allah turunkan kepada umatnya.
Jagindas: Allah, berikan
kami petunjukMu...
Assalamualaikum.
BalasPadamMenurut Tuan, adakah salah laku seks di kalangan remaja pada hari ini berlaku kerana kurangnya luahan hati ke hati antara anak dan ibu bapa mereka ?
Terima kasih Tuan, untuk perkongsian entry ini, hamba dahulukan dengan ucapan Barakallah.