ADAKAH ISLAM HARI INI MEMERLUKANNYA
HARUSANI |
Ulamak dan
pertubuhan bukan kerajaan berpendapat kontrak praperkahwinan tidak diperlukan
bagi pasangan Islam yang mahu berkahwin kerana lafaz ta'liq dan mahkamah serta
undang-undang syariah mampu membela hak wanita.
Mereka berkata demikian sebagai
mengulas cadangan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang,
supaya wanita Islam menandatangani kontrak praperkahwinan dengan menggariskan
syarat mengikut undang-undang syarak bagi melindungi hak mereka berkahwin. [DI
SINI]
BARANGKALI, mulut Musa terpacul memperkatakan isu
tersebut berikutan kes mahkamah syariah membabit perihal rumah tangga semakin
bertambah atau rancak berkembang dipersada mahkamah syariah dan sivil di negara
ini.
Suami
saman isteri, isteri saman suami adalah sudah menjadi kes biasa. Malah, isteri
pukul suami dan suami menyiksa isteri juga sudah jadi lumrah. Cuma, barangkali masih
banyak kes di luar sana yang tidak dilapor atau di luar pengetahuan pihak
berkuasa.
Agak
sukar untuk membicarakan kisah rumah tangga terutama pada zaman sekarang.
Selain pengaruh media eltronik dan media cetak, pasangan juga kerap terpengaruh
dengan tekanan dan tuntutan hidup semasa.
Selain itu, ada juga disebabkan perangai suami yang
tidak bertanggung jawab demikian juga sikap isteri yang tidak meletakkan
kedudukannya sebagai 'isteri' sebaik sahaja lafaz nikah terangkat.
Meskipun,
ketika ini setiap pasangan yang mahu bernikah akan diminta untuk menghadiri
kursus perkahwinan, namun nampaknya kursus-kursus tersebut hanya mampu
memberikan sijil bagi memudahkan pasangan bernikah. Padahal, dalam syariahnya,
sijil seperti itu tidak wajib pun untuk ditunjukkan sebagai sayarat bernikah.
Ia tidak termasuk dalam rukun nikah yang lima.
Pun,
begitu apa yang digariskan oleh Islam termasuk dalam lafaz ta'liqnya, sudah
cukup untuk mengawal keharmonian rumah tangga pasangan Islam terbabit. Ringkas,
tapi sebenarnya padat jika setiap pasangan benar-benar memahaminya dan bernikah
atas dasar tuntutan Islam dan bukan atas sebab-sebab lain.
Kewujudan
mahkamah syariah bagi membantu pasangan yang bermasalah patut dipuji dan amat
diperlukan terutama dalam keadaan dunia global yang penuh dengan pelbagai hujah
dan cabaran ini.
Pun
begitu, dalam banyak hal, mahkamah syariah dan jabatan agama Islam negeri
nampaknya tidak dapat melaksanakan tugas mereka dengan sempurna atas beberapa
faktor dalaman dan faktor pasangan itu sendiri.
Malah,
ada juga yang mendakwa jabatan atau agensi berkenaan selalu lewat dalam
menyelesaikan kes-kes berkaitan sehingga ada pasangan yang bosan. Dan, dakwaan
itu juga turut menyebabkan ramai yang tidak mahu membawa kes mereka ke jabatan
terbabit kerana tidak sanggup menunggu terlalu lama.
Lantaran
itu, ramai juga yang membuat keputusan sendiri yang akhirnya menuju kepada
porak peranda dan bermasalah dalam tuntutan harta dan nafkah anak-anak. Malah,
bertambah menakutkan bila ada pasangan biasanya pihak isteri, yang mendakwa
jabatan agama Islam selalu bertindak berat sebelah atau lebih menyebelahi pihak
lelaki! Wallah huallam, tidak diketahui sejauh mana betulnya dakwaan ini.
Cumanya,
jika seorang suami telah melafazkan talaq kepada isterinya kemudian mengadu isterinya
kepada pihak berkuasa, apakah wajar kedudukan mereka ini ditangguh dulu dengan
pelbagai alasan dan sebab yang kononnya kalau boleh penceraian hendaklah
dielakkan?
Soalnya,
lafaz telah terpacul. Bukankah lafaz cerai itu dalam keadaan apa sekalipun
dilafazkan ia akan terpakai? Begitulah sehingga ianya tidak boleh dijadikan
bahan gurau, hatta melafazkannya ketika dalam keadaan mabuk sekalipun tetap
terpakai! Apakah nas yang membolehkan lafaz cerai boleh ditarik undur?
Justeru,
memang konrak perkahwinan seperti yang dicadangkan oleh PGSM itu tidak perlu
kerana undang-undang syariah sudah mencukupi menjamin keharmonian rumah tangga
di dunia dan akhirat. Hanya, pihak berkuasa berkenaan perlu mengakaji semula
bidang tugas mereka supaya yang terbabit dalam kes-kes seperti itu mempunyai
keyakinan untuk berurus atau lebih jelas disebut lebih telus langsung
memberikan minat pasangan bermasalah untuk mendapatkan khidmat agensi berkenaan
dalam menyelesaikan masalah rumah tangga mereka.
Dan,
kepada yang mahu berkahwin, jangan semudah itu untuk melafazkan akad nikah dan
kemudiannya begitu mudah pula melafazkan talaq. Meski banyak harta dan wang
ringgit bahkan dalam Islam juga menggalakan lelaki dan perempuan memilih pasangan mereka yang berharta, namun
ilmu serumah tangga itulah yang paling penting.
Susah
senang sama dilalui. Pahit maung sama dirasai. Tiada manusia yang terlepas
daripada sebarang kekhilapan seperti kata pepatah sedangkan lidah lagi
tergigit.
Jagindas: sentiasa berdoa semoga aman dan bahagia..
satu lawak orang jawa kata, syarat nak kawin bagi lelaki itu ialah: waras, beras dan keras... hahahaha
BalasPadam