Jumaat, 7 Disember 2012

BN PASTI DAPATKAN 2/3 KEMENANGAN

Utusan Malaysia 6/12/12

Kalau Calonnya Disukai Pengundi

AKHBAR semalam memaparkan seruan Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad, agar rakyat memberikan undi kepada siapa sahaja calon daripada Barisan Nasional (BN) bagi memastikan parti itu memperoleh kemenangan dua pertiga menerusi pilihanraya umum kali ini (PRU13).
            "Kita (ahli UMNO) harus ingat kalau diletakkan siapa saja calon walaupun mata sepet sebelah, hidung penyet, asalkan dia calon BN, kita undi sajalah", katanya.
            Maaflah, penulis pernah menulis sebelum ini dimana bagi kempen-kempen pilihanaraya akan datang (termasuk PRU13) kata-kata seperti itu sudah tidak relevan lagi. Malah ada sesetengah tempat, ayat-ayat seperti itu bukan menambahkan insaf, malah memburukan lagi persepsi kalangan pengundi.
             Dari sudut politik, memanglah, demi mencapai kemenangan seruan terakhir adalah undilah parti sebab yang bertanding adalah parti dan parti perlu menang.
            Hakikatnya, parti itu dikemudikan oleh manusia. Zaman dulu-dulu, rakyat tidak begitu kisah siapa pengemudinya asalkan parti itu BN. Itu dulu! Tetapi sekarang, oleh keana banyak pemimpin-pemimpin BN terdahulu dan sebelum ini yang meninggalkan kesan hitam di kawasan mengundi masing-masing, maka pengundi era baru beralih kepada menilai calon. Apakah calon ini boleh harap atau tidak?
            "Jika tidak boleh diharap, lebih baik pilih pembangkang, itu sudah memang sah-sah tentu kena tipu punya," demikian kata-kata geram yang terlontar di meja-meja kedai kopi yang kerap penulis dengar sekarang.
            Biarpun mereka tahu mengundi pembangkang laksana menerjunkan diri ke dalam mulut buaya, namun itulah juga yang akan dibuat oleh pengundi jika calon-calon yang diletakkan nanti mempunyai latar belakang, perangai dan sikap yang tidak boleh diterima oleh pengundi.
            Ahli politik terutama pemimpin tertinggi BN dan UMNO sebenarnya sudah mengetahui bahawa rakyat telah memberi signal sebegitu agak lama juga iaitu pada PRU11 dan PRU12 lalu. Kekalahan demi kekalahan dalam dua PRU itu bertujuan bagi memberi peluang orang dan pemimpin BN serta UMNO berubah. Untuk itu menerusi PRU13 ini ia diibaratkan sebagai wadah penilaian terakhir terhadap parti keramat itu.
            Kita faham serta sedar, hanya BN yang mampu membawa kestabilan negara dari semua sudut - politik, sosial dan ekonomi.Bermakna, parti BN itu tidak bersalah dan yang bersalah adalah orang yang mengemudikannya.
            Justeru, meski telanjang menelanjang sedang rancak berlaku sekarang antara pihak lawan dan yang dilawan, namun wajah calon tetap menjadi faktor penting di saat-saat pengundi berada di kotak mengundi!
            Oleh itu, kemukakanlah calon yang berwibawa, bersih, boleh dan mahu buat kerja, tidak sombong dan yang paling penting calon itu TIDAK RAKUS!
            Apapun, kepada semua pengundi, apa-apa pilihanraya sekalipun, ia bukannya tempat untuk mengadu nasib, mencuba-cuba mahupun untuk mengeksperimentasikan sesuatu.
            Contoh sudah ada di depan mata, bahawa sekali jatuh terus tersungkur dan untuk kembali bangun bukanlah semudah yang dicakapkan. Bak kata orang tua-tua, meroboh kerja senang tetapi membangunkannya kena hadapi 1001 masalah.
            Justeru, berfikirlah secara mencapah bukannya menirus sebelum tuan-tuan membuang undi. Maka, undilah BN!


Jagindas: Sebelum ini, penulis pernah menulis panjang lebar terhadap isu ini di sini   dan di sini



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih atas komen anda.