Isnin, 18 Jun 2012

IMAM, KHUTBAH DAN TARAWEH


Petang ini ahli sembang petang  berkumpul lagi. Seperti biasa di parlimen tak berpelembagaan – kedai kopi.

Sambil menunggu pekedai menghantar pesanan minuman, seorang rakan memulakan tajuk sembang petang ini. Masih bertumpu masalah pengurusan masjid. Tetapi kali ini berfokus kepada tingkahlaku imam yang mengimamkan sembahyang Jumaat.

Dia memberikan komen, katanya ada seorang imam di kariahnya membaca khutbah dan ayat-ayat quran / hadis sama ada dalam khutbah mahupun dalam sembahyang dengan bacaan yang laju. Seperti nak berlumba-lumba pun ada. Seperti sengaja nak menghabiskan tugas dengan segera pun ada. Terkadang, katanya macam orang yang sedang menahan nak buang airpun ada --  tergesa-gesa!

Malah, menurutnya lagi dek terlalu terburu-buru sehingga tergagap-gagap membaca patah-patah ayat. Tidak keterlaluan dakwanya, cara seperti itu boleh menyebabkan ada ayat yang dibacanya tidak menepati tertib dan syarat bacaan.

“Sembahyang Jumaat yang hanya dibuat sekali seminggu. Tidakkah boleh ia ditunaikan secara lebih bersopan. Membaca khutbah dengan sebutan yang jelas satu persatu supaya makmum dapat menghayatinya dengan sempurna” katanya mengulas lanjut terhadap perilaku imam tersebut.

Bukan itu saja, menurutnya ketika sembahyang pula, pergerakan imam tersebut bagi setiap rukun begitu pantas tanpa mengambilkira kemampuan makmum yang sudah berumur.

Bagi rakan saya itu, imam seperti itu adalah jenis syok sendiri!

Itu sembahyang Jumaat. Mengambil iktibar ceritanya itu, saya terbayang bahawa beberapa hari lagi kita akan bertemu pula dengan Ramadhan Al-Mubarak- InsyaAllah. Jadi, apa yang saya nak ambil daripada isu yang dilontarkaitkan oleh rakan sembang itu adalah tentang sembahyang sunat tarawih.

Pengelaman lalu, cara sembayang sunat tersebut dilaksanakan oleh sesetengah imam boleh dikategorikan sebagai terburu-buru. Demikian juga dengan bacaan-bacaan ayat-ayat dalam sembahyang berkenaan. Bacaan solawat pun begitu. Akhirnya makmum yang  menyambut solawat pun kelam kabut juga bunyinya.

Bagi saya, istilah kesabaran dalam mengerjakan ibadat solat tersebut tidak ada. Saya fikir, adalah tidak adil jika kecepatan perlu dibuat untuk memendekkan masa bagi menghabiskan 21 rakaat. Ini kerana, apapun  ibadat yang hendak diperbuat, selain dilakukan dengan jujur dan ikhlas, ia juga hendaklah dilakukan dengan sempurna. Jika berjamaah, maka imam wajar mengambilkira kemampuan setiap makmum di belakangnya. Dalam hubungan ini kesempurnaan melakukan ibadat berjemaah itu wajar dinikmati oleh makmum bukan berfokus kepada imam sahaja.

Sebagai renungan: satu pihak mengerjakan 21 rakaat sembahyang terawih  secara laju mengambil masa 40 minit dan satu pihak lain pula hanya mengerjakan 11 rakaat tetapi secara lebih santun dan sabar dengan tempoh masa yang sama. Pihak yang manakah sembahyang tarawihnya lebih sempurna?

Jagindas:  Apa yang dikejar… takut-takut nanti yang dikejar tak dapat yang kendong berciciran....

1 ulasan:

  1. Allahuakbar ! Hancur la pahala Jumaat khariah di bawah imam tu !!

    BalasPadam

Terima kasih atas komen anda.