Berikutan Mereka Diperlakukan Sebagai Abdi
PERISTIWA terbaru membabitkan kes rogol amah Indonesia,
baru-baru ini yang mengkaitkan tiga anggota polis pangkat bawah sedikit
sebanyak telah memalukan Malaysia. Kejadian itu juga telah menggerakan perasaan
simpati rakyat Indonesia lalu mereka terus melakukan demonstrasi di hadapan kedutaan
Malaysia di Indonesia seterusnya seperti biasa upacara membakar bendera Malaysia
dilakukan.
Tajamnya
kebiadapan itu bagai sembilu menghiris jantung. Barangkali, ngilu yang dirasai
oleh negara sama dengan perasaan mangsa yang di rogol. Bukan seorang bahkan
tiga orang, dan bukan orang awam tetapi anggota polis yang juga adalah pagar
dan beteng negara.!
Sebelum ini
kita dikejutkan dengan iklan yang ditafsirkan sebagai "penjualan amah
Indonesia" yang memang terang-terang menghina dan merendahkan nilai
kemanusiaan golongan itu.
Bahkan,
cerita-erita kurang enak golongan amah dan pekerja-pekrerja Indonesia di negara
ini memang banyak. Cuma, beberapa insiden yang kita ketahui itu adalah antara
yang sempat dicatat oleh akhbar dan yang dilapor ke pihak berkuasa.
Diseksa.
Gaji tidak dibayar. Hidup dalam kurungan tidak diberi makan dan minum. Bekerja
tanpa henti diperah bagaikan kisah kunta kinte. Ada juga mereka yang tertipu
lalu "didagangkan".
Meskipun
pada masa sama tidak kurang juga cerita negatif seperti gerakan liar pendatang Indonesia
yang merompak, menyamun, merogol dan membunuh di negara ini. Ada yang kata
berpunca daripada sikap taukeh yang tidak membayar gaji kemudian melepaskan
mereka begitu sahaja berikutan mereka tidak mempunyai sebarang dokumen sah.
Ada juga
yang sengaja menempah datang secara haram ke negara ini lalu mengerjakan
kerja-kerja jenayah seperti rompakan kemudian balik ke Indonesia sebelum datang
lagi berulang-ulang. Banyak versinya tentang mereka ini.
Justeru, penulis berpendapat kerajaan Malaysia wajar
mengambil tindakan menggantung pengambilan amah untuk tempoh tiga tahun atau lebih.
Kita lihat, dalam tempoh itu adakah rakyat mengalami masalah serius untuk
mengurus rumah tangga mereka tanpa amah. Di samping itu, kita juga mahu mengajar
rakyat negara ini supaya lebih berperikemanusiaan, beradab dan berjiwa manusia.
Ada yang
apabila diberi kemudahan, langsung tidak menghargai dan bersyukur. Prinsipnya,
mereka (amah/pekerja) didatangkan sebagai pekerja dan bukannya ABDI. Paling
malang apabila 'pagar memakan padi'!
Dalam tempoh
itu, usaha 'membuang' pekerja dari negara luar di negara ini yang tidak
memiliki dokumen sah termasuk dari Indonesia diperhebatkan. Jangan tinggal
seorang pun! Dari Perlis sampailah ke Sabah.
Bukan semua
majikan, tetapi memang ada rakyat (majikan) negara ini yang tak sedar diri dan
mengada-ngada. Namun, disebabkan nila setitik rosak susu sebelanga. Hanya disebabkan
seekor kerbau membawa lumpur habis semuanya terpalit.
Nama negara
tercemar. Kalau pun dianggap kes terpencil, jika sudah terlalu banyak
terpencilnya, bolehkah orang lain bertahan? Kalau rakyat kita diperlakukan
seperti itu, apakah kita tidak berasa sensitif?
Seperti yang
penulis katakan tadi, rakyat negara ini sudah mengada-ngada. Jadi, setelah
banyak sudah cara yang dilakukan bagi mendidik mereka, maka sampai masanya
kerajaan 'tarik sebentar' kemudahan itu. Barangkali kena ajar mereka macam
mengajar budak-budak. Biarlah mereka meraung-meraung dan merayu-rayu, usah
diperdulikan sehinggalah kerajaan yakin bahawa sikap manusia mereka telah pulih
seperti sediakala.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih atas komen anda.