Selasa, 12 Februari 2013

BARU SEKARANG NAMPAK MUKA WAKIL RAKYAT

Selepas Menang Lima Tahun Lalu...


BARISAN NASIONAL (BN), optimis akan mendapat lebih dua pertiga kerusi menerusi plihanraya ke 13 (PRU13) yang akan berlaku pada bila-bila masa dari sekarang sebelum 28 April  ini. Tidak kurang juga pihak lawan menaruhkan harapan yang sama, paling tidak bertindak menjadikan kerajaan baru nanti goyah (kalau BN juga) atau tidak kuat untuk mentadbir negara.
            Perdana Menteri (PM), timbalannya (TPM), menteri-menteri, Menteri Besar (MB) dan Ketua Menteri (KM) kini sedang ghairah mengisi jadual masing-masing bagi mendekati rakyat dan pengundi. Ini adalah tindakan biasa yang dilakukan oleh parti-parti yang bertanding yang disifatkan meraih sokongan di saat-saat akhir.
            Di warung-warung kedai kopi heboh orang memperkatakan wakil rakyatnya baru sejak akhir-akhir ini nampak muka menemui penduduk setelah penggal hampir tamat. Entah apa yang disibukannya lebih empat tahun lalu tidak pula diketahui. Bahkan, ada yang sehingga saat-saat akhir seperti ini masih ramai penduduk yang belum kenal lagi wakil rakyatnya.
              Di saat-saat akhir ini, beliau datang dengan rombongannya serta seorang pencatat. Wakil rakyat pun dah macam menteri! Entah berapa buah buku catatan sudah digunakan bagi mencatat aduan penduduk. Maklumlah aduan yang diterima itu adalah yang terpendam lebih empat tahun lalu. Cuma inilah sahaja masa yang ada bagi wakil rakyat mereka menemui penduduk. Yang pasti, beberapa janji yang dirakam oleh wakilnya (pegawai khas wakil rakyat) sebelum ini masih belum nampak apa-apa.  
            Ketika namanya dicalonkan untuk bertanding dalam PRU12 dulu, wakil rakyat ini pernah memasuki kampung-kampung untuk memperkenalkan diri sekali gus memancing undi. Itulah kali pertama dia meredah kampung. Dan, setelah memenangi kerusi tersebut, wakil rakyat berkenaan dikatakan begitu sibuk sehingga tiada sebab untuk bertemu penduduk.
            Berdasarkan rekodnya itu, adalah malang bagi penduduk di kawasan itu jika beliau masih lagi dicalonkan untuk PRU13 ini. Khabar yang didengar, beliau akan dicalonkan semula atas dasar dia baru sepenggal menjadi wakil rakyat! Takkahlah BN sebodoh itu membuat alasan! Tetapi mungkin juga, sebab BN pun tahu rekod perkhidmatannya. Kalau begitu saja-saja nak tempah 'maut' lah!
            Suara-suara sumbang pengundi semakin nyaring dan jelas memperlekeh wakil rakyatnya: Kalau dia ini juga, kita pangkah sapa saja asalkan melayu tetapi bukan BN; Kita bagi saja pembangkang melayu, dan macam-macam suara lagi diselangi dengan hilai tawa.
            Fenomena itu juga turut menyangkal gesaan Tun Mahathir dan pemimpin-pemimpin BN supaya pengundi tidak mempertikaikan siapa calon tetapi lebih kepada memilih parti (BN) bagi memastikan kelestarian kepimpinan BN menerajui negara selepas PRU13 nanti.
            Dakwaan penduduk jika wakil rakyat semacam itu diberi peluang menang sekali lagi, akan membuatkan beliau semakin bongkak dan tidak sedar diri, ada kebenarannya.
            "Itulah rupa wakil rakyat kita. Daripada kita terus ditipu dan mereka dan konco-konconya terus 'kenyang', lebih baik kita pilih yang lain. Kalau kena tipu pun, puas hati sebab puak yang satu lagi tu memang kerjanya menipu!", itu adalah satu daripada beberapa suara keciwa yang memecah di warung kopi tersebut.
            Barangkali inilah yang didakwa pembangkang PRU kali ini adalah pilihanraya perkauman apabila pengundi akan memilih sapa saja calon yang bertanding berdasarkan kekuatan majoriti (undi penentu) di kawasan itu.
            Daripada sembang-sembang kedai kopi itu, peratusan pengundi yang melihat siapa calon lebih tinggi berbanding memihak terus kepada parti membuta tuli.
            Dan lagi, agknya bila BN beria-ia benar mengawasi tindakan sabotaj dari kalangan ahli parti, seolah-olah masih ramai yang disifatkan 'beban' oleh pengundi akan dicalonkan semula dalam PRU13 nanti.
            Sebelum ini kalau tidak ada majlis, wakil rakyat tak datang. Tapi sekarang hujan panas pun sanggup redah. Apa yang boleh penulis kata adalah: apapun, jangan tempah 'maut'.

Jagindas:  Tak semestinya orang lama perlu tarik diri dalam PRU13 ini, orang-orang baru pun kalau dah tak boleh buat kerja lebih baik undur daripada menjadi beban kepada parti! Orang yang ghairah nak jadi calon juga kena fikir "utamakan parti" sebelum meminta pengundi berbuat demikian. Bukankah? 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas komen anda.