Sabtu, 16 Jun 2012

SEMBANG PETANG 1 - PENGURUSAN MASJID DAN SURAU


Selepas asar, selalunya saya akan bertemu rakan-rakan di warong kedai kopi. Kedai kopi kami ibaratkan seperti parlimen tak berpelembagaan. Di situ, macam-macam cerita boleh didapati. Yang baik, yang buruk, orang mati, orang sakit, cerita-cerita kemalangan hinggalah kepada soal saman menyaman, politik, ekonomi, hiburan, sukan dan seks. Sehingga ada cerita yang surat khabar belum keluar tapi sudah heboh dibincangkan!

Seorang rakan tiba-tiba mempersoalkan tentang pengurusan masjid dan surau.  Saya cuba menjentik isu yang dibawanya agar ia menjadi lebih jelas dan persembangan menjadi lebih rancak.

Dia kesal kerana dakwanya pengurusan masjid di kariahnya dari A ke Z di uruskan oleh orang-orang yang berfahaman parti pembangkang. Katanya,  kalangan iman adalah penganut PAS,  bilal dan siak juga demikian.

Menurutnya, itulah sebabnya komuniti kariah sukar nak menghalang aktiviti  masjid dan surau yang sering menjemput penceramah-penceramah atau tok-guru tok-guru yang berorientasikan pemikiran PAS. Padahal, menurutnya pengerusi masjid dan jawatankuasa masjid pula ramai kalangan orang parti pemerintah.

Sudah tentu, apabila isu ini di suarakan, kalangan ahli sembang yang menyokong Barisan Nasional (BN), akan berapi-api menyatakan rasa tak puas hati terhadap gerak-aktiviti imam-imam tersebut malah sehingga ada yang mempersoalkan bagaimana kerajaan khsususnya Jabatan Agama Islam Negeri boleh melantik mereka secara semborono tanpa melihat latar belakang politiknya.

Dalam dakwaannya, sekurang-kurangnya imam-imam dari kalangan UMNO tidak  menggunakan masjid untuk kepentingan politik. Tak hairanlah dakwaannya itu kerana sebagai orang UMNO tentulah dia akan kata begitu.

Dengan kata lain, orang PAS katanya suka menggunakan masjid untuk kepentingan politik sempit mereka dengan berselindung di sebalik majlis ilmu.

Oleh kerana luahan rasa dan pendapat semakin hangat, saya yang tadinya cuma mendengar dan mengiakan sahaja apa sahaja pandangan yang dilontarkan, secara tiba-tiba terpanggil untuk melontarkan pula persoalan kepada isu tersebut:

“Sekiranya, imam,  bilal dan  siak itu di tamatkan perkhidmatannya, adakah siapa-siapadari kalangan orang UMNO yang mampu menggantikan tempat mereka di kariah kamu dalam keadaan sekarang? Kalau ada, mari kita segera ke pejabat Menteri Besar dan minta perkara ini dibetulkan” saya cuba memecahkan minda mereka. Huh! Hentak sampai ke MB tu..

Ahli sembang terhenti. Masing-masing berpandangan. Yang memulakan isu menjawab ringkas: “Tak ada. Ada yang boleh ke depan tapi tak mahu pulak” katanya, manakala yang lain menggeleng-gelengkan kepala sebagai tanda memberitahu kesukaran mendapatkan ganti.

Keadaan itu menyebabkan saya terfikir tidakkah badan pengurusan Jawatankuasa Keselamatan Kampung (JKKK) dan  UMNO  menerusi  Biro Pendidikan dan Agama memikir dan bertindak terhadap masalah ini? Tak kiralah sama ada diperingkat kampung, cawangan, bahagian hatta negeri dan pusat sekalipun bagi memastikan keadaan seperti itu dapat di atasi?

Kadang-kadang, jika dipandang dari segi memeriahkan masjid dengan sembahyang jemaah, ada juga betulnya dakwaan pihak pembangkang ni:  "...Orang  UMNO ni lebih suka berhurara, kalau bab-bab memeriahkan masjid pelbagai alasan diberikan"

Namun, saya percaya mungkin itu kes terpencil, masih banyak lagi pengurusan masjid yang lebih baik dan teratur dengan menjadikan masjid itu benar-benar sebagai tempat beribadah dan berkomuniti umat islam tanpa di pengaruhi oleh fahaman politik. Apa pun, pemimpin hari ini perlu menyediakan generasi pelapis sebelum ketandusan.


Jagindas: Tak kiralah siapa yang menguruskan masjid dan surau, yang penting hendaklah orang Islam dan jujur dalam melaksanakan tugas mereka tanpa diselimuti benda-benda lain selain daripada .."...kerana Allah Taala".