Malah, Sewenangnya Jadi Tempat Buruh Indonesia
|
SK Kg Ayer Mati Kg Gajah
(gambar oleh: kulukelio.blogspot.com)
MENYUSURI halaman Kampung Pasir Salak
bertemulah penulis dengan sebuah kampung lama yang diberi nama Kampung Ayer Mati. Di situ ada sebuah sekolah rendah dinamakan SK. KG. AYER MATI, Kampung
Gajah, Perak. Sekolah itu kini sudah ditutup operasinya lebih sepuluh tahun lalu atas alasan muridnya hanya ada tiga orang. Tapi yang peliknya banyak juga sekolah jenis kebangsaan (SJK) Tamil dan Cina terus beroperasi walaupun ada seorang murid. Demikianlah tergesa-gesanya 'orang tertentu' bila membuat keputusan!
Mengikut sejarahnya, Allahyarham Datuk Seri Megat Junid (bekas Menteri Dalam Negeri di zaman Tun Mahathir) pernah mendapat pendidikan awal dari darjah satu hingga darjah enam di sekolah ini. Malah, semasa hayatnya juga beliau sering balik ke kampung ini, kampung halaman asal usul beliau.
Kerangka asas, lantai, bumbung dan dinding bangunan sekolah tua itu masih elok. Ketika penulis meninjau ke bangunan sekolah itu, penulis dapati sekolah itu kini telah dijadikan sebagai tempat tinggal pekerja ladang sawit (buruh Indonesia). Entah siapa yang beri kebenaran tidak pulak penulis ketahui. Entah bersewa atau tidak, tidaklah juga penulis ketahui.
Sayang seribu kali sayang. Melihatkan lokasi bangunan sekolah terbiar itu dan keadaan sekelilingnya, adalah amat sesuai jika pihak kementerian pendidikan membaikpulih bangunan itu dan dijadikan sebagai pusat kokurikulum atau jadikan apa sahaja yang berkaitan dengan ruang lingkup pendidikan bagi kawasan daerah kecil Kampung Gajah.
Jagindas: Bercakap tentang kerativiti, inovasi dan nilai-nilai estetika, adakah orang pendidikan faham?
|
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih atas komen anda.