Ahad, 8 Julai 2012

Ahli UMNO Jangan Celupar - Jaga Mulut!


Jangan Angkuh Ketika Temui Penduduk


SELEPAS saya menulis "Jagindas Mengulas" semalam, seorang rakan menghantar e-mail meminta saya menyambung lagi artikel tersebut kerana menurutnya artikel semacam itu baik untuk kepentingan politik melayu khususnya UMNO.
     Namun, saya terfikir apakah pemimpin UMNO berkenan dengan tulisan seperti itu kerana bagi saya kalau mereka nak berubah, hukuman yang diterima dalam PRU12 sudah mampu mengajar mereka untuk kembali kepada realiti politik setempat.
            Tidak mengapalah, tanggungjawab saya adalah mengabarkan. "Sampaikan walau sepatah ayat, meski pahit untuk ditelan" - sebagai penulis, saya guna maksud ayat itu demi untuk kebaikan bersama.
     Sebulan dua lalu, heboh dan sibuk negara mengagihkan Bantuan Rakyat Satu Malaysia (BR1M), selepas itu saguhati jasamu dikenang kepada bekas-bekas pejuang "home-guard, tentera British" dan macam-macam lagi bantuan yang kerajaan salurkan demi kesejahteraan rakyatnya. Pelajar, orang teksi semuanya dapat.
            Saya teringat, satu peristiwa seperti yang diceritakan kepada saya ketika orang UMNO menyampaikan surat pemberitahuan kepada penduduk yang berjaya mendapat BR1M. Ada lakunan menyakitkan hati dilakukan oleh orang UMNO. Barangkali pihak UMNO Bahagian melantik beberapa pegawainya untuk menyampaikan surat-surat tersebut dari rumah ke rumah bertujuan  bertemu penduduk secara dekat. Kira turun padanglah tu...
            Semasa menyampaikan surat tersebut, jawatankuasa yang diamanahkan akan menemui penduduk dari rumah ke rumah dan terus menyatakan lebih kurang begini ayatnya: Saudara terpilih untuk menerima BR1M yang disumbangkan oleh UMNO.
            Inilah silapnya. Sumbangan tersebut bukan UMNO yang beri, tetapi kerajaan Malaysia. UMNO mana ada duit berbilion-bilon nak menyumbang kepada ahlinya jauh sekali rakyat negara ini. Apakah jawatankuasa itu faham makna UMNO dan kerajaan? Mengapa dilupakan lembu sehingga  itu sapi mendapat nama? Rakyat bukan bodoh lagi.
            Itu sebab, sebelum ini saya tulis, rakyat apa lagi orang UMNO kena faham istilah kerajaan yang memerintah dengan parti sahsiah. Apabila kerajaan sudah terbentuk, semua parti kompenan termasuk UMNO hanyalah agen Kerajaan Barisan Nasional (BN), manakala jawatankuasa berkenaan adalah agen UMNO yang menjalankan amanah kerajaan.
            Maksud saya, inilah antara suara angkuh orang UMNO yang menyakitkan hati rakyat. Mengapa tidak cakap saja - saya mewakili kerajaan menyampaikan surat tawaran ini kepada saudara...... bla, bla, bla..  Kalau dia orang UMNO okay lah, bagaimana kalau dia golongan atas pagar? sekali lagi kita gagal merembat hati nalurinya.
            Faham tak, kalau UMNO yang beri, perlakuan ini boleh dikaitkan dengan rasuah politik sebab UMNO adalah parti politik. Lain dengan kerajaan, apa-apa yang diberikan kerajaan kepada rakyat adalah bersifat tanggungjawab tanpa mengira fahaman parti politik rakyatnya. BR1M untuk orang UMNO sahaja kah atau untuk semua rakyat yang layak?
            Sebab itu bila PAS beri sumbangan kepada rakyat kelantan dia tidak terasa itu sebagai rasuah sebab kerajaan yang ada adalah kerajaan PAS. Tapi bolehkah PAS pusat berbuat demikian kepada semua rakyat di negara ini? Bukan saja tidak boleh malah tidak mampu!
            InsyaAllah, kalau jadi, tidak lama lagi BR1M ke dua akan diberikan pula. Jadi jagalah mulut supaya apa yang diucap tidak menyakit hati orang ramai. Dalam  keadaan sekarang, kita tidak dapat pastikan dengan tepat siapa penyokong kita. Kita hanya beruasaha menarik perhatian mereka supaya menyokong kita, bersyukur dengan nikmat yang disalurkan oleh kerajaan yang bermurah hati sekarang.
            Seperti tengahari tadi, sewaktu saya menghadiri majlis tahlil di rumah jiran, beberapa pak lebai, tok haji dan rakan-rakan mereka sibuk mempertikaikan kenyataan Tun Mahathir yang meminta Datuk Seri Anwar (PKR) segera bersara. Marah-marah nampaknya dan ada yang hempas surat khabar. Kesian SINAR...Pada hal sebahagian besar mereka itu adalah penerima BR1M malah ada yang menerima RM3,000 saguhati jasamu dikenang sebagai bekas tentera British tahun 50an.
            Barang diingat, kerajaan BN berhempas pulas memberikan khidmat yang terbaik untuk rakyatnya, janganlah ada pula pihak yang merasakan macam bagus-bagus tetapi sebenarnya menconteng imej kerajaan.


Jagindas:    Kalau tak faham jangan cakap, buat kojer ajer. Kalau tak Tau cakap ler tak tau, jangan tak tau buat buat tahu, itu yang jadi haru biru tu! Ada faham ka kawannn..


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas komen anda.