Isnin, 16 Julai 2012

PEMANTAPAN BAHASA INGGERIS


Jangan Pisang Berbuah Dua Kali
(Siri 1 daripada 2 siri)

APABILA menyebut tranfomasi pendidikan, saya percaya antara lain tentulah termasuk strategi memantapkan pendidikan Bahasa Inggeris dan memperkasakan Bahasa Melayu. Khabarnya, berdasarkan dapatan Dialog Nasional Pendidikan Negara (DNPN) yang dijalankan sejak April lepas, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan merombak sistem pendidikan negara secara besar-besaran mulai tahun depan.
            Pertama sekali sukalah saya mengingatkan KPM supaya berhati-hati di dalam hal rombak-merombak sesuatu sistem apalagi secara besar-besaran. Bahawa, yang dikejar hendaklah dipastikan dapat dan yang dikendong pula diharap jangan berciciran.
            Ketika saya sedang menelah pelbagai perkara dalam isu itu, tiba-tiba seorang kenalan menguhubungi saya dan memberikan pandangan serta komennya terhadap usaha KPM menggunakan kepakaran luar negara dalam proses pemantapan Bahasa Inggeris.
            Beliau tidak begitu setuju terhadap program khusus KPM itu malah dikatakannya sebagai membazir kerana negara membelanjakan wang begitu besar hanya untuk mendapatkan kepakaran luar negara tersebut yang hanya untuk dicurahkan kepada beberapa orang guru sahaja di negara ini.
            Katanya, beliau bimbang berlaku kegagalan seperti gagalnya KPM melaksanakan program Pendidikan dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)  sedangkan berbilion wang telah dibelanjakan. Dalam kes PPSMI lalu, sekolah dibekalkan dengan pelbagai peralatan canggih termasuk komputer dengan perbelanjaan mencecah bilion ringgit.          
              Namun, komputer tidak boleh menjawab persoalan yang dikemukan oleh murid-murid manakala guru pula gagal menjawab soalan itu kerana tidak mampu berbahasa inggeris dengan sempurna.
            Menyorot kembali PPSMI, beliau berkata sekiranya kerajaan memberikan dua tahun pertama sebelum pelancaran program berkenaan dengan memberikan latihan kepada semua guru yang tidak mahir berbahasa Inggeris (guru-guru yang lahir dari aliran melayu di sekolah menengah) untuk menguasai bahasa itu, sudah tentu guru tidak mempunyai masalah berkomunikasi dan menyampaikan ilmu kepada murid-muridnya.
            Keadaan ini lebih terkesan di bandar apabila ramai murid-murid yang lebih mahir berkomunikasi dalam bahasa inggeris berbanding sebahagian besar guru sendiri.
            Oleh itu, katanya dalam hal meningkatkan penguasaan bahasa inggeris di sekolah-sekolah, adalah lebih baik wang yang sebegitu banyak digunakan untuk meningkatan penguasan bahasa itu dikalangan semua guru dalam jangka waktu yang ditetapkan.
            Sekali gus, tindakan seperti itu dilihat sebagai satu pelaburan pendidikan yang lebih 'celik' dan bermanfaat jangka panjang, kerana selepas generasi guru ini tiada lagi latihan seperti itu diperlukan berikutan generasi yang dilahir sudahpun mampu mengunakan bahasa itu dipersada kehidupan seharian mereka.


Jagindas:    terus baca ke siri 2

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas komen anda.