Isnin, 11 Februari 2013

PATUHILAH KEHENDAK AGAMA KITA DAN...,

GAMBAR HIASAN


Hormatilah Nilai Adat Serta Budaya Melayu Sejati

WAHAI anak muda dan orang Melayu (Islam) seluruhnya. Janganlah terlalu terpengaruh dengan cara hidup dan cara berfikir orang Barat terutama dalam urusan menyelesaikan masalah hidup. Janganlah terlalu berpegang kepada ilmu psikologi dan bila menghadapi sebarang masalah peribadi.
            Sebagai seorang yang beragama Islam, apapun tindakan yang mahu dibuat hendaklah diserasikan pula dengan hukum agama (Islam) dan adat kita sebagai orang melayu (merangkumi nilai-nilai budi bahasa dan kesantunan hidup).
            Zaman moden ini nampaknya ramai yang telah mengetepikan kedua-dua elemen penting itu . Sebab itu kita lihat bagi yang sudah berkelamin, bila timbul sesuatu masalah, maka jalan mudah yang diambil adalah tinggal berasingan. Si-isteri akan membawa diri kononnya mencari ketenangan. Paling teruk pemergiannya itu tidak pula mendapat restu si suami.
             Bagi anak dara pula,  bolehkah sesenang itu keluar dari rumah menjauhkan diri dari keluarga tanpa pengetahuan dan izin ibu bapa? Konon untuk menenangkan fikiran yang berserabut disebabkan dilanda sesuatu masalah.
            Begitu juga sebagai serang lelaki, bersopankah meriuh rendahkan hubungan kita dengan anak dara orang sedangkan antara keduanya masih belum ada sebarang ikatan pun. Bahkan, kalau sudah ada ikatan sekalipun (bertunang misalnya), wajar dan maniskah membesar-besarkan cerita perhubungan antara pasangan sedangkan antara keduanya belum lagi ada ikatan yang sah (nikah)? Dan, jika sudah bernikah sah sekalipun, apakah harus hal-hal rumah tangga sama ada yang baik apatah lagi yang buru-buruk disebar-sebarkan kepada pembacaan umum?
            Jangan terikut-ikut dengan rentak orang Barat. Janganlah terajuk-ajuk cara hidup orang 'moden' kononnya,  tetapi tidak berlandaskan hukum syarak, adat dan budaya bangsa.
            Kalau belum lagi berumah tangga tetapi sudah menunjukkan belang melangkah kepala orang tua, macam mana kalau sudah berkahwin nanti? Kalau belum berkahwin sudah boleh lari dari rumah (konon menacari ketenangan), apatah jadinya kalau sudah berumah tangga dan mengalami sedikit masalah nanti? Elokkah tingkah laku perempuan (isteri) dan lelaki (suami) macam itu?
            Apapun alasan dan natjahnya dalam hidup ini, namun landas utama adalah tetap agama (Islam), adat dan budaya. Jika lari daripada kerukunan itu, akibatnya amatlah buruk, menakutkan dan memalukan.
            Kapada yang masih dibawah kawalan ibu bapa (keluarga), hormatilah patuhilah mereka selagi mereka tidak bersikap zalim. Kepada kaum lelaki, meskipun anda berhak membuat keputusan, namun janganlah sombong diri sehingga melihat orang lain sebagai picisan.
            Ingatlah, jika Allah memanjangkan usia kita, suatu masa nanti kita juga akan menjadi ayah dan ibu kepada anak-anak. Bersediakan kita nanti menerima anak-anak dalam keluarga kita yang kelakuannya kurang ajar, tidak berbudi dan lupa diri. Apakah rasa dan resa di hati kita kalau nanti ada seseorang datang dalam keluarga kita yang sikapnya biadap menjadikan kita seperti tunggul di tepi jalan?
            Kita bukan sekadar mahu mengecap keseronokan hidup untuk tempoh singkat bahkan kita juga mahu melahirkan keturunan yang baik-baik sekali gus mewarnai generasi masa depan yang luhur, bersih dan berhemah tingi.


Jagindas:  Murahnya nilai sebuah publisiti peribadi!  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas komen anda.