Khamis, 3 April 2014

MELAYU DAN MUALLAF SAMA HAK ISTIMEWA (?)

Mohd Nor Abdullah -
Bekas Hakim Rayuan
Kerana Mualaf Juga Melayu

TIBA-TIBA sahaja timbul persoalan supaya golongan mualaf di negara ini diberikan hak yang sama seperti mana yang dimiliki oleh kaum melayu termasuk yang bersangkutan dengan hak-hak keistimewaan orang-orang melayu. Baca di sini.
             Barangkali suara itu dilontarkan berikutan di Malaysia, mana-mana warganegaranya dari kaum-kaum lain selain melayu, yang memeluk agama Islam (mualaf) secara otomatiknya mereka sudah layak didaftarkan taraf kaumnya sebagai melayu. Makanya, berdasarkan itu (melayu) secara logiknya tentulah mereka juga berhak menikmati apa-apa keistimewaan yang diberikan oleh negara untuk orang melayu. Antaranya, mereka juga berhak untuk memiliki atau membeli tanah rezab melayu, meyertai skim Amanah Saham Nasional Berhad (asnb) dan bermacam-macam lagi.
            Sebelum membincangkan secara panjang lebar isu tersebut, saya fikir kerajaan harus memantapkan dahulu hukum murtad. Yakni, apa akan jadi jika seseorang yang sudah Islam itu menukar atau keluar daripada agama Islam lalu kembali ke agama asalnya atau menukar ke agama lain?
            Jika itu terjadi, apakah bangsa mereka yang telah ditukar kepada melayu masih dikekalkan sebagai melayu, sedangkan dia telah murtad (tidak lagi beragama Islam). Jika dia tidak lagi berhak dipanggil melayu, bagaimana pula dengan hak keistimewaan melayu yang dimiliki ketika masih dalam Islam?
            Hal yang sama juga wajar ditetapkan bagaimana jika sekiranya orang melayu sendiri yang asalnya memang beragama Islam, tiba-tiba murtad? Persoalan pokoknya di sini adalah, negara sudah mempunyai garispanduan dan undang-undang yang cukup kemas untuk menuduh serta menjatuhkan hukum seseorang yang murtad?
            Jika seseorang Islam itu telah dijatuhi hukum sebagai murtad, apakah taraf ‘melayu’ –nya akan ditarik balik? Dan, apakah harta dan lain-lain haknya yang dimiliki atas sifatnya sebagai melayu sebelum itu juga akan ditarik atau dirampas atau menjadi hak baitulmal atau bagaimana? Pastinya konflik sosial akan berlaku jika ‘insiden’ ini berlaku..
            Masuk Islam kerana berkahwin kemudian berlaku perceraian dan mereka kembali ke agama asal bukanlah sesuatu yang baru atau tidak pernah berlaku.
            Kita bukan berperansangka buruk tetapi harus ada kewaspadaan dalam urusan seperti ini kerana dikhuatiri ada yang mengambil kesempatan untuk menikmati hak-hak keistimewaan melayu dan bumiputera itu dengan menggunakan agama (Islam) sebagai alat untuk menghalalkan cara. Berdasarkan pergerakan sosial masyarakat hari ini,apapun serba mungkin akan berlaku lebih-lebih lagi dalam hal-hal mengejar keduniaan.
            Umum tahu, bahawa agama Islam adalah agama rasmi negara ini seperti yang termaktub dalam perlembagaan negara. Dan, daripada situ juga maka diterbitkan pelbagai hak-hak keistimewaan untuk orang melayu dan bumiputera dengan bersandarkan secara lahiriahnya melayu di Malaysia itu adalah beragama Islam.
            Sekilas pandang isu itu nampaknya mudah dan remeh. Padahal ia menyangkut besar kesannya terhadap perundangan sivil, syarak, hak dan pewarisan harta. Justeru, kerajaan dan jabatan agama Islam perlu duduk semeja bagi membincangkan isu berkenaan dan satu ketetapan wajar dibuat dan dimaktubkan dalam perundangan persekutuan secara bersekali dan sepadan antara satu sama lain untuk jangka panjang dan terpakai pada keadaan apapun sekali (syariah dan sivil).



Jagindas:  Bila musang berbulu ayam tidur sereban....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas komen anda.