Jumaat, 9 Mei 2014

BAHAYA KALAU TAK FAHAM

Lebih Baik Diam Kalau Tak Pasti

PADA hemat penulis, di zaman Datuk Seri Najib Razak (DSN) menjadi perdana menteri (PM), telah banyak kali berlaku perlanggaran kenyataan antara PM dengan beberapa menteri atau ahli parlimen. Maksud saya, beberapa kenyataan menteri atau ahli parlimen yang tidak selari dengan kenyataan atau keputusan yang dibuat oleh PM atau kerajaan sendiri.
            Sepatutnya perkara seperti ini tidak berlaku kerana ia boleh menimbulkan pelbagai reaksi negatif yang akhirnya membawa kepada polemik, suasana tegang, salah faham serta secara tidak langsung mengheret pihak tidak bertanggung jawab ‘mempergunakan’ isu-isu yang bertentangan itu sebagai modal politik mereka.
            Mengapa keadaan itu berlaku? Barangkali ramai kalangan ahli kabinet atau ahli parlimen DSN yang tahap kefahamannya masih lemah. Isu kelemahan tahap kefahaman ini adalah antara isu yang memeningkan guru-guru tahun enam (sekolah rendah). Ini kerana ramai murid terbabit termasuk kalangan pelajar melayu yang gagal memperoleh cemerlang untuk kertas kefahaman bahasa melayu.
             Barangkali juga, ramai yang mengantuk atau berkhayal ketika dalam sessi taklimat mahu pun mesyuarat. Agaknya juga, mungkin kepala terlalu memikirkan hal-hal rakyat di kawasan masing-masing. Barangkali juga terlalu memikirkan projek-projek yang perlu dilaksanakan atau juga projek-projek anak buah sendiri.
            Tidak mustahil juga ia disebabkan kaedah penyampaiannya yang kurang sempurna. Berbelit-belit atau terlalu tinggi bahasanya atau tiada kata putus yang pasti sehingga menyebabkan ahli mesyuarat terpaksa membuat keputusan atau andaian sendiri. Begitukah?
            Atau mungkin juga, zaman DSN beliau memberi lebih kebebasan untuk ahli kabinet dan parlimennya bersuara dengan media bagi mempercepatkan maklumat sampai kepada rakyat sehingga menyebabkan mereka jadi ‘syok sendiri’ bila berhadapan dengan pemberita / orang-orang media.
            Pada zaman Tun Mahathir (Tun M) memerintah dahulu, perkara seumpama ini tidak berlaku kecualilah pembangkang yang kerjanya memang suka memanipulasi isu. Sidang media daripada menteri, ahli kabinet dan wakil rakyat sentiasa selari dengan Tun M. Sama ada mereka dipaksa oleh Tun M supaya berbuat demikian atau memang mereka benar-benar faham begitulah yang sewajarnya dicakapkan, kedua-duanya saling boleh jadi.
Namun yang jelasnya, tentulah Tun M telah menyampaikan apa-apa maklmat dalam sesi pertemuannya dengan ahli kabinetnya dengan sempurna, jelas serta terperinci. Sebab itu sesiapapun yang bercakap di luar sana akan selalu selari dengan ketua mereka. Agaknya juga, itu sebab pada zaman Tun M ramai orang politik kata beliau seorang yang bersifat kuku besi, keras kepala, tak boleh dilawan, ditegur dan orang bawah mesti ikut sahaja rentak dan keputusannya.
Namun, kalau ya sekalipun dakwaan itu, ia memberikan kesan yang baik kepada negara. Ia memperlihatkan antara ketua dan anak buahnya sentiasa bergerak selari dan sefahaman berbanding diberikan kebebasan tetapi menyusahkan, mengelirukan rakyat dan paling malang boleh memburukan imej kerajaan.
Ini tidak bermakna kita memerlukan ahli kabinet atau wakil rakyat yang macam robot. Kebebasan itu perlu tetapi ia hendaklah kebebasan yang berilmu, berkefahaman tinggi serta tidak merapu.
Nampaknya wakil rakyat sekarang sudah semakin banyak bercakap politik... Jangan-jangan dia sendiri pun tak faham dan tak tahu kesannya terhadap biji buah yang dia cakap...


Jagindas: Mabuk tidak semestinya minum beer... Dan mabuk pun ada macam-macam termasuklah mabuk bercakap... 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas komen anda.