Ketika melawat kebun sayur seorang rakan tidak jauh
dari rumah saya pagi tadi, tiba-tiba saya teringat laporan akhbar semalam (Utusan Malaysia
20/6/12/m.s. 25) yang menyebut, Menteri Pertanian Dan Asas Tani, Dato' Noh Omar sebagai berkata kerajaan memberikan
galakan supaya golongan belia menjadikan bidang pertanian sebagai satu kerjaya.
Katanya, menerusi galakan itu kerajaan telah dan akan
menyediakan pelbagai inisiatif bagi membantu golongan itu mencapai matlamatnya.
Di Beberapa kawasan dalam negeri memang masih banyak
lagi tanah kerajaan negeri yang masih belum dibangunkan. Ada yang sudah di rezabkan
untuk projek-projek pembangunan bagi memenuhi rancangan Malaysia namun masih
tertangguh atau ditangguhkan atas sebab-sebab yang kerajaan sahaja yang tahu.
Khabarnya, tanah seperti ini boleh dipohon bagi mereka
yang mahu mengusahakannya dengan aktiviti pertanian tetapi bukan tanaman jangka
panjang. Senang cakap untuk tujuan tanaman kontan atau sayur-sayuran bagi
tempoh yang terhad.
Mengikut peraturan kanun tanah negara, sesiapa yang
mengusahakan tanah kerajaan tanpa mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa,
mereka (dia) boleh didakwa atas kesalahan menceroboh atau sebagai peneroka
haram.
Seorang kawan yang telah bersara, bercadang untuk
mengusahakan tanah seperti itu dalam usahanya berjinak-jinak dengan dunia
pertanian sebagai memenuhi masa lapangnya sebagai psesara. Maklum, sebagai
kakitangan kerajaan sebelum ini, beliau tidak pernah mendapat walau seincipun
tanah kerajaan walaupun sering juga memohon seekar dua buat bekalan semasa
bersara.
Malangnya, kata kawan itu tadi, apabila dipohon dengan
mengikut saluran yang ditetapkan (isi borang, bayar daftar masuk borang dan
beli plan lokasi dan sebagainya) namun pejabat tanah mengambil masa yang begitu
lama untuk mengeluarkan surat kelulusan.
Bukan sebulan, tiga bulan atau setahun tetapi lebih
tiga tahun. Itupun belum mendapat apa-apa berita. Duit yang tiga tahun dulu
tersimpan untuk dilaburkan ke bidang pertanian tersebut pun sudah lelap.
Padahal, katanya semasa memohon pihaknya telah
menyemak status tanah tersebut secara terperinci dengan pejabat tanah dan pihak
berkenaan mengatakan tiada halangan dengan syarat pemohon mengemukan permohonan
rasmi serta mematuhi syarat-syarat lain yang ditetapkan untuk tanah lesen
sementara atau lebih dikenali sebagai tanah T.O.L (TOL).
Tambah malang lagi, dua tahun selepas permohonan
dihantar tanah yang dipohon pula sudah diusahakan orang lain. Siasat punya siasat,
yang mengusahakan pula tidak pernah
memohon. Jelasnya mencerobohlah. Apabila ditanya ke pejabat tanah tentang
status permohonan sedangkan tanah tersebut telah diceroboh, pihak berkenaan
hanya mengulangi kata-kata bahawa perbuatan penceroboh itu adalah salah di sisi
undang-undang. Namun, tiada pula sebarang tindakan yang diambil.
Nampaknya yang berani menceroboh dapat hasil, tapi
kalau ikut prosedur meloponglah jawabnya. Silap-silap, jasad dah masuk ke dalam
kubur, surat kelulusan pun sampai. Kalau
pun masih bernyawa, dah jadi masalah besar kerana pihak yang mengusaha secara
haram tadi takkan dia nak keluar begitu saja!
Maka bertambahlah satu lagi asalah sosial. Nampaknya
masalah ini macam simple saja, tapi
kesannya boleh memecah belahkan masyarakat setempat apabila kedua-dua pihak tak
mahu mengalah. Pihak yang satu kata dia yang usaha dulu manakala pihak yang
satu lagi pulak kata dia ada surat kebenaran yang sah!
Saya tak boleh nak komenlah perkara seperti ini. Yang
pasti bukan rakan saya itu saja yang mengalami masalah seperti itu, sebelum ini
saya ada dengar macam-macam cerita daripada orang-orang lain perihal bab-bab birokrasi
berkaitan permohonan tanah ni.
Justeru, menteri dah cakap cantik-cantik tetapi kalau
pihak yang berkaitan tidak komited dengan perkara pokok mengusahakan pertanian,
iaitu tanah, bagaimanakah golongan belia atau sesiapa sahaja yang berminat ke
arah itu untuk membabitkan diri.
Inisiatif
ada. Modal ada. Tapi tanah tidak ada: tak jadi kerja juga.!
Jagindas: Alahai pejabat tanah..,
saya memang geli nak ke sana. Bayar cukai pun melalui online jer..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih atas komen anda.